METAFORA seni sering sahaja melatari filem Khir Rahman selama ini. Namun untuk kali ini, menerusi buah tangan terbaharunya, Balada Pencinta, Khir cuba bermain dengan nilai komersial dan menerapkan elemen jiwa pencinta yang ada dalam diri lelakinya itu.
Permulaan plot cerita memaparkan Amir (Johan As'ari) meninggalkan dunia gengster untuk meneruskan hidup sebagai pemuzik jalanan.
Lontaran dialog antara Amir dan ketua gengster (Faizal Hussein) yang digambarkan dalam sebuah kelab malam itu ketara benar seperti cara percakapan harian Khir.
Ya, sudah tentu sebab skrip Balada Pencinta itu sendiri sebenarnya ditulis oleh Khir.
Sememangnya olahan skrip dalam filem itu sesuai dan kena dengan plot demi plot yang diangkat Khir.
Dari situ juga penonton dapat menyelami Khir sebenarnya mempunyai sisi komedi, semangat setia kawan dan pencinta yang mampu menjentik jiwa penonton tatkala menyaksikan filem Balada Pencinta.
Bagaimanapun, Khir masih tidak dapat lari daripada metafora seni dalam dirinya. Persoalan yang menuntut penonton berfikir dalam setiap babak yang cuba ditonjolkannya tetap ditampilkan.
Antaranya situasi ketika Amir menyanyi sambil memetik gitar pada pukul 3 pagi tanpa orang ramai melihat persembahannya.
Tidak semena-mena pula, ketika dia menyanyi muncul seorang wanita bertudung bernama Aishah (Siti Saleha) menyaksikan persembahannya.
Kenapa seorang gadis berjalan seorang diri pada pukul 3 pagi dan kenapa Amir menyanyi seorang diri tanpa orang ramai menonton dan memberi sumbangan duit? Babak itu agak pelik dan canggung.
Kemudiannya, plot demi plot digarap mudah dan santai oleh Khir apabila Aishah sentiasa hadir di setiap persembahan jalanan Amir.
Khir juga menunjukkan yang dia mampu menyanyi dengan baik dan untuk itu setiap lagu yang dinyanyikan Amir dalam Balada Pencinta sebenarnya alunan suara Khir sendiri.
Namun begitu, pemilihan lagu mungkin tidak begitu menepati cita rasa penonton muda masa kini. Ini kerana, kebanyakan lagu-lagu yang melatari filem itu daripada seleksi lagu era 80-an dan 90-an.
Cuma ada beberapa lagu baharu diselitkan seperti lagu Yuna, The Sixth Sense dan Jimmy Palikat.
Menyambung perjalanan plot cerita tersebut, Aishah kemudiannya mula menyukai Amir kerana wajah lelaki itu persis arwah teman lelakinya.
Selesai Amir membuat persembahan di jalanan, Aishah lalu mendekati- nya untuk berkenalan dengan lelaki berjambang itu.
Gambaran watak Amir yang berjambang sebenarnya tidak nampak realistik kerana jambangnya itu ketara seperti dilukis. Secara tidak langsung, ia juga mencacatkan sedikit wajah kacak yang dimiliki Johan. Sedangkan, jika Amir tanpa jambang di wajah pun tidak mengapa.
Bagaimanapun, mungkin Khir sengaja mencipta jambang itu bagi menunjukkan kehidupan Amir yang tidak terurus kemudiannya berubah selepas jatuh cinta dengan Aishah. Selepas itu, Amir mula mencukur jambangnya dan sering bertemu janji dengan gadis misteri tanpa diketahui identitinya itu.
Namun, misteri identiti Aishah mula terbongkar apabila Amir didatangi tunang Aishah iaitu Boy (Sein Ruffedge) yang meminta dia menjauhi wanita itu.
Malangnya, Aishah tidak pernah mencintai Boy dan pertunangan mereka sebenarnya diaturkan oleh keluarga Aishah.
Aishah juga sedar Boy seorang lelaki yang tidak baik kerana menjalankan perniagaan haram.
Di situ, watak Boy mula berkembang. Lakonan Sein yang kali kedua membawakan watak lelaki jahat dan psiko selepas filem Psiko Pencuri Hati tidak mengecewakan penonton. Bagaimanapun, mungkin selepas ini Sein tidak lagi menerima tawaran yang sama dalam tempoh terdekat kerana takut lakonannya nanti nampak stereotaip.
Watak Amir yang dilakonkan Johan pula begitu sesuai dengan pelakon itu. Bahkan, kita dapat lihat ada sedikit sisi lakonan aktor hebat Eman Manan dalam diri Johan. Lakonan Siti Saleha juga bersahaja, cuma pemakaian tudungnya sahaja kelihatan tidak sesuai.
Ada babak yang menunjukkan Amir pergi ke rumah Aishah selepas mengetahui kekasihnya itu tunangan orang. Boy yang kebetulan berada di rumah Aishah memaksa Amir menyanyi di hadapan Aishah dan kedua ibu bapanya.
Dalam babak itu, Khir berani mempertaruhkan lagu baharu ciptaannya yang berjudul Terima Kasih Aishah. Babak tersebut mampu meruntun jiwa penonton ketika itu.
Plot klimaks dalam Balada Pencinta menunjukkan filem tersebut bukan filem cinta semata-mata, sebaliknya turut diselitkan dengan babak aksi dan suspens.
Lebih-lebih lagi selepas Boy menculik adik Amir iaitu Ayu (Miera Liyana) yang datang ke Kuala Lumpur untuk menemui abangnya. Amir yang cuba menyelamatkan adiknya dibantu oleh ketua gengster lakonan Faizal Hussein.
Turut membintangi Balada Pencinta ialah Azhan Rani, Bell Ngasri, Dian P. Ramlee dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Apakah kesudahan filem itu? Saksikan filem terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) itu di pawagam seluruh negara menerusi tayangannya yang bermula hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: