Wednesday, October 30, 2013

Fida tak kahwin Shah tahun lalu

FIDA menafikan dia telah berkahwin dengan pengurusnya sendiri iaitu Shah. Fida juga mohon pihak yang mendakwa dia berkahwin di Thailand, tampil dengan bukti pernikahannya.


SATU demi satu kontroversi menghimpit penyanyi dan juga pelakon Rafidah Ibrahim atau Fida. Bermula dengan isu gambar tidak memakai tudung, isu percintaan, isu memakai bajut ketat dan juga lari dari set penggambaran telefilem Kampungku dan Aidiladha yang berlangsung di Kedah sekitar bulan September lalu.
Terkini, Fida sekali lagi terpalit kontroversi apabila didakwa mengikut jejak langkah pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal berkahwin secara senyap.
Fida didakwa telah melangsungkan perkahwinan dengan pengurusnya yang dikenali sebagai Shah di Selatan Thailand tahun lalu. Namun dia cuba menyorokkan hakikat tersebut dengan mencipta isu percintaan dengan pelakon komedi Zalif Sidek.
Atas sebab itu juga, setiap kali muncul dalam majlis-majlis hiburan, Fida didapati mengenakan inai di kukunya. Alasan Fida mengenakan inai sejak setahun yang lalu ialah untuk menaikkan seri pada kukunya.
Tidak cukup dengan itu, Fida juga didakwa ‘gila publisiti’ kerana sering kali dilihat cuba menyertai program-program realiti seperti Akademi Fantasia 2013 dan terbaharu program Maharaja Lawak Mega 2013.
Adakah benar semua dakwaan yang menghimpit pelakon filem Adik Manja The Return itu dan apakah motif di sebalik penyertaannya dalam semua program realiti popular?
Fida melanjutkan perbualannya bersama Kosmo! ketika ditemui pada majlis sidang akhbar memperkenalkan barisan pelawak yang menyertai program realiti Maharaja Lawak Mega 2013 di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Adakah benar anda telah berkahwin secara senyap di Selatan Thailand dengan pengurus sendiri?
FIDA: Kahwin? Kalau betul saya telah berkahwin sila kemukakan bukti. Cerita saya kahwin secara senyap sebenarnya sudah timbul sejak dulu lagi. Sebelum ini, saya didakwa berkahwin secara senyap dengan seorang VIP. Sekarang, saya didakwa pula berkahwin secara senyap dengan pengurus sendiri. Sebenarnya, ada orang yang cuba mereka cerita mengenai perkahwinan saya.
Bagaimana pula dengan dakwaan inai yang sering menghiasi jari?
Saya memang suka pakai inai sejak dulu lagi. Sebabnya, kita (orang Islam) tidak boleh pakai pewarna kuku, jadi saya pakai inai untuk cantikkan kuku.
Kenapa anda sering sahaja dihimpit kontroversi?
Di Malaysia, orang lebih suka mengetahui tentang kontroversi berbanding perkara lain. Ia juga sudah jadi perencah tambahan dalam kerjaya seorang pelakon atau penyanyi.
FIDA kini mencuba nasib untuk menjadi seorang pelawak apabila menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013.


Bagi anda, yang mana satukah kontroversi paling berat yang pernah dihadapi?
Paling teruk adalah isu saya lari dari set penggambaran di Kedah. Saya hadapi pelbagai fitnah sehingga terpaksa membuat dua laporan polis di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Jika dia masih tidak berhenti memberi kenyataan, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
Apakah kesan daripada kontroversi yang sering melanda anda?
Sebenarnya saya terasa sangat apabila ramai rakan media yang cuba menjarakkan diri daripada saya sejak kes di Kedah itu. Saya juga risau dengan kata-kata orang terhadap ibu dan keluarga saya. Saya masih boleh menerimanya, tetapi bagaimana dengan keluarga saya?
Boleh beritahu kenapa anda sering menyertai program-program realiti seperti Akademi Fantasia 2013 dan Maharaja Lawak Mega 2013? Adakah anda gila publisiti?
Saya tidak gilakan publisiti. Cuma, saya suka cuba sesuatu benda yang baharu. Walaupun lawak bukan bidang saya, saya mahu mencabar diri.
Saya difahamkan, anda ada berjumpa dengan Mamat Sepah dan menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulannya dalam Maharaja Lawak Mega, tetapi permintaan anda itu telah ditolak Mamat? Benarkah?
Jep Sepahtu sendiri yang beritahu saya, Mamat ada menyertai Maharaja Lawak Mega. Dia kata sesuai sangat kalau saya dan Mamat sama-sama bergandingan dalam program itu kerana kami sebelum ini pernah bersama, tetapi Mamat tolak kerana dia sudah mempunyai ahli sendiri. Bila difikir-fikir balik, elok juga sebab orang tidak akan fikir kembali kontroversi kami dahulu. Selepas itu, saya dipanggil oleh Datuk Ali Mamak dan Aziz Kota untuk menyertai kumpulan mereka.
Adakah anda yakin pandai melawak?
Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam sebuah sitkom Warna Raya 2013. Dalam sitkom tersebut saya pegang watak isteri, jururawat dan juga orang Indonesia. Datuk Ali Mamak ada menonton sitkom tersebut dan tertarik lalu menjemput saya menyertai kumpulannya. Saya pun tidak tahu boleh buat lawak atau tidak, tetapi apabila orang sudah beri kepercayaan dan juga melalui pengalaman saya bergaul dengan pelawak-pelawak, ia boleh beri saya inspirasi untuk melawak.
Boleh kongsikan mengenai perkembangan aktiviti seni anda buat masa ini?
Selain menyertai Maharaja Lawak Mega 2013, saya juga akan mengeluarkan single terbaharu berjudul Rintihan Kalbu daripada komposer Manusia Putih.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: