Wednesday, October 23, 2013

Tiga hari, 60 band


BUNKFACE


BUAT julung-julung kalinya kerjasama serantau Indonesia dan Malaysia iaitu Lian Mipro dan Indigital Sdn. Bhd. akan menganjurkan festival pakaian dan muzik yang pertama serta terbesar di Malaysia.
Lian Mipro adalah antara lima syarikat penganjuran acara yang terbesar di Indonesia dan telah berjaya menganjurkan acara festival besar di negara itu setiap tahun yang dikenali sebagai JakCloth.
Indigital Sdn. Bhd. pula adalah sebuah syarikat pembekal kandungan muzik kepada syarikat telekomunikasi dan juga banyak bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan indie di Malaysia.
Pengalaman dan kekuatan dalam bidang yang berbeza oleh kedua-dua syarikat ini menjadi asas kepada penganjuran festival ini yang diberi nama Festival Rangkaian Jenama Pakaian dan Muzik Serumpun.
Festival yang akan berlangsung di Speed City Kuala Lumpur, Kelab Lumba Kuda Selangor akan menggabungkan 120 rangkaian jenama pakaian dari Indonesia dan Malaysia.
Antara jenama yang terlibat ialah Dead Seventies, Cozuma, Hattrick, Rown, Altos, Nushock dan banyak lagi. Sesuai dengan namanya lebih 60 band indie dari kedua-dua negara akan membuat persembahan sepanjang festival itu berlangsung selama tiga hari.
Menariknya festival ini turut membariskan band terkenal seperti Sheila On 7, Go Gerila!, Bunkface, 6ixth Sense, Indie Mice, Drama Band, Hyper Act, Loka, Edane, Love Me Butch, Aryan Band, Pop Konspiracy, Buronan Mertua, The Padangs dan banyak lagi.
Buat peminat Sheila On 7, jangan lupa saksikan band pujaan anda pada 25 Oktober ini.
Acara itu akan berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober ini, bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari. Bayaran masuk hanya RM20.
Bagi memudahkan pengunjung ke tempat festival, terdapat bas perantaraan percuma disediakan antara Stesen LRT Bukit Jalil ke Speed City setiap 15 minit.
Sebarang maklumat lanjut, boleh layari laman sosial Facebook/Urban Clothing Festival dan twitter @urbanclothingfest- kl.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: