Monday, October 28, 2013

16 wanita Arab Saudi didenda kerana pandu kereta

SEORANG wanita memandu kereta bersendirian di Arab Saudi pada 22 Oktober lalu.


RIYADH - Seramai 16 wanita Arab Saudi didenda kerana memandu pada hari kempen menentang larangan memandu terhadap wanita di negara berkenaan, kata polis semalam.
Hanya segelintir wanita yang memberanikan diri untuk memandu kelmarin sebagai menyahut kempen menentang larangan memandu yang disebar secara dalam talian.
Ia ekoran kerajaan Arab Saudi memberi amaran akan menghukum mereka yang terlibat dalam kempen tersebut.
"Pihak polis menahan enam wanita di sini dengan setiap seorang didenda sebanyak 300 Riyal (RM252)," kata jurucakap polis di sini, Kolonel Fawaz Al-Miman.
Sementara itu, di Jeddah, polis telah mengenakan denda terhadap dua wanita kerana memandu kereta, menurut jurucakap polis bandar berkenaan, Nawaf Al-Bouq.
Akhbar Arab Saudi melaporkan bahawa enam lagi wanita ditahan di wilayah timur manakala dua wanita lain ditangkap di beberapa tempat lain di negara berkenaan.
Terdahulu, seramai 12 wanita Arab Saudi memuat naik klip video di laman sosial Twitter yang menunjukkan mereka memandu kereta.
Para aktivis wanita pada asalnya meminta wanita di Arab Saudi memandu kereta mereka kelmarin untuk mencabar larangan tersebut.
Permintaan tersebut disiarkan di beberapa laman sosial termasuk Twitter.
Wanita Arab Saudi dilarang memandu kenderaan atau keluar rumah tanpa ditemani oleh seorang mahram.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: