|
BAGI sesetengah orang, tidak puas rasanya menjamah hidangan jika tidak ada rasa pedas sehingga mendorong amalan meratah cili padi mentah sebagai ulam.
Walaupun pedas, cili merupakan penambah selera dalam kalangan masyarakat tempatan lebih-lebih lagi jika dimakan bersama sambal tempoyak, cencaluk, budu atau air asam.
Menurut Ketua Institut Chili Pepper di Universiti Negeri New Mexico, Paul Bosland, cili padi yang juga dikenali dengan nama cili Thai itu dikategorikan sebagai antara cili terpedas di dunia.
Ia dikatakan mempunyai skala kepedasan sehingga 100,000 mata mengikut skala Scoville yang digunakan untuk mengukur tahap kepedasan cili.
Bagaimanapun, menurut Guinness World Records, rekod cili terpedas dipegang oleh cili Trinidad Scorpion ‘Butch T’ dengan skala kepedasan 1.464 juta mata.
Cili kacukan yang ditanam di Morisett, kira-kira 89 kilometer di utara Sydney, Australia itu kira-kira 15 kali ganda lebih pedas berbanding cili api dan 30 kali lebih pedas daripada Tabasco.
Bosland menerusi portal berita The Wall Street Journal dipetik berkata, petani di kawasan itu dikehendaki memakai sarung tangan ketika memetik cili bagi mengelakkan rasa pijar.
“Mereka yang terlibat dalam kerja-kerja memproses dan memasak cili untuk dijadikan sos juga diminta memakai topeng dan pakaian khas bagi melindungi diri daripada aroma pedasnya.
“Sekiranya anda tidak memakai sarung tangan, tangan akan berasa pijar sekurang-kurangnya selama dua hari,” katanya.
Pemilik bersama The Chilli Factory, Marcel De Wit berkata, cili yang memiliki kepedasan melebihi skala 800,000 mata itu sangat pedas sehingga boleh mendatangkan kemudaratan.
“Ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital gara-gara tidak tahan dengan kepedasan cili Scorpion Butch T.
“Saya sendiri mengalami halusinasi selepas memakannya secara mentah. Saya tidak boleh berjalan dan terpaksa berbaring selama kira-kira 20 minit sebelum keadaan kembali normal,” katanya.
Sehingga tahun 1990, hanya dua jenis cili yang mencatat skala kepedasan melebihi 350,000 mata iaitu Habanero dan cili Scotch Bonnet.
|
Rekod cili terpedas
Pada tahun 1994, sejenis cili kacukan Red Savina Habanero diiktiraf Guinness sebagai cili paling pedas dengan skala kepedasan 570,000 mata.
Rekod itu tidak bertahan lama selepas cili Bhut Jolokia atau ‘lada hantu’ yang ditanam di daerah Changpool di negeri Assam, India merampas kedudukan tersebut dengan skala kepedasan 1.075 juta mata pada tahun 2007.
Selepas itu, sejenis cili kacukan daripada tiga jenis cili berlainan termasuk Naga Morich, Bhut Jolokia dan Trinidad Scorpion memecah rekod Guiness pada 2011 dengan skala kepedasan 1.38 juta mata.
Walaupun cili Trinidad Scorpion Butch T adalah cili terpedas pada masa ini, sejenis cili kacukan Trinidad Moruga Scorpion dipercayai akan menyaingi cili terpedas itu untuk rekod baharu Guiness.
Kepedasan cili itu telah terbukti dalam ujian makmal di Institut Chili Pepper dan dikatakan mempunyai skala kepedasan melebihi 2 juta mata.
Menurut Bosland, dia masih belum menghantar kertas laporan makmal kepada Guinness untuk pengiktirafan rasmi.
“Bagi yang telah merasainya (Moruga Scorpion), ia ternyata jauh lebih pedas,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: