Saturday, October 26, 2013

KTM 390 Duke


KTM 390 DUKE disasarkan kepada pelanggan dalam lingkungan umur antara 25 hingga 38 tahun.


SELEPAS menjayakan program pemasangan tempatan model KTM 200 Duke dan 690 Duke sejak awal tahun ini, KTM Malaysia kini menambah satu lagi model untuk memberi pilihan dalam pasaran tempatan.
Produk terbaharu itu ialah KTM 390 Duke yang dikeluarkan menerusi fasiliti pengeluaran di Jitra, Kedah. Motosikal dalam kategori naked itu didatangkan bersama unit enjin baharu yang diimport sepenuhnya dari Austria.
Enjin itu diadun bersama sistem transmisi enam kelajuan dan sistem pancitan bahan api Bosch yang menzahirkan ledakan kuasa output dan tork unggul untuk merealisasikan pengalaman keseronokan tunggangan.
Secara asas, KTM 390 Duke menggunakan kerangka keluli yang diberi salutan cat warna jingga dan lengan ayun tuangan terap ringan. Bagi memastikan keseimbangan tunggangan, tugas itu diserahkan kepada komponen penyerap hentak jenama WP.
Aspek keselamatan tunggangan diberi penekanan menerusi tawaran set brek cakera bersama teknologi sistem brek antikunci (ABS). Titik graviti 390 Duke ditingkatkan menerusi tindakan menempatkan sistem ekzos di antara unit enjin dan lengan ayun.
Instrumen meter jenis digital memaparkan maklumat semasa kelajuan, baki bahan api, kadar purata penggunaan bahan api, meter rev, kedudukan gear dan lampu indikator ABS.
KTM 390 Duke ditawarkan pada harga jualan asas sebanyak RM26,500 seunit. Harga itu tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj-caj lain. Jaminan diberikan adalah selama 24 bulan.
KTM Malaysia berhasrat menjual sebanyak 5,000 unit model baharu itu menjelang tahun hadapan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: