Sunday, October 20, 2013

Charly bangga jadi pelopor


CHARLY selaku vokalis akan muncul bersama grupnya, Setia Band untuk konsert yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 23 November ini.


WALAU dilempar dengan kata-kata seperti kampungan dan murahan, Charly van Houten tetap mara membawakan sesuatu yang diyakini.
Bersama grup terdahulu, ST12, vokalis ini mempelopori lagu-lagu bergenre pop Melayu. Malah dia mengaku bahawa kemunculan ST12 sedikit sebanyak mengubah industri muzik Indonesia.
"Banyak grup pop Melayu muncul selepas ST12 naik. Jujurnya telinga orang Indonesia tidak boleh dibohongi. Mereka mahukan sesuatu yang harus Melayu. Walaupun formatnya moden tetapi tetap dimasukkan unsur kemelayuan," ujar Charly yang ditemui di pusat karaoke miliknya di Jakarta yang dinamakan Grand Charly.
"Tahun 2005 orang Indonesia masih belum menerima lagu-lagu yang berunsurkan kemelayuan. Mereka anggap ST12 tidak mampu bertahan lama memandangkan ketika itu muzik moden mempengaruhi mereka.
"Dua tahun kami berjuang sehinggalah lagu-lagu kami diterima dan meledak di Indonesia. Saat itu barulah muncul kumpulan lain seperti Kangen Band, Wali Band dan banyak lagi yang memperjuangkan genre yang sama," ujarnya berbaur bangga dengan pencapaiannya.
Dulu jazz, kini Melayu
Awalnya akui Charly, dia seorang peminat genre jazz dan R&B. Ketika bernyanyi di kafe-kafe sekitar Indonesia, dia membawakan lagu-lagu acid jazz. Hanya ketika mahu merakamkan lagu untuk album perdana ST12, dia diperkenalkan dengan melankoli Melayu yang menjadi genre pengenalan kepada khalayak.
"Saya punya rujukan untuk lagu-lagu pop Melayu yang saya bawakan. Saya menyukai Salem Iklim. Pada satu ketika muncul lagu-lagu R&B secara meluas di Asia. Lagu-lagu ini dimainkan di kafe-kafe malah lagu-lagu digital berleluasa. Saya fikir bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memberikan warna yang berbeza," ujarnya tentang langkah awal grup ST12.
"Saya fikir juga bahawa dulu Salem telah 'menjajah' dengan lagu-lagunya. Jadi kami cuba dengan sehabis baik dan serius dengan apa yang kami perjuangkan. Terbukti lagu pop Melayu diterima dan ST12 meledak dengan lagu Puspa. Malah penjualan ring back tone mencecah 20 juta buah," ceritanya lagi.

DARI KIRI: Pengarah Urusan Kamsol Corporation, Ismail Dogol; Charly; Pengarah Kamsol, Badly Shah Mustapha; dan Pengarah Tajima Infra, Azhar Hambali bertemu di pusat karaoke Charly di Jakarta.


Namun kata Charly, jangan ingat bahawa perjuangan mereka berawal dengan mudah. Semuanya sukar kerana pihak stesen radio tidak mahu memainkan lagu mereka.
"Kami juga malahan dicemuh oleh orang dalam industri muzik. Tetapi ini tidak membuatkan kami patah semangat. Bagi saya, ST12 merupakan sebuah grup yang legenda kerana dapat membuat sejarah besar dalam industri muzik Indonesia," senyumnya.
ST12 ke Setia Band
Sebuah permulaan yang bagus bersama ST12 tidak menjanjikan jodoh yang panjang bersama grup tersebut. Mula menjadi vokalis grup tersebut pada tahun 2004, Charly dan rakan grupnya, Pepeng, meninggalkan ST12 pada tahun 2011.
"Bersama ST12, kami mengeluarkan lima buah album. Kemudian saya dan Pepeng keluar. Kini kami sedang fokus terhadap album kedua kami," ujarnya yang menganggotai Setia Band bersama Pepeng, pemain gitar dan Alsa, seorang pemain dram wanita.
"Tiada masalah besar sewaktu saya meninggalkan ST12 yang pada masa itu tinggal tiga anggota.
"Kalau ada yang menyatakan Setia Band tidak dapat menandingi ST12, tidak juga kerana masing-masing ada haluan sendiri.
"Konsep keseluruhan ST12 dan Setia Band sedikit berbeza. Peminat tidak sangsi dengan kebolehan saya dan tetap menyokong.
"Selagi ada orang Melayu, selagi itu pop Melayu akan bertahan," tegas Charly tentang rahsia lagu-lagu pop Melayu dapat bertahan dalam industri muzik.
Malah dia berasa bangga kerana lagu-lagu tersebut telah membawanya terbang ke banyak negara seperti Singapura, Brunei, Malaysia dan Hong Kong untuk memenuhi undangan konsert.



Namun vokalis berumur 31 tahun ini ketawa sebelum mendedahkan yang dia hanya akan memenuhi undangan ke tempat yang dekat dan tidak akan mengambil tawaran membuat persembahan yang melibatkan perjalanan jauh terutama menaiki kapal terbang.
"Saya takut untuk menaiki pesawat. Kalau setakat perjalanan kurang daripada dua jam saya masih boleh terima. Kalau lebih dua jam saya sanggup tolak kerana fobia," ujarnya yang menolak tawaran menyanyi di Amerika Syarikat kerana bimbang berada di atas pesawat dalam tempoh yang lama.
Konsert di Malaysia
Pertemuan bersama Charly di salah sebuah pusat karaoke miliknya di Jakarta diatur oleh Kamsol Corporation yang akan membawa grup Setia Band ke KL Live Centre pada 23 November ini.
Bukan itu sahaja, penyanyi Indonesia yang naik dengan lagu Kehilangan iaitu Firman juga diundang memeriahkan konsert yang akan bermula pada pukul 8.30 malam itu.
"Kami mencuba kelainan dalam perniagaan. Ini kali pertama kami mengadakan konsert yang menghimpunkan dua idola. Kami pada mulanya mahukan Firman tetapi apabila dapat tahu bahawa Charly merupakan mentor kepada Firman, kami gabungkan dua nama ini," ujar Ismail Dogol yang merupakan Pengarah Urusan Kamsol Sdn. Bhd.
"Ini merupakan kali kedua saya muncul di Malaysia selepas bersama ST12. Saya sangat teruja untuk kembali menghiburkan peminat di sana," ujar Charly tentang konsert yang dinamakan Konsert Charlie, Pepeng vs Firman tersebut.
"Selain itu, saya boleh janjikan bahawa konsert itu akan tampil dengan susunan muzik terbaik daripada kami untuk lagu-lagu ST12 mahupun Setia Band. Melihat kerjasama dengan Firman, saya yakin ia akan menjadi buah tangan terbaik daripada kami," janjinya terhadap konsert dua jam tersebut.
"Kami mungkin akan menyampaikan lagu yang belum pernah diperdengarkan sebagai kejutan kepada peminat kami di Malaysia," katanya yang akan membuka pasar mini Charly di Indonesia tidak lama lagi.
Bagi Tajima Infra dan Kamsol Corporation, mereka menganggap kedua-dua penyanyi ini mempunyai pengaruh yang besar kepada peminat muzik serantau terutama di Malaysia.
"Charly mempunyai pengaruh yang besar kepada peminat tempatan khususnya yang menyukai lagu-lagu pop Melayu.
"Atas sebab itu juga saya bersama beberapa rakan yang lain sanggup membawa Charly ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminat setianya di sana," jelas Ismail lagi.
Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Charlie, Pepeng vs Firman boleh didapati pada harga RM258, RM158 dan RM78. Layari www.ilassotickets.com untuk maklumat lanjut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: