Saturday, October 26, 2013

Kenali, hentikan kesakitan

SEORANG peserta bengkel diuji mengenai tahap kesakitan yang dirasai apabila merendamkan tangan di dalam sebuah bekas yang mengandungi ketulan ais.


ANDA tahu bagaimana rasa kesakitan biasa, pedih disebabkan luka, berdenyut akibat sakit kepala atau sakit kerana lebam.
Namun, kesakitan yang muncul secara tiba-tiba pasti membuatkan anda terfikir bila sebenarnya kecederaan itu berlaku.
Tanpa sebarang sebab yang menjadi punca kepada kesakitan yang dirasai, sudah pasti ia membuatkan anda tidak selesa untuk melakukan aktiviti seharian.
Apatah lagi jika ia berlanjutan dalam tempoh yang panjang walaupun sudah mengambil ubat tertentu untuk mengatasinya.
"Sekiranya anda mengalami kesakitan yang tidak dapat dijelaskan, anda mungkin mengalami kesakitan saraf atau dikenali sebagai neuropatik.
"Ia sejenis kesakitan kronik yang berpunca daripada kerosakan pada saraf yang berfungsi mengesan rasa sakit atau pada bahagian dalam sistem saraf yang menghantar isyarat kesakitan seperti saraf tunjang atau otak," kata Presiden Persatuan Kajian Kesakitan Malaysia (MASP), Dr. Mary Suma Cardosa.
Pada bulan Jun 2013, Pfizer Malaysia telah menjalankan kaji selidik dalam kalangan 300 rakyat Malaysia yang berumur antara 25 hingga 65 tahun.
Objektif kaji selidik tersebut adalah untuk mengkaji pengetahuan tentang kesakitan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kaedah yang digunakan untuk merawatnya.
Hasilnya mendapati lapan daripada 10 rakyat Malaysia menyatakan bahawa kesakitan telah menjejaskan kehidupan mereka dan disebabkan kesakitan, para pesakit mengalami ketidakupayaan sekali gus menyebabkan kualiti hidup mereka merosot.
Menurut keputusan kaji selidik itu lagi, enam daripada 10 pesakit mengakui bahawa rasa sakit telah menyebabkan kualiti kerja mereka merosot di samping menjejaskan perkembangan diri hingga tertekan.
"Kesakitan saraf boleh membawa kesan negatif yang signifikan dalam rutin harian pesakit serta kualiti kehidupan mereka.
"Ramai penghidap kesakitan saraf menghadapi kesukaran untuk tidur, menumpukan perhatian serta selalu berasa letih dan tidak bermaya," ujar Mary pada sidang media Kenali Kesakitan, Hentikan Kesakitan yang dianjurkan oleh Pfizer Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Masalah kewangan
Tambahnya, ada pesakit yang langsung tidak boleh mengenakan pakaian kerana mengalami kesakitan yang teramat apabila pakaian bersentuhan dengan kulit.
Katanya lagi, kesakitan saraf boleh membawa kepada masalah kewangan kerana pesakit biasanya membelanjakan wang dan masa yang banyak untuk mencari penawar bagi kesakitan mereka.
Pesakit yang mengalami kesakitan kronik dan berpanjangan juga boleh menunjukkan simptom-simptom kebimbangan dan kemurungan yang teruk.
Apabila ditanya sekiranya responden mengalami kesukaran menerangkan keadaan kesakitan kepada doktor, 76 peratus menjawab 'ya'.
"Pesakit selalu menghadapi masalah menerangkan kesakitan yang dialami. Ini kerana perbezaan dalam fisiologi dan psikologi mempengaruhi cara seseorang itu menerangkan kesakitan mereka. Setakat ini tiada ujian diagnostik yang dapat membuktikan bahawa kesakitan itu wujud.

VICKNESH menjelaskan tentang tahap kesakitan kepada wakil media dalam bengkel meningkatkan kesedaran penyakit di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Terdapat beberapa peralatan yang boleh mengukur kesakitan kronik, daripada skala penilaian biasa hingga peralatan kaji selidik terperinci yang sangat berguna dalam kajian penyelidikan," terang Mary.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kesakitan saraf dan rawatan untuk keadaan kesakitan yang dialami pesakit, Pfizer Malaysia telah menjalankan siri bengkel kesedaran penyakit bersama pihak media dengan usahasama MASP untuk menggalakkan rakyat Malaysia mendapatkan bantuan doktor.
"Sekiranya anda mengesyaki mengalami sakit saraf, berjumpalah dengan doktor.
"Apabila bercakap dengan doktor, pastikan anda menerangkan dengan jelas tentang kesakitan yang dirasai dan bahagian tubuh yang terjejas akibatnya. Tunjukkan diari kesakitan anda kepada doktor," kata Pengarah Perubatan Pfizer Malaysia, Dr. Vicknesh Wellupillai.
Nyatakan sifat sakit
Tambahnya, pesakit sepatutnya menggunakan perkataan-perkataan yang menerangkan kesakitan seperti rasa pedih, menikam, mencucuk, berdenyut, kebas dan apa sahaja kata sifat yang boleh memberikan gambaran yang jelas kepada doktor mereka.
"Kami berharap menerusi bengkel ini, lebih ramai pesakit akan mendapatkan bantuan doktor. Langkah yang paling penting untuk merawat kesakitan saraf adalah dengan mempunyai pelan pengurusan kesakitan yang dibina oleh pesakit dan doktor masing-masing.
"Kini, terdapat juga ubat-ubatan yang selamat dan berkesan untuk kesakitan saraf iaitu ubat-ubatan yang boleh melegakan kesakitan anda," ujarnya.
Jelasnya lagi, sekiranya ubat-ubatan yang diberikan doktor tidak membantu, beritahu mereka. Bincang dengan doktor anda mengenai perubahan dos ubat dan cara lain untuk menyempurnakan pelan pengurusan kesakitan.
Dengan rawatan dan pendidikan yang betul, pihaknya percaya pesakit yang mengalami kesakitan saraf akan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesakitan saraf, sila layari http://www.knowyourpainasia.com. Anda boleh menjawab soalan-soalan mudah di laman web tersebut untuk mengetahui tahap kesakitan saraf masing-masing.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: