TIDAK mungkin kereta hibrid akan menjadi popular seperti hari ini tanpa insentif pengurangan dan pengecualian cukai sejak tahun tiga tahun lalu.
Polisi mesra alam itu mendorong pengeluar kenderaan membawa masuk pelbagai jenis model hibrid seperti Toyota Prius dan Prius C, Nissan Serena S-Hybrid, Honda Insight, Honda CR-Z dan Honda Civic Hybrid.
Sudah tentu ramai yang gembira dengan tahap penggunaan minyak model hibrid, begitupun tidak kurang juga pengguna masih skeptikal dengan teknologi hijau itu. Antara alasannya ialah jumlah penjimatan sebenar, kos penyelenggaraan, jangka hayat bateri dan harga jualan semula.
Jujurnya, penulis juga skeptikal sementelah satu sesi uji kereta hibrid beberapa tahun lalu sangat mendukacitakan. Sifat ingin tahu terhadap teknologi yang ditambah baik kembali marak untuk memandu uji tetapi kali ini untuk tempoh yang lebih lama melalui jarak lebih mencabar.
Kali ini, Civic Hybrid menjadi pertaruhan. Walaupun pesonanya menyerupai Civic 2.0 namun kerusi kulit rona merah yang didatangkan sebagai aksesori standard mulai mengetuk skeptikal penulis.
Sebaik melabuhkan punggung, tempat duduk pemandu terasa selesa dan cepat untuk disesuaikan. Bergerak memasuki jalan raya, kuasa enjin yang dibekalkan agak bertenaga dan mengejutkan penulis yang sebelum ini memandang rendah output enjin hibrid. Manakan tidak, dengan sesaran enjin 1.5 liter berapa sangatlah kuasa yang mampu dibekalkan.
Magis sistem hibrid Honda terletak pada Bantuan Motor Bersepadu (IMA) yang membekalkan kuasa tambahan agar kereta lebih seronok untuk dipandu. Ringkasnya, IMA dan enjin saling bekerjasama dalam menggerakkan kereta.
Sewaktu enjin mula dihidupkan, IMA dan enjin sama-sama berfungsi namun apabila kereta dipandu laju, IMA secara automatik dihentikan manakala enjin beroperasi secara tunggal untuk meledakkan kuasa maksimum.
Apabila kereta dipandu secara perlahan atau sewaktu kenderaan meluncur secara malar, IMA pula beroperasi manakala silinder enjin dihentikan. Lebih menarik, sewaktu nyah laju atau membrek, bateri Litium Ion dicas semula melalui tenaga yang dilepaskan.
Menambah lagi resipi penjimatan minyak ialah sistem start/stop yang menghentikan kuasa enjin semasa kereta tidak bergerak. Ia amat berguna semasa di lampu isyarat, kesesakan ataupun beratur untuk membayar tol.
Pemandu juga dapat merasa bagaimana enjin dihentikan dan dihidupkan semula melalui gegaran kecil dan agak seronok sebenarnya melihat bagaimana sistem itu berfungsi.
Menambah lagi keterujaan terhadap teknologi canggih hibrid adalah bagaimana sistem itu beroperasi yang dipaparkan melalui Paparan Pintar Pelbagai Maklumat (i-MID) pada papan pemuka.
Pemandu dan penumpang dapat melihat melalui grafik yang dipaparkan samaada enjin beroperasi melalui bateri, minyak atau kedua-duanya sekali dan semasa bateri dicas.
Turut dipaparkan ialah skor penjimatan minyak sama ada kereta dipandu dengan ekonomikal atau sebaliknya. Standard pada kenderaan Honda moden ialah butang mod Econ yang menala semula operasi kereta ke arah penjimatan.
Secara peribadi, penulis tidak menggemari mod tersebut kerana kereta lebih lemah dan tidak responsif. Sewaktu memandu uji Civic Hybrid di dalam dan luar bandar, penulis menggunakan mod Econ secara berselang-seli dan catatan purata penggunaan minyak yang diperoleh ialah 14.7km/liter.
Penggunaan minyak boleh dijimatkan lagi jika dipandu dengan lebih berhemah namun penulis masih belum bersedia untuk menukar keseronokan pemanduan untuk menjimatkan minyak.
Anehnya, pemanduan dan pengendalian Civic Hybrid lebih menyeronokkan berbanding Civic 2.0.
Tayar bersaiz 195/65 dengan rim 15 inci lebih selesa untuk dipandu berbanding tayar 17 inci Civic 2.0, gegaran kurang dirasai dan kereta terasa lebih lincah dan stereng agak ketat sewaktu mengambil selekoh.
Kuasa sterengnya juga seimbang dan penulis sukakan kereta ini ditala dan dipakejkan seolah-olah Civic ini sebenarnya direka untuk model Hybrid dan bukannya model 2.0.
Honda Civic Hybrid dijual pada harga hampir RM120,000. Jangan khuatir tentang bateri kerana Honda memberi jaminan selama lapan tahun untuk bateri IMA tanpa had perbatuan manakala kos untuk penggantiannya pula ialah sebanyak RM5,480.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: