Monday, October 28, 2013

Lapan terbaik ke Sarawak


AKSI para peserta pada Debaran Bintang Kecil 2013 baru-baru ini bagi merebut lapan tempat untuk ke final Pertandingan Bintang Kecil 2013 yang bakal berlangsung di Sarawak.


ALANG-ALANG menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan merupakan peribahasa yang paling sesuai buat kesemua finalis yang bakal mewakili Semenanjung Malaysia untuk sesi final Pertandingan Bintang Kecil 2013 (PBK2013) pada 7 Disember ini di Sarawak.
Usaha murni Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam memastikan industri hiburan tanah air tidak ketandusan bakat telah disaksikan menerusi Debaran Bintang Kecil 2013 (DBK2013) yang disiarkan secara langsung menerusi stesen radio KLFM pada Sabtu lalu itu dijangka membuahkan hasil yang lumayan.
Ini kerana kesemua peserta cilik yang hadir masing-masing memiliki vokal yang bukan calang-calang.
Acara DBK2013 bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan bakat kesemua peserta ini terlebih dahulu dikenalpasti menerusi uji bakat dan pertandingan yang diadakan oleh stesen radio negeri RTM di seluruh Semenanjung termasuk LANGKAWIfm.
Kanak-kanak
Penganjuran DBK2013 yang melibatkan kanak-kanak berusia antara 7 hingga 11 tahun ini bertujuan memilih lapan orang peserta terbaik daripada 26 orang yang layak bertanding dari Semenanjung Malaysia.
Kesemua lapan wakil dari Semenanjung itu akan bersama-sama empat peserta dari Sabah, dan empat lagi peserta mewakili tuan rumah, Sarawak, menjadikan jumlah peserta yang bakal berentap di Kuching nanti seramai 16 orang.
DBK2013 yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini telah menyaksikan lapan peserta yang layak ke PBK2013.
Mereka terdiri daripada Nurtiehana Shamsul Anuar dari Perak, Muhammad Fikry Izzudin Fuad mewakili Melaka, Sheikh Abdul Basser dan Nur Suhaila Md. Tahir (Johor), Ng Sue Ean (Pulau Pinang), Muhammad Akmal Zafran Zuraimi (Terengganu), Nur Balqis Aleya Shahrom (Selangor) dan Nur Nadrah Balqis Omar Baqi (Perlis).
Sebagai habuan, kesemua peserta yang layak ke final PBK2013 di Sarawak itu telah menerima wang tunai sebanyak RM2,000 trofi, sijil penyertaan dan penginapan tiga hari dua malam yang ditaja oleh Ancasa Hotel & Resorts.
Peserta yang kurang bernasib baik turut menerima hadiah sagu hati wang tunai sebanyak RM500 serta sijil penyertaan. Sebahagian daripada hadiah wang tunai ditaja oleh Superbest Power (M) Sdn. Bhd.
Seorang peserta yang layak ke final, Muhammad Fikry Izzudin Fuad, 9, ternyata sangat gembira kerana berjaya melayakkan diri ke final PBK2013.
"Saya ternyata amat bersyukur dan berbangga dapat melayakkan diri ke final dan saya berharap dapat menjuarai pertandingan itu," kata penyanyi cilik yang berasal dari Melaka itu.

BARISAN lapan finalis yang bakal bersaing di gelanggang final Pertandingan Bintang Kecil 2013.


Fikry yang mendendangkan lagu hit Hafiz, Awan Nano itu menegaskan dia telah menjalani latihan selama dua hingga tiga minggu sebelum menyertai DBK2013 lalu.
Sementara itu peserta yang mewakili Selangor, Nur Balqis Aleya, 9, pula meluahkan perasaan syukur yang tidak terhingga kerana setelah penat berusaha akhirnya dia dapat melayakkan diri ke peringkat akhir PBK2013 di Kuching.
"Saya meletakkan harapan yang agak tinggi pada final nanti dan akan mencuba sebaik mungkin untuk menewaskan peserta lain yang tidak kurang hebatnya," ujar pelajar tahun 3 Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2, Petaling Jaya, Selangor yang menyanyikan lagu berjudul, Kisah Dongeng itu.
Peserta bukan Melayu
Pada pertandingan yang berlangsung penuh sengit itu, Ng Sue Ean, 11, merupakan satu-satunya peserta bukan Melayu yang berjaya terbang ke Sarawak bersama tujuh finalis lain.
Seperti peserta lain, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Peng Bin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu juga meluahkan rasa keterujaan kerana hasil usaha yang dilakukan selama ini berbalas.
"Saya akan melakukan latihan khusus sebagai persediaan sebelum terbang ke Sarawak," jelasnya yang bercita-cita menjadi guru muzik.
Pada DBK2013 kali ini, format penganjuran berbeza berbanding edisi yang lepas dan kualiti serta bakat penyanyi dilihat sangat memuaskan.
Jika sebelum ini pemilihan peserta diadakan mengikut zon, pada edisi yang terbaharu ini, peserta bertanding mengikut setiap negeri di seluruh Semenanjung dan pada peringkat saringan ini, hanya lapan yang terbaik layak ke Sarawak.
Dalam pada itu menurut Pengarah Program Radio RTM, Dr. Nawiyah Rita Che Lah, peserta pada kali ini melakukan persembahan yang cukup berkualiti.
"Dalam PBK2013 yang bakal berlansung nanti, lapan peserta terbaik dari Semenanjung akan bertanding menentang empat peserta dari Sabah dan empat wakil tuan rumah, Sarawak.
"Para peserta akan berkampung dua hingga tiga minggu di Sarawak sebelum malam kemuncak dan kita akan mengajar mereka cara menyanyi dan berkomunikasi dengan baik kerana kami mencari artis cilik yang serba lengkap," ujarnya.
Tambah Dr. Nawiyah, tujuan RTM bukan sahaja untuk mengasah bakat peserta menjadi penyanyi, tetapi kami mahu mereka bijak berkomunikasi serta menambah keyakinan diri.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: