PETALING JAYA: Vokalis Wings iaitu Awie mengakui kesibukannya dengan pelbagai aktiviti dalam bidang lakonan dan teater telah menyebabkan album terbaharu kumpulan itu berjudul Menakluk Kosmos tergendala.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 45, berkata, dia tidak mahu terburu-buru menyiapkan album tersebut kerana enggan memberikan produk yang tidak mencapai standard memandangkan ia adalah album pertama mereka selepas 13 tahun tidak berbuat demikian.
"Ini adalah album pertama selepas 13 tahun Wings tidak muncul dengan karya terbaharu jadi saya tidak mahu menghasilkannya dalam keadaan kelam kabut.
"Biarpun peminat terpaksa menunggu lama tetapi saya tetap dengan pendirian tidak mahu memberikan album 'cincai' kepada mereka," katanya kepada mStar Online.
Wings sepatutnya muncul dengan Menakluk Kosmos pada September 2012 selepas mengikat kontrak bersama syarikat rakaman KRU Music Group.
Selain Awie (vokal), Wings terdiri daripada Eddie (pemain bass), Black (dram) dan Joe (gitar).
Dalam pada itu, Awie berkata, setakat ini muzik untuk album berkenaan telah pun siap dan cuma menunggu proses memasukkan vokalnya sahaja.
Jelas Awie, dia sedang mencari masa sesuai untuk memberikan tumpuan hanya kepada rakaman album itu kerana dia komited untuk memberikan terbaik kepada peminat setia Wings.
"Saya kini sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti dan sedang mencari masa sesuai untuk melakukan proses rakaman suara dan ingin memberikan tumpuan kepada perkara itu sahaja.
"Jika saya buat dalam keadaan letih dan terkejar-kejar ia akan memberi kesan kepada persembahan vokal saya memandangkan ia adalah muzik rock jadi kekuatan vokal amat penting," katanya.
Sementara itu, Awie berkata, walaupun album berkenaan lewat disiapkan namun syarikat rakaman memahami dan tidak mendesaknya untuk menyiapkan album berkenaan walaupun ia telah tertangguh selama setahun.
"Pihak syarikat rakaman faham dengan situasi saya dan mereka juga mahu memberikan yang terbaik kepada semua peminat dan Insya Allah saya menjangkakan ia akan siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Awie bakal muncul dalam teater muzikal SuperMokh yang mengangkat kisah kehidupan legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.
Ia bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 18 November depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: