Menurut Ezany Nizariff, dia masih belum bersedia untuk bergelar pengarah kerana menyedari banyak cabaran yang perlu digalas untuk berada di kerusi itu.
"Bukan senang jadi pengarah. Untuk menjadi pengarah yang berkaliber, mestilah mempunyai cara pengarahan tersendiri dan saya mahu menjadi seperti itu," katanya yang sangat mengagumi pengarah drama terkenal, Rashid Siber.
12 tahun berada dalam industri, Ezany masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan. Selain bakal muncul dengan Tangisan Bulan Madu 2 di TV2, aktor kelahiran Kelantan ini juga turut membintangi drama 5 Bujang dan Lara Ameera untuk TV Al Hijrah.
Masih menerima tawaran lakonan, aktor berusia 36 tahun juga semakin rancak mengembangkan rangkaian perniagaan sendiri.
Sebagai tauke belacan dan juga kicap, Ezany bersyukur kerana perniagaannya membuahkan hasil memberangsangkan sehingga mampu membuka sendiri sebuah kilang kicap, sos dan belacan di Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor dan di Jengka, Pahang.
Selain belacan, Ezany menerusi syarikatnya, EMP Sdn. Bhd turut mengedar kunyit serbu, rempah ikan, rempah kurma dan pelbagai lagi rencah masakan.
“Alhamdulillah, segala penat lelah dan kesabaran saya dan keluarga berhasil. Jenama kicap dan belacan saya diterima ramai dan mendapat sambutan di beberapa pasar raya.
"Selain itu, saya juga mempunyai jenama pakaian sendiri iaitu Grassjeans yang kini dijual di Jaya Jusco," katanya yang semakin teruja menerokai pelbagai jenis perniagaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: