- Sheera bersama kumpulannya.
Pemilik nama Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 28, dahulunya lebih dikenali sebagai pelakon air mata dalam drama bersiri seperti Janji Diana, Sembilu Kasih dan Mahabbah.
Walau bagaimanapun, namanya meningkat naik apabila membintangi drama komedi romantis Halimah Jonggang.
Ternyata percubaan anak kepada pelakon veteran popular, Aznah Hamid itu untuk mencuba cabang baru dalam lakonannya menjadi.
Baru-baru ini, mungkin dia jarang terlibat dengan rancangan realiti Sheera telah mengejutkan ramai orang apabila menyertai program TV3, Liga Lawak SuperStar (LLS).
Menafikan dirinya sebagai pelawak, dia menjelaskan tawaran untuk menyertai program tersebut secara tidak sengaja dan terbuka hati untuk menerimanya.
“Saya bukannya pelawak tetapi suka mencuba perkara baru termasuklah komedi.
“Biarlah orang lain menilai sama ada saya mampu berlawak atau tidak. Lagipun saya menjadi pelakon yang versatil dan mampu melakonkan pelbagai watak,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan semasanya, Sheera berkata dia kini mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada LLS untuk sementara.
Biarpun kumpulannya Aku Diandra gagal bergelar johan bagi minggu pertama walaupun para juri memuji persembahan kumpulannya.
“Saya mungkin baru dalam komedi tetapi bukan menjadi satu masalah kepada saya.
“Jika kita tidak tahu, jadi seharusnya kita mempelajari bagaimana cara untuk berlawak,” katanya yang banyak belajar dengan Kazim, Ilya dan Afdlin Shauki.
Dalam masa yang sama, Sheera menyatakan dia juga terlibat dalam penggambaran drama baru berjudul, Jalan Kembali di bawah produksi Skop Production Sdn Bhd.
Katanya, dia memegang watak sebagai bohsia dan lebih menarik dia digandingkan bersama Kazim dalam drama tersebut.
“Sebenarnya ia lebih memudahkan kami untuk berlatih. Jadi masa latihan tiada masalah buat kami.
“Apatah lagi kami tidak memikir soal menang atau kalah kerana dalam setiap persembahan kami sentiasa 'enjoy' dengan apa yang kami lakukan,” katanya.
Kahwin tahun depan?
Ketika ditebak dengan soal kahwin, Sheera berkata dia tidak menolak jika ditakdirkan kahwin pada tahun hadapan.
“Tetapi macam mana nak kahwin jika saya masih belum ada yang berpunya. Lebih baik kita berserah kepada ALLAH SWT agar dikurniakan pasangan yang memahami diri ini,” katanya.
Tambahnya, jika sudah sampai seru dia akan mengkhabarkan berita perkahwinannya kepada umum.
“Kahwin merupakan perkara mulia jadi kenapa ia harus disorok? Sepatutnya kita harus berkongsi berita gembira dengan semua.
“Jika disembunyikan ia akan menimbulkan fitnah dan mencalarkan imej kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: