- Pengacara 3R beri inspirasi baharu
Penampilan musim baharu akhirnya memperkenalkan tiga hos iaitu Nurhidayah Abu Bakar atau Dayah, Amirah Azmi dan Yvonne Lee yang dipilih melalui program realiti Projek 3R.
Pengurus Besar, Kumpulan Jenama, TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri, berkata, tiga pengacara ini dipilih daripada program realiti Projek 3R, yang memaparkan persaingan 12 finalis menghadapi pelbagai cabaran dan latihan sebelum bergelar sebagai pengacara 3R.
"Penonton yang menyaksikan rancangan musim baru 3R ini, akan lebih proaktif dalam memberi respons kepada isu yang 3R ketengahkan oleh mereka, selain melibatkan diri dalam perbincangan di laman sosial 3R.
"Selain itu, pelbagai isu semasa berkenaan wanita yang lebih segar dan relevan akan dikupas dan dikongsi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya golongan remaja," katanya.
Tambahnya lagi, dia yakin dengan semangat baru yang diberikan oleh mereka bertiga, 3R dapat menepati cita rasa dan kehendak golongan muda pada zaman yang kian moden ini.
Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Bersama, Red Communication, Lina Tan berkata, dia yakin dengan semangat yang ada dalam tiga pengacara baharu ini mampu memberi kelainan dan tarikan kepada penonton.
"Saya juga melihat mereka bertiga mempunyai keserasian dalam mengendalikan tugasan yang diberikan oleh Projek 3R.
"Walaupun masih baru, ketiga mereka menunjukkan komitmen yang tinggi dalam bidang ini," katanya.
Dayah teruja
Bagi Dayah, 24, dia begitu teruja apabila terpilih bagi mengacarakan program realiti Projek 3R.
Menurut Dayah, pengalaman mengendalikan rancangan Hijabista sebelum ini memberi sedikit sebanyak ilmu sebagai pengacara.
"Alhamdulillah, saya bersyukur apabila dipilih menjadi sebahagian daripada 3R, terasa seperti bermimpi tapi ini telah terbukti dengan apa yang diingini Insya-ALLAH mimpi akan menjadi
realiti," katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai karier selain pengacara, Dayah memberitahu, dia juga memiliki rangkaian fesyen online sendiri iaitu FashionCents.
"Saya memang terlalu meminati pelbagai jenis fesyen, atas sebab itu juga saya menceburi bidang fesyen secara online agar ia dapat dikongsi bersama.
"Bukan itu saya saya juga gemar menulis lirik lagu, bagi saya dalam kehidupan kita ini, kita perlu mempelajari pelbagai ilmu," katanya.
Impian sejak kecil
Sementara, bagi Amirah, 22, peluang yang diberikan untuk mengendalikan program itu tidak akan disia-siakan.
“Ini adalah impian saya sejak kecil dan saya membesar dengan program tersebut jadi saya tidak akan sia-sia peluang yang diberikan ini.
"Walaupun belajar dalam bidang perakaunan yang berlainan dalam pengacara, tapi saya yakin dengan keazaman yang kuat saya mampu mengorak langkah untuk lakukan yang terbaik
dalam bidang ini," katanya.
Tambah Amirah lagi, dia merupakan seorang yang gemar melakukan aktiviti lasak dan mencuba dengan cabaran yang baru.
"Saya rasa bertuah apabila dipilih menjadi pengacara 3R kepada program yang disayangi ramai.
"Inspirasi saya sebagai hos 3R generasi baru ini, adalah untuk menarik perhatian gadis remaja zaman ini kerana dunia yang kita harungi setiap hari sentiasa memberi cabaran secara
mengejut dan adakala kita tidak sedia menghadapinya," katanya.
Yvonne terima kritikan
Yvonne Lee, yang belajar dalam jurusan komunikasi media memberitahu, walaupun masih baharu dalam bidang ini, namun dia tidak menafikan akan menerima kritikan daripada penonton.
"Walaupun masih baharu, saya tidak menolak kemungkinan ada yang suka ataupun tidak, tapi bagi saya ia bukan halangan untuk kami melakukan yang terbaik bagi mengacarakan program ini.
"Kami juga akan jadikan setiap kritikan yang diterima sebagai motivasi hidup ini untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: