• wawa dan aril

NAMA Aeril Zafril dan Wawa Zainal terus menjadi perhatian media dan masyarakat setelah berita perkahwinan mereka dibongkar sebuah akhbar awal bulan lalu.

Biarpun mengakui sudah bernikah dan mempunyai seorang anak bernama Ahmad Fakharuddin Attar, yang kini berusia dua bulan, isu perkahwinan mereka bagai belum berakhir.

Terbaru, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dikatakan akan memanggil Aeril dan Wawa selepas mereka mengaku bernikah dua kali apabila pernikahan kali pertama tidak disusuli dengan dokumen nikah yang sah.

Mereka membuat keputusan untuk menikah kali kedua pada 4 Februari tahun ini di sebuah masjid yang terletak di Petaling Jaya.

"Kalau boleh saya tidak mahu komen mengenai isu ini (dipanggil Jais). Apatah lagi ia melibatkan badan agama dan difahamkan kes dalam siasatan.

"Jadi, saya tak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara ini, bimbang nanti disalah erti dan saya balik yang akan dipersalahkan," ujar Aeril kepada Zass.

Menurut Aeril, selepas berita perkahwinannya terbongkar, sudah banyak beban yang terpaksa dipikul dan isu tersebut bagai belum lagi berhenti.

"Bila saya beri kenyataan, orang jadikan ia sebagai bahan untuk balas balik. Contoh macam kenyataan Wawa mengenai pemakaian tudung sebelum ini.

"Jadi tak gunalah saya bersuara kerana ia bukan meredakan keadaan, tetapi membuatkan keadaan lagi bertambah buruk.

"Cuma apa yang saya harapkan isu ini akan reda dalam masa yang singkat. Saya bukannya ditangkap basah. Saya hanya berkahwin dan merahsiakan perkahwinan saya. Salah ke saya mahu mendirikan rumah tangga?" katanya dalam nada kesal.

Aeril berkata, dia percaya segala yang berlaku pasti ada hikmahnya dan dia bersyukur karier seninya tidak terjejas dengan kontroversi ini.

"Alhamdulillah, karier saya masih berjalan seperti biasa, tawaran masih ada seperti biasa. Macam saya cakap tadi, saya bukannya terlibat dengan kes yang tidak elok.

"Saya percaya, apa yang berlaku ini pasti ada hikmahnya dan saya akan harunginya dengan tabah," ujarnya.

Ditembak mengenai isu kontrak yang kini menjadi perdebatan antara David Teo dan Zed Zaidi, Aeril menjelaskan : "Saya adalah ahli Seniman, bila terlibat dengan masalah seperti ini, salah ke saya merujuk kepada ketua saya?," katanya yang enggan mengulas lanjut sama ada Wawa akan berjumpa dengan David dalam masa terdekat ini atau tidak.