Sunday, October 20, 2013

Special ID papar kehidupan gangster


SPECIAL ID menampilkan hero berusia 50 tahun, Donnie Yen yang beraksi sebagai perisik polis dalam kumpulan kongsi gelap Hong Kong.


PELAKON Hong Kong, Donnie Yen membuktikan bahawa dia masih mampu bergaya dalam naskah penuh aksi baharu berjudul Special ID walaupun sudah boleh digelar datuk.
Selepas terlibat dalam filem Dragon pada tahun lalu, pelakon itu yang kini berumur 50 tahun tampil semula dengan sebuah naskhah sarat seni mempertahankan diri. Namun, dalam produksi itu, dia menggalas tiga peranan berbeza.
"Awalnya saya hanya bergelar pengarah aksi dan pelakon untuk filem ini. Namun, saya juga terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai penerbit eksekutif bagi memenuh permintaan pasaran Hong Kong dan China.

DONNIE YEN (tengah) hadir ketika mempromosikan filem Special ID di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Akibat tiga peranan itu, saya hanya dapat tidur selama tiga jam sehari. Seluruh tubuh saya cedera. Namun, ia hal biasa buat seorang pelakon aksi di Hong Kong," kata pelakon kelahiran Ghuangzhou, China itu.
Baru-baru ini, pelakon filem Once Upon a Time in China II dan Ip Man itu berada di Kuala Lumpur sebagai salah satu cara mempromosikan filem tersebut dan menarik penonton ke pawagam.
Filem arahan Clarence Fok Yiu-leung itu mengisahkan seorang polis perisik rahsia, Zi Long lakonan Donnie Yen yang menyusup ke dalam kumpulan gengster Hong Kong yang diketuai oleh Xiong (Colin Chou).
Bagaimanapun, identiti rahsianya itu diragui oleh Xiong sehingga memaksa Zi Long meminta untuk menamatkan kegiatan penyamarannya itu daripada penyelianya, Sir Zhang (Ronald Cheng) kerana ramai perisik polis yang dibunuh.

DONNIE mengaku bahawa keseluruhan aksi lagak ngeri dalam filem ini dilakukannya sendiri.


Sebaliknya, Zhang menghantar Zi Long ke tanah besar China kerana menyedari anggota tersebut mampu melumpuhkan mentor Xiong, Sunny (Andy On). Kumpulan Sunny menjalankan kegiatan perniagaan 'Special Indentity' yang berupaya mengenal pasti orang yang menyamar.
Adakah Zi Long berjaya menyelamatkan diri dan melumpuhkan kegiatan gengster tersebut?
Filem itu turut dibarisi pelakon hebat seperti Jing Tian, Hanyu Zhang, Zhigang Yang, Hee Cheng Paw dan Ken Lo. Ia ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 18 Oktober lalu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: