TEH ialah minuman ruji masyarakat di seluruh dunia. Perbezaannya di setiap negara terletak pada cara penyediaan, perisa, penambahan bahan lain dan bagaimana ia dihidangkan.
Rakyat di Malaysia juga mempunyai kefahaman tersendiri terhadap teh. Ada yang memilih teh panas kosong atau teh ais iaitu teh yang dicampur bersama susu pekat manis, tidak ketinggalan individu yang menggemari teh herba, teh Cina dan teh berperisa buah-buahan.
Bagaimanapun kita jarang melakukan eksperimen pengubahsuaian ke atas teh. Penambahan bahan di luar jangkaan termasuk hirisan buah, potongan sayur atau serbuk perisa yang bersesuaian, mampu menghasilkan secawan teh yang baharu pada tunas rasa seseorang.
Sekiranya anda mahu belajar teknik-teknik kreatif terhadap modifikasi teh, jangan ketinggalan menonton rancangan masakan berkonsep santai Tea Twist yang dihoskan chef muda yang sedang meningkat naik, Nik Michael Imran Nik Ezar.
Mula bersiaran pada 18 Oktober lalu pada pukul 9.30 malam, program enam episod berdurasi 30 minit itu disiarkan pada saluran Asian Food Channel (AFC) iaitu Saluran Astro 703 dan dapat disaksikan di 12 wilayah Asia yang berbeza.
Pada setiap episod, Nik Michael Imran, 23, bekerjasama dengan jenama teh panas nombor satu di dunia, Lipton bagi berkongsi penyediaan teh gaya baharu menggunakan uncang teh Lipton Yellow Label.
Sebanyak tujuh resipi teh akan dipertontonkan sepanjang rancangan Tea Twist dan pada setiap episod, Nik Michael Imran akan memadankan teh yang bersesuaian mengikut sajian utama dan pencuci mulut yang disediakan.
Rangkaian teh Lipton Yellow Label yang bakal diolah menerusi kreativiti Nik Michael Imran ialah paradise sunrise, teh ais sparkle, teh serai madu (panas dan sejuk), mo-tea-to, lovely berries dan teh latte halia earl grey.
|
“Saya jenis individu yang minum teh untuk relaks dan apabila berada dalam keadaan santai, ia mengundang kedamaian dengan bersahaja.
“Secara peribadi, teh juga minuman yang sangat fleksibel. Ia mudah diadun bersama pelbagai perisa, rempah-ratus atau herba yang sering digunakan dalam masakan di Asia.
“Setiap bahan tersebut mampu mencipta rasa yang berbeza dan itu yang ingin kami paparkan dalam Tea Twist. Kami berharap ia dapat memberi ilham kepada penonton untuk melakukan eksperimen terhadap teh dan merasai sendiri keseronokan hasil pengalaman tersebut,” kongsi Nik Michael Imran pada majlis pelancaran rancangan Tea Twist di Hotel Maya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kempen
Pengenalan program Tea Twist juga menandakan permulaan terhadap kempen Lipton, A New Twist to Your Lipton Moments di Malaysia. Kempen yang diterajui uncang teh Lipton Yellow Label itu bertujuan memperkenalkan konsep baharu meminum teh.
Menerusi penyediaan dan penyajian menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh di sekeliling kita, Lipton mahu rakyat Malaysia mencipta detik istimewa ketika menjamu minuman teh pada bila-bila masa dan acara.
“Kami mahu menunjukkan nilai versatil yang dimiliki seuncang teh. Lipton merupakan jenama yang sering membawa sesuatu yang positif dan mahu pengguna mereka rasa bersemangat saat menikmati secawan teh.
“Kami juga berharap para pengguna Lipton akan mencuba resipi teh baharu yang dipaparkan dalam Tea Twist,” ujar Pengerusi Unilever Malaysia dan Singapura, Rakesh Mohan.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Unilever Malaysia, Herry Budiazhari berkata, uncang teh Lipton adalah uncang teh nombor satu di Malaysia. Jelasnya: “Uncang teh Lipton Yellow Label diperbuat daripada gabungan bahan terbaik yang dibawa dari Sri Lanka dan Kenya, sekali gus mencipta aroma dan keistimewaan pada seuncang teh Lipton.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: