Thursday, October 24, 2013

StreamDotMy tawar kepakaran penstriman media


TIDAK terhad pada siaran langsung, penstriman media membenarkan pengguna menonton kandungan-kandungan hiburan yang diminati.


SIARAN langsung menerusi media elektronik telah diperkenalkan semenjak kewujudan televisyen dan radio. Lazimnya siaran langsung yang disiarkan di kaca televisyen merupakan liputan acara penting seperti perlawanan bola sepak, perlumbaan kereta Formula Satu, sambutan hari kemerdekaan atau sekadar perasmian sesuatu program peringkat nasional.
Menerusi liputan secara langsung ini, penonton yang tidak berkesempatan untuk berada di tempat berlangsungnya acara tersebut dapat menontonnya dari ruang tamu rumah mereka. Namun, siaran secara langsung ini agak terhad disebabkan liputan yang terbatas pada satu-satu negara sahaja.
Sebagai contoh, sekiranya siaran langsung yang dibuat di Kuala Lumpur, ia dapat ditonton oleh mereka yang berada di sekitar Malaysia, tetapi mustahil untuk ditonton mereka yang berada di luar negara, melainkan siaran langsung tersebut diambil oleh penyedia siaran televisyen berbayar negara tersebut.
Apabila internet mula diperkenalkan, ia telah merevolusi siaran langsung menerusi teknologi penstriman yang membolehkan pengguna menonton siaran tertangguh mahupun secara langsung menerusi komputer. Tetapi, pada awal kewujudan internet, menonton siaran secara penstriman agak membosankan lantaran kelajuan internet ketika itu yang agak perlahan.
Hari ini, revolusi jalur lebar berkelajuan tinggi telah mengubah persepsi pengguna terhadap teknologi penstriman, sekali gus membolehkan pengguna menonton siaran langsung dari sebarang peranti yang mempunyai capaian Internet tanpa mengira kedudukan geografi.
Di Malaysia, StreamDotMy Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat tempatan yang terawal mengorak langkah di dalam membangunkan teknologi penstriman web.
Menggunakan teknologi Wowza yang melakukan proses pengekodan video secara langsung, ia membolehkan video yang diambil daripada sistem produksi pelbagai kamera (multi camera production) diproses dan disiarkan secara terus ke internet.
Pengguna perlu mengetahui alamat siaran tersebut bagi membolehkan mereka menonton siaran dari komputer, tablet, telefon pintar, televisyen pintar atau hampir apa sahaja gajet yang mempunyai capaian internet dan pelayar web.
Menurut pengasas StreamDotMy Sdn. Bhd, Azril Nazli Alias, sejak 3 tahun yang lalu, syarikatnya telah melabur sekitar RM80,000 untuk membangunkan sistem yang berasaskan Wowza.
Menurut lelaki yang telah berkecimpung di dalam dunia teknologi maklumat sejak lebih dari 15 tahun yang lalu ini, teknologi Wowza benar-benar membantunya di dalam menyediakan perkhidmatan penstriman secara langsung mahupun video dalam permintaan (video on demand).
“Keupayaan untuk menyediakan video berdefinisi tinggi (HD) membenarkan penonton menikmati siaran secara langsung mahupun rakaman video terus dari gajet seperti komputer, tablet dan telefon pintar dengan format MP4 dari mana-mana sahaja asalkan mempunya liputan internet.
“Dengan meluasnya teknologi internet wayarles 3G/4G/HSDPA di Malaysia, mengakses siaran secara langsung bukan lagi satu masalah dan tidak terbatas pada siaran TV biasa sahaja”, ujarnya lagi.
Kemampuan StreamDotMy di dalam mendukung teknologi penstriman web ini telah terbukti apabila dilantik sebagai perunding kepada sebuah stesen penyiaran dan juga syarikat minyak serta gas terkemuka negara.
Tambah Azril lagi, teknologi web penstriman yang secara relatifnya jauh lebih murah berbanding kos siaran langsung di televisyen.
Pada masa yang sama, ia juga membolehkan bakal pengantin yang inginkan kelainan, membuat liputan majlis perkahwinan secara langsung bagi membolehkan saudara-mara dan sahabat handai yang tidak dapat menghadirkan diri pada hari yang penuh bersejarah itu untuk mengikuti detik-detik tersebut secara terus dari gajet mereka.
Maklumat lanjut berkaitan dengan penyelesaian streaming yang ditawarkan oleh StreamDotMy boleh diakses menerusi laman www.stream.my.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: