Sunday, October 13, 2013

Percikan bintang dua negara


SELAMA 90 minit, Sheila dan Harvey memukau seluruh atmosfera DFP dengan penuh pesona.


SUDAH tidak terhitung konsert Datuk Sheila Majid namun para peminat tegarnya masih sanggup kembali, lagi dan lagi.
Dalam siri terbaharu, Sheila membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bersama Harvey Malaihollo manakala suaminya, Acis bertindak sebagai pengarah muzik.
Melihat kuasa dua bintang itu, Harvey umpama raja dan Sheila jadi permaisurinya. Tempoh 90 minit bertakhta di DFP sudah terlalu manis untuk menjadi lipatan memori. Mereka bermelodi tentang kerajaan seni yang dibina sejak berdekad lalu. Biarpun tempohnya hanya seketika, tetapi pesona mereka membuatkan penonton mengembara dalam memori. Setiap kali beralih dari sebuah lagu ke sebuah lagu, di kala itulah tepuk sorak menggamatkan suasana.
Di sebuah konsert berprestij begitu juga, penonton yang hadir ternyata bukan peminat biasa. Mereka adalah antara orang terawal yang bersungguh-sungguh menempah tempat duduk ke dewan berkenaan sejak lebih dua bulan lalu.
Konsert amal Sheila Majid dan Harvey Malaihollo itu dianjurkan Kelab Sukan & Rekreasi Petronas. Seperti yang dijanjikan, persembahan fantastik itu merimbun rasa asyik.
Lunak dan gemersik dalam paduan muzik petikan gitar Aji, Jenny Chin di posisi keyboards, Kelly (bass), Fendi (drum), Steve Thornton (perkusi), Harley melangkah masuk ke hadapan penonton dengan Warna yang disampaikan berpadu suara dengan Sheila. Pada usia 51 tahun, terserlah sosok penyanyi berkumis itu yang masih segak. Bersulam bicaranya yang lembut, dia layak diberi penghargaan ke pentas DFP tanpa disangkal.
Malam romantis
Sheila dan Harvey sama-sama ketawa dan bercanda tentang perkenalan sehingga jodoh yang menemukan mereka untuk bersatu sedemikian rupa. Terdahulu, Sheila pernah sekali diundang oleh Harvey untuk sama-sama tampil bersamanya dalam satu konsert solo Harvey di hadapan ribuan peminat mereka di Jakarta.
Bermula sebagai seorang peminat dan penyanyi pujaan, Sheila sesekali dapat berkongsi pentas bersama Harvey.
Kepada Sheila dan Harvey bahkan seluruh peminat yang mengikuti perkembangan muzik mereka, malam penuh romantis di DFP itu menitipkan sebuah sejarah. Bertuahnya penonton, Sheila dan Harvey sendiri kerana pada malam itulah lagu duet mereka, Begitulah Cinta yang dirakamkan lebih 10 tahun lalu. Perkongsian pentas itu lebih manis lagi kerana itulah kali pertama mereka beraksi bersama di hadapan peminat di Malaysia.
Pentas kemudiannya beralih tangan kepada Sheila secara solo. Sheila memilih Selamanya sebagai lagu pertama. Ucap Sheila, lagu itu jarang dinyanyikan di hadapan peminat tapi mempunyai makna yang cukup indah untuk dikongsikan.
Bersama Sheila Majid, penonton dibawa kembali ke era 1980-an dengan seleksi medley Memori, Kasih, Hasrat dan Tua Sebelum Waktu. Menambah tenaga dan mengubat rindu peminat, lagu-lagu seperti Jelingan Manja, Aku Cinta Padamu, Gerimis Semalam dan Cinta Jangan Kau Pergi dipilih khas untuk malam yang sarat bingkisan cinta itu.
Seperti satu kewajipan juga, persembahan figura bernama Sheila tidak lengkap tanpa judul wajibnya. Aku Cinta Padamu, Antara Anyer Dan Jakarta serta Sinaran adalah antara menu muzik peminat yang harus ditunaikan secara mutlak. Tanpa lagu-lagu itu, kepuasan peminat tidak bertemu titik.
Balada cinta yang disajikan oleh Sheila bukan satu-satunya hidangan jiwa buat peminat yang sekian lama menanti saat itu dinikmati penuh teruja. Harvey Malaiholo mengambil alih pentas usai mereka berdua berpadu suara dalam September Pagi.
Huru-Hara
Melodi kasih daripada Harvey yang tersusun dalam rangkap Gempita Dalam Nada, Adilkah, Jerat dan Perlabuhan Cinta bagai menerobos dan terapung-apung menjadikan atmosfera konsert itu beralun madah. Kalau pun bukan peminat tegar, sesiapa sahaja mampu beroleh kedamaian saat Harvey memecah hening dengan vokal lunaknya.
Ada yang istimewa turut dikongsikan Harvey. Dua permata hatinya, Joshua, 22, dan Benjamin, 10, dijemput mengiringi persembahan saat lagu Permata Hati, ciptaannya sendiri dilagukan. Kata Harvey, lagu itu tercipta khas saat kelahiran Joshua, 22 tahun lalu.
Single terbaharunya I'm Still Here yang baru dilancarkan turut dipilih Harvey sebagai pengisian dendangannya buat kali pertama di DFP itu. Menurut kata Harvey, lagu itu ditujukan pula sebagai tanda terima kasih buat seluruh peminat yang telah menyokong perjalanan seninya yang menghampiri empat dekad.
Sebelum persembahan berakhir dengan sebuah lagi lagu wajib, Legenda yang pantas membiaskan segala terjemahan untuk dua bintang unggul dari dua negara itu, Sheila dan Harvey terlebih dulu bermain eksperimen untuk merealisasikan paduan suara dalam dua lagu berbeza.
Terjentik inspirasi daripada filem-filem muzikal seperti Les Miserables, Sheila sendiri yang mencadangkan agar Harvey mempersembahkan Huru-Hara. Sheila memilih Dia manakala Harvey pula melantunkan bait-bait Dara ke dalam sebuah susunan muzik yang baharu. Hasilnya, menghiburkan!
Bertemu media sehabis melayani peminat yang tidak melepaskan peluang bergambar dan mendapatkan autograf, Harvey cukup berbesar hati atas undangan untuk bersama-sama Sheila pada malam itu.
Walaupun latihan untuk persembahan hanya berlangsung sebaik sahaja Harvey tiba di Kuala Lumpur pada Ahad, lalu namun persediaan tentang segala repertoire sudah dilakukan sejak sebulan lalu.
"Kami banyak berkomunikasi menerusi telefon, e-mel dan internet. Apabila tiba waktu, masing-masing sudah tahu bahagian yang seharusnya dijayakan," jelas Sheila dalam nada ceria.
Pulang dari konsert dua bintang dari dua negara itu, keletihan meredah pekat malam tidak sia-sia. Untuk peminat mereka berdua, panahan pesona dari pentas yang disaksikan barangkali mimpi berpindah ke alam mimpi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: