Tuesday, October 29, 2013

Fesyen pakaian terkini



SIKAP suka bergaya tetapi bercirikan Muslimah menjadi titik tolak kepada pemilik butik Al-Humaira, Hani Elia Rousli menceburi perniagaan pakaian Muslimah.
Ia bermula pada tahun 2008 apabila wanita berusia 28 tahun itu menjual tudung dan selendang secara dalam talian.
Nyata, usaha tersebut membuahkan hasil kerana pada masa tersebut berlaku trend pemakaian hijab di negara ini.
“Ketika itu, orang ramai mula memberi keutamaan untuk tampil berhijab dan saya mendapati amat kurang tudung atau selendang yang menepati kehendak wanita moden urban. Oleh itu, saya mengambil keputusan menjual hijab secara dalam talian,” kata Hani Elia Rousli yang lebih mesra dipanggil Hani.
Dia dan suaminya, Humaidi Fadzil, 31, ditemui Kosmo! di butiknya di The Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Butik itu dibuka setelah tiga tahun menjual secara dalam talian dikenali sebagai Al-Humaira Contemporary (AHC). Ia bukan sahaja menjual hijab, malah jubah, baju dan aksesori sesuai dengan kehendak pelanggan Muslim.
Pada peringkat awal perniagaan dalam talian, mereka turut berdepan masalah seperti pelanggan tidak membuat bayaran tetapi mengaku sudah membayar.
“Ketika itu, cara pembayaran hanya bergantung kepada urusan bank tetapi kami berjaya mengatasinya selepas menggantikan sistem pembayaran yang lebih sistematik dan selamat,” ujar Humaidi.

BUTIK yang teratur, kemas dan bersih memberi keselesaan kepada para pelanggan.


Cabaran lain yang dihadapi pasangan itu termasuk berdepan masalah pemilihan material, rekaan pakaian dan hijab yang tidak mendapat sambutan daripada para pelanggan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Hani dan suaminya banyak melakukan penyelidikan termasuk mendapatkan respons pelanggan tentang pakaian atau rekaan yang diminati dari segi rekaan, corak, warna dan material.
Tumpuan
Usaha tersebut berhasil sekali gus butiknya menjadi tumpuan para pelanggan. Para pelanggannya yang berpuas hati dengan produk yang dibeli turut menwar-warkan menerusi blog atau laman sosial masing-masing.
Kini, hampir semua pakaian dan tudung di laman blog jualan AHC kehabisan stok dan pelanggan terpaksa bertandang ke butik itu untuk mendapatkan rekaan yang dimahukan.
Bagi memuaskan hati pelanggan, Hani akan membekalkan koleksi pakaian, khususnya selendang yang benar-benar disukai pelanggan.
Pelanggan utama AHC terdiri daripada golongan wanita berkerjaya dan berusia 20 hingga 35 tahun.
Produk kegemaran
Antara, produk kegemaran pelanggan di AHC termasuk koleksi selendang terkini seperti hijab pelbagai fungsi, hijab kombinasi beberapa warna dan selendang corak bercetak.
Dari segi pemilihan warna pula, Hani peka dengan trend warna semasa dan gemar bermain dengan kombinasi pelbagai warna.
BUTIK AHC tersergam indah di The Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya.


Kebanyakan tudung dan selendang diperagakan di butik AHC menawarkan warna terang dan kombinasi tiga warna terang selain selendang bercetak.
Bercakap mengenai harga, Humaidi menyatakan AHC menyediakan hijab mampu beli yang berharga kurang RM100 manakala bagi pakaian pula sekitar RM79 hingga RM150.
Pasangan suami isteri itu juga akan mengembangkan perniagaan mereka dengan membuka cawangan kedua AHC di Bandar Baru Bangi, pada 2 November ini.
Menurut Hani, pembukaan cawangan baharu itu sebagai satu peluang untuk lebih mendekati pelanggan selain ia menawarkan lebih banyak pilihan koleksi pakaian dan hijab.
Majlis pelancaran butik baharu itu akan dimeriahkan dengan pelbagai promosi, fesyen hijab terbaharu, jubah dengan fasilitasi khas kepada ibu-ibu menyusu.
Majlis akan diadakan sepanjang hari dengan objektif utama meraikan pelanggan yang banyak memberi sokongan kepada AHC selama ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: