Wednesday, October 30, 2013

AS didakwa miliki fasiliti mengintip di KL

GAMBAR fail menunjukkan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.


SYDNEY - Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mencuri dengar perbualan telefon dan memantau rangkaian komunikasi dengan menggunakan fasiliti pengintipan elektronik di kedutaan dan konsulat AS yang terdapat di Asia Timur dan Asia Tenggara, lapor akhbar Sydney Morning Herald semalam.
Pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat yang dibocorkan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Edrward Snowden yang juga warga AS.
Satu senarai peta rahsia turut mendedahkan 90 fasiliti tersebut yang terdapat di seluruh dunia termasuk kemudahan pengintipan komunikasi yang terdapat di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.
Bertarikh 13 Ogos 2010, peta itu menunjukkan tiada fasiliti berkenaan di lokasi di Australia, New Zealand, Britain, Jepun dan Singapura yang merupakan sekutu rapat AS.
Australia mengetahui sepenuhnya berhubung pengintipan elektronik AS ke atas negara-negara rantau di Asia Tenggara dan rakan perniagaannya.
Negara itu juga telah mengakses sebahagian besar data yang dikumpulkan oleh AS.
Menurut peta itu yang disiarkan oleh majalah Jerman, Der Spiegel semalam, operasi pengintipan itu dilakukan secara bersama oleh Agensi Perisikan Pusat dan NSA menerusi unit yang dikenali sebagai Perkhidmatan Pengumpulan Khas (SCS).
Peta tersebut yang pada mulanya disiarkan secara penuh di laman web Der Spiegel tetapi kemudian diganti dengan versi yang ditapis telah menyenaraikan fasiliti SCS di 90 buah lokasi di seluruh dunia termasuk 74 premis dan 14 fasiliti yang dikawal dari jauh.
Ia juga memaparkan dua pusat sokongan teknikal SCS.
Peta tersebut mendedahkan AS memiliki fasiliti pengintipan komunikasi di Jakarta, Kuala Lumpur, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.
Kedutaan AS di Bangkok juga merangkumi pasukan sokongan teknikal dan digunakan untuk mengendalikan premis pengintipan di Konsulat AS di bandar Chiang Mai.
Di Asia Timur, usaha pengintipan AS tertumpu kepada China dengan fasiliti tersebut dibina di Kedutaan AS di Beijing dan Konsulat AS di Shanghai dan Chengdu.
Sebuah fasiliti serupa berada di pejabat diplomatik tidak rasmi AS di Taipei.
Peta itu mengesahkan bahawa operasi pengintipan komunikasi AS melangkaui ke seluruh dunia dengan fasiliti seumpamanya berada di bandar raya utama di setiap benua.
Terdapat lapan fasiliti itu di Asia Selatan termasuk di Kedutaan AS di New Delhi dan Islamabad.
Rantau Asia Barat dan Afrika Utara pula dilitupi oleh tidak kurang daripada 24 fasiliti pengintipan manakala rantau Sahara mempunyai sembilan fasiliti serupa.
Sebelum ini program pengintipan NSA, X-Keyscore telah dibocorkan oleh Snowden.
Program itu merupakan sistem komputer yang digunakan oleh NSA dan rakan perisikannya, FVEY bagi mencari dan menganalisis data internet di seluruh dunia.
Menurut dokumen yang disiarkan oleh akhbar Britain, Guardian, X-Keyscore membolehkan NSA memantau hampir segala aktiviti pengguna internet termasuk e-mel, enjin pencarian internet dan penggunaan laman sosial.
Beberapa sumber perisikan Australia mengesahkan kepada agensi media Fairfax baru-baru ini bahawa fasiliti itu digunakan untuk mengumpulkan maklumat risikan diplomatik, politik dan ekonomi selain keganasan serta keselamatan.
Operasi pengintipan di fasiliti-fasiliti tersebut berlaku di sebuah bilik bangunan kedutaan melibatkan perbuatan mencuri dengar mana-mana perbualan telefon yang disasarkan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: