Saturday, October 26, 2013

Hajat Jamal selepas bergelar Datuk

JAMAL ABDILLAH berikrar mahu berbakti kepada masyarakat sebagai anak seni selagi hayat dikandung badan.


PENYANYi terkenal, Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali baru-baru ini dianugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-83.
Gelaran Datuk diberikan kepada Jamal, 54, berkat sumbangannya dalam industri hiburan lebih 30 tahun.
Biarpun hidup Jamal dahulu pernah terpalit dengan kontroversi dadah, namun lelaki gigih itu membuktikan dia mampu mengecapi kejayaan.
Berkongsi rasa setelah bergelar Datuk, luah Jamal, dia tidak menjangkakan penganugerahan tersebut, namun bersyukur di atas kurniaan yang diberikan kepadanya
“Saya sebenarnya tidak menjangkakan gelaran ini (Datuk). Bagaimanapun, saya rasa gembira dan bersyukur pada Tuhan di atas anugerah yang tinggi ini,” ungkapnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berjanji untuk menjaga nama baik sendiri dan juga nama baik Tuanku yang telah menganugerahnya gelaran tersebut, ikrar Jamal lagi, dia juga akan meneruskan baktinya sebagai anak seni kepada masyarakat sampai bila-bila.
Biarpun dikurniakan dengan gelaran Datuk, jelas Jamal, dia tetap akan bersikap seperti dahulu.
“Tiada apa-apa perubahan pada diri saya selepas ini. Apa yang berubah cuma saya lebih bersikap rendah diri dan mudah didekati.
“Saya juga berterima kasih kepada peminat-peminat yang menyalurkan ucapan tahniah kepada saya,” tuturnya sambil merendah diri.
Berkongsi mengenai harapannya selepas ini, kata Jamal, dia berhajat untuk berkongsi pengalaman hidup dengan golongan yang pernah terjerumus sama sepertinya dahulu iaitu bergelumang dengan najis dadah.
Kata Jamal, dia mahu mereka (penagih) sedar dan tahu manusia mampu berubah ke jalan yang lebih baik yang mana semuanya bergantung pada usaha.
“Sebagai manusia, semua orang boleh berubah ke jalan yang lebih baik. Jadi saya mahu kongsi pengalaman ini dengan semua orang,” katanya.
Disoal sama ada dia berasa terbeban dengan gelaran Datuk yang mana dia sentiasa perlu menjaga tingkah laku agar tidak terpalit dengan sebarang kontroversi lagi, luah Jamal: “Selama sembilan tahun saya sudah berubah dari segi tingkah laku dan tidak lagi terjebak dengan dadah biarpun gelaran Datuk itu belum dikurniakan kepada saya.
“Kini, setelah menerima gelaran Datuk, saya mahu masyarakat terus menyokong dan menyayangi saya.”
Jamal turut berkongsi kegembiraannya bersama dua orang anaknya iaitu Osama Yamani, 11, dan Ahmad Zaki Yamani, 7, mengenai penerimaan anugerah tersebut.
“Anak kedua saya, Ahmad Zaki Yamani, 7, mungkin belum mengerti bila saya beritahu mengenai penerimaan gelaran ini. Tetapi anak sulung saya iaitu Osama Yamani, 11, agak terkejut apabila saya khabarkan tentang penerimaan gelaran Datuk kepadanya.
“Saya gembira kerana dapat kongsikan kegembiraan ini pada anak-anak, ibu tiri saya, Norsiah Mat Noor dan peminat-peminat saya,” katanya.
Mengulas mengenai projek seninya selepas ini, ujar Jamal, syarikat miliknya iaitu Bintang Channel Sdn. Bhd. akan menganjurkan sebuah konsert solonya di Kota Bharu, Kelantan pada bulan Januari depan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: