• Tiada istilah ‘paksa’

ISU kontrak artis nampaknya semakin menjadi perbincangan serius dalam industri tempatan.

Isu ini mula menjadi perhatian ekoran kisah pernikahan pasangan selebriti, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, dilakukan secara rahsia demi menghormati kontrak bersama syarikat produksi.

Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth International Group (MIG), tampil mendedahkan kontrak yang ditandatangani Wawa, namun Presiden Seniman tetap bertegas dengan pendiriannya.

Tetap menggesa MIG agar memansuhkan isi kandungan kontrak di klausa 4.3, Zed turut bertegas untuk membawa perkara ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menurut Zed, undang-undang seperti itu tidak perlu disertakan dalam kontrak kerana ianya boleh mengundang perkara yang sama berulang sekali gus mencabul hak asasi manusia.

Selain itu, Zed juga turut merancang untuk membawa perkara ini dalam mesyuarat bersama Persatuan Gabungan Karyawan Malaysia (Gafim) apabila dia mendakwa kontrak yang dibuat lebih memihak kepada golongan penerbit dan produksi manakala artis pula terus dimanipulasikan.

Bagaimanapun, tindakan Zed itu mendapat reaksi dari beberapa penggiat seni yang juga pemilik produksi tempatan.

Menurut pemilik syarikat produksi terkenal, KRU Studio, Edry Abdul Halim, menyifatkan kontrak yang dibuat adalah perjanjian dan persetujuan dua belah pihak.

Katanya, apa jua isi kontrak itu, ia bergantung kepada produksi tersebut yang merupakan ‘pelabur’ dan pengeluar modal.

“Konsepnya sama seperti urusan pinjaman bank. Adakah pemiutang itu yang perlu menetapkan isi perjanjian?

“Semuanya bergantung kepada produksi kerana syarikat yang keluarkan modal untuk artis. Perkara sebegini tidak perlu ditimbulkan kerana artis tidak dipaksa untuk menandatangani kontrak.

“Jika mereka tidak setuju, mereka tidak perlu tandatangan. Kalau bawa ke muka pengadilan sekalipun, mereka tidak boleh mempertikaikan isi kontrak kerana ia adalah persetujuan bersama,” katanya yang mengakui campur tangan banyak pihak boleh menimbulkan kerumitan.

Tambah Edry, walaupun 99 peratus kontrak berpihak kepada syarikat, artis baru tidak boleh bertindak sedemikian setelah berjaya mencipta nama.

“Saya sarankan, sebelum tandatangan kontrak, rujuk dahulu kepada mereka yang berpengalaman. Jangan terus tandatangan sahaja.

“Mereka perlu membaca kesemua isi kandungan agar tidak berlaku masalah di kemudian hari seperti ini.

“Sebaiknya, artis baru itu jangan tandatangan kontrak dalam jangka masa yang panjang. Tandatangan untuk setahun dahulu, jika serasi dengan produksi itu, mereka boleh sambung dan sambung lagi,” katanya yang enggan mendedahkan kontrak syarikatnya.

Pun begitu, Edry memberitahu dalam kontrak KRU Studio, soal disiplin dan tingkah laku artis juga turut diambil kira dan perlu dipatuhi dalam kontrak.

Itu hak penerbit: Ahmad Idham

“ Apa jua isi kontrak itu, ia adalah hak penerbit!,” tegas pemilik syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berhubung isu kontrak ini.

Menurut Idham, sepanjang tempoh bekerjasama dengan artis dalam industri, dia tidak pernah merasakan kontrak yang dibuat bersifat berat sebelah.

“Tak ada kontrak yang tak adil. Walaupun tak semua penerbit menyediakan kontrak yang selaras, namun ianya lebih kurang sama.

“Pun begitu, kontrak bukanlah Al-Quran yang tidak boleh diubah. Sekiranya artis itu tidak bersetuju dengan kontrak yang ada, mereka boleh berbincang mengenai perkara itu.

“Artis juga kena baca dan fahami isi kandungan kontrak. Mereka boleh tandatangan kontrak itu asalkan ia tidak melanggar hak asasi manusia,” katanya .

Tak larang hubungan: Datin Zaiton Mohd Jiwa

Menurut pemilik syarikat produksi, Global Station, Datin Zaiton Mohd Jiwa, dia tidak pernah memaksa golongan artis menandatangani kontrak yang dibuat.

Katanya, sebelum menandatangani kontrak, Zaiton atau lebih mesra disapa Kak Ton ini memberitahu artis perlu mengkaji dan selidik isi kontrak terlebih dahulu.

“Kak Ton tak pernah paksa artis bersetuju dengan kontrak yang disediakan. Sekiranya ada terma yang tidak dipersetujui, kita boleh berbincang.

“Sekiranya perkara itu boleh diubah, Kak Ton akan pertimbangkan. Namun, dalam kontrak Kak Ton, tak ada larangan dalam perhubungan setiap artis.

“Lagipun, Kak Ton tak pernah terfikir nak masukkan perkara sebegini dalam kontrak.

Pun begitu, setiap produksi berlainan cara dan kontrak juga berbeza,” katanya yang berkali-kali berpesan kepada artis baru agar membaca dan memahami isi kontrak terlebih dahulu.

Tambah Kak Ton, sepanjang berada dalam industri, dia telah melalui perkara yang melibatkan disiplin artis.

“Kalau boleh, Kak Ton cuba untuk elak daripada memikirkan disiplin artis dan artis bermasalah.

“Ia boleh mengganggu perjalanan produksi dan tak bagus untuk ‘teamwork’,” katanya.