MAKASSAR dan Tana Toraja, dua tempat berlainan yang berbeza budaya. Makassar yang merupakan tanah asal usul orang Bugis kelihatan tidak begitu menarik, kurang bersih dan berdebu. Pada pandangan penulis, faktor itu mungkin disebabkan fungsinya sebagai sebuah bandar pelabuhan.
Menurut pemandu pelancong, keseluruhan masyarakat Bugis di Makassar beragama Islam, namun adat dan budaya warisan nenek moyang masih tetap dikekalkan.
Rumah-rumah di situ tidak banyak berbeza dengan kawasan perkampungan di Malaysia. Mereka masih menggunakan rumah panggung kerana percaya bahawa rumah-rumah begitu memiliki pengudaraan yang baik dan sejuk untuk didiami.
Masyarakat Bugis Makassar amat menitikberatkan hal-hal keturunan dan dengan melihat pada penutup bahagian atas bumbung rumah, semua orang sudah tahu sama ada tuan rumah terdiri daripada golongan bangsawan, pertengahan atau orang kebanyakan.
Jemputan dan kedudukan tempat duduk dalam majlis-majlis juga ada pengasingan antara golongan bangsawan dan orang biasa. Masyarakat Bugis Makassar juga amat menyanjungi Bissu. Bissu merupakan istilah yang digunakan untuk lelaki yang menyerupai wanita atau pondan.
Bissu merupakan orang tengah untuk upacara meminang dan menentukan sama ada pasangan tersebut secocok atau tidak serta menetapkan tarikh majlis yang perlu diadakan. Tanpa mereka, suatu urusan perkahwinan tidak dapat dijalankan.
Pesta kematian
Tidak banyak tempat yang boleh dilawati di Makassar selain Muzium La Galigo yang menempatkan pelbagai khazanah tinggalan nenek moyang seperti peralatan menuai dan senjata.
Di samping itu, terdapat Pelabuhan Soekarno Hatta dan Pantai Losari, selain Masjid Amirul Mukminin yang dibina di atas laut dan terkenal dengan jolokan Masjid Terapung Makassar.
Kami meneruskan perjalanan ke Tana Toraja yang biasanya mengambil masa selama lapan jam tanpa henti dari Makassar. Namun demikian, kami mengambil masa selama 13 jam untuk sampai ke bandar Rantepao yang juga merupakan bandar terbesar di Tana Taroja kerana melakukan beberapa hentian sebelum itu.
Hentian pertama kami ialah di Pare-Pare, sebuah bandar kecil yang kaya dengan khazanah laut untuk menjamu selera selepas melepasi perjalanan selama hampir tiga jam. Kemudian, kami berhenti di Puncak Lakawan yang terkenal dengan gelaran Gunung Erotik bagi menikmati secawan kopi dan sayur-sayuran seperti pisang nangka dan buah salak.
Sungguhpun hampir 90 peratus penduduk Toraja menganut agama Kristian tetapi adat istiadat tinggalan nenek moyang masih menjadi pegangan.
Bagi masyarakat sana, pesta kematian yang dikenali sebagai Rambu Solo adalah pesta besar-besaran yang membawa kepada penyembelihan paling minimum 24 ekor kerbau yang akan menjadi tunggangan si mati kelak. Selain itu puluhan ekor babi disembelih sebagai makanan sementara roh melakukan perjalanan menuju Puya.
Mayat ahli keluarga akan diawet dan disimpankan dalam rumah adat bersama-sama dengan penghuni rumah selama beberapa tahun sehingga ahli keluarga dapat berkumpul dan berkemampuan untuk mengadakan Rambu Solo.
Selepas selesai Rambu Solo, mayat ini tidak dikebumikan di dalam tanah, sebaliknya dikebumikan di dalam batu, di dalam gua atau di lereng-lerang gunung. Kubur tergantung atau dikenali kete kesu merupakan kubur lama yang sudah tidak lagi digunakan.
Terdapat sederet rumah adat di sini lengkap dengan tempat simpanan padi di setiap buah rumah. Rumah-rumah adat ini dikenali dengan nama Tongkanan yang juga rumah tradisi bagi masyarakat Tana Toraja.
Kuburan unik
Di bahagian belakang deretan Tongkanan terdapat kubur batu yang berusia ratusan tahun. Banyak keranda berbentuk perahu yang diletakkan di celah-celah batu atau digantung di lereng-lereng bukit.
Oleh sebab peredaran masa, banyak keranda tergantung itu telah jatuh ke tepi bukit. Ada juga keranda-keranda berkenaan yang disokong dengan kayu selain lereng-lereng bukit dipahat untuk diletakkan keranda tersebut.
Terdapat juga tau-tau (patung kayu) yang diukir menyerupai lelaki dan perempuan untuk menjadi penjaga kepada kubur-kubur ini.
Keranda atau dikenali dengan nama Erong diletakkan di tepi-tepi tebing curam dan disangga dengan kayu. Setiap Erong menempatkan sebuah keluarga.
Semakin tinggi kedudukan Erong itu diletakkan, bermakna lebih tinggi darjat si mati dalam masyarakat. Hanya golongan bangsawan yang mampu untuk meletakkan tau-tau yang diukir mirip wajah si mati dan diletakkan di bahagian atas Erong.
Selain kuburan di tebing curam, Londa pula menempatkan perkuburan di dalam gua. Bagi memasuki gua, kami perlu menyewa lampu gasolin dan pembawa lampu menjadi penunjuk arah kepada kami semasa di dalam gua.
Suasana di dalam gua agak lembap tetapi tidak berbau. Kelihatan peti mayat yang diletakkan di antara batuan. Peti yang telah reput atau tulang yang telah berserakan tidak boleh diganti atau disentuh kerana sebarang sentuhan dan alihan akan membawa kepada upacara Rambu Solo.
Lemo merupakan kuburan batu yang terletak di antara sawah padi dan lereng gunung. Bongkah batu besar akan dipahat secara tradisi dan mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk disiapkan.
Setiap satu kuburan batu adalah untuk sebuah keluarga. Peti mayat akan dimasukkan di dalam lubang yang telah siap dipahat dan ditutup dengan kayu. Kuburan batu merupakan kuburan yang agak berbeza berbanding kuburan lain.
Bagi bayi yang meninggal sebelum tumbuh gigi, terdapat kuburan istimewa untuk mereka. Ia merupakan kuburan pokok atau Suaya. Batang pokok yang cukup besar ditebuk dan mayat bayi itu akan dimasukkan di dalam batang pohon tersebut.
Walaupun perjalanan ini amat memenatkan tetapi saya merasai kepuasannya. Akhirnya keunikan Tana Toraja sudah saya saksikan sendiri.
Agak sukar untuk mendapatkan makanan halal di sini kecuali sebuah restoran yang disahkan sendiri oleh seorang gadis tempatan beragama Islam.
Jarang orang luar terutamanya dari Malaysia yang mengunjungi Tana Toraja berbanding pelancong Barat kerana faktor istiadat yang ingin disaksikan dan juga makanan khas kawasan itu yang dikatakan boleh menambahkan tenaga dan sangat lazat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: