Tuesday, October 8, 2013

Ratu Cantik Dunia 'panggilan sebenar' Young



PENDEDAHAN dalam dunia pengacaraan, lakonan dan peragaan menjadi tiket mudah bagi Ratu Cantik Dunia 2013, Megan Lynne Young memenangi anugerah kejelitaan berprestij itu. Pengalaman di hadapan kamera, kepetahan berbicara dan kelicikan berhadapan pelbagai situasi ternyata memberikan kelebihan bagi wanita berusia 23 tahun ini.
Sungguhpun berhadapan kecaman golongan Muslim konservatif terhadap penganjuran pertandingan yang didakwa bertentangan dengan ajaran Islam dan terlalu mendedahkan, destinasi peranginan popular, Bali, Indonesia menjadi saksi penganugerahan ratu cantik pertama dari Filipina. Ia juga merupakan kali pertama peserta republik berkenaan mengungguli anugerah berusia 63 tahun yang turut disertai 126 peserta dari seluruh dunia.
Mewarisi takhta yang pernah disandang Ratu Cantik Dunia 2012 dari China, Yu Wenxia, Young yang berjanji untuk menjadi ‘Ratu Cantik Dunia terbaik’ telah berjaya mengalahkan peserta dari Perancis, Marine Lorphelin dan Ghana, Carranzar Naa Okailey Shooter yang masing-masing memenangi tempat naib johan dan tempat ketiga pertandingan.
Satu nama yang tidak asing di Filipina, khususnya kepada penggemar filem dan rancangan televisyen, perwatakan dan imej wanita ini sudahpun lekat di hati rakyat negara itu. Malah, penyertaannya dalam pertandingan itu telah meningkatkan keyakinan rakyat Filipina yang sememangnya menaruh harapan tinggi agar wakil negara itu dapat dimahkotakan gelaran ratu pertandingan global berkenaan.
Paling hampir wakil Filipina menjuarai pertandingan itu sebelum ini adalah melalui Gwendoline Ruais dan Evangeline Pascual yang masing-masing meraih gelaran naib juara pada pertandingan yang dianjurkan pada tahun 2011 dan 1973.
Selain itu, Queenierich Rehman berjaya menduduki tangga 15 peserta terbaik pada edisi pertandingan itu pada tahun 2012, sama seperti Carlene Aguilar (2005) dan Ruffa Gutierrez yang dinobatkan pemenang tempat ketiga (1993).
Penyertaan Young dalam acara Ratu Cantik Dunia ini dilihat sebagai ‘panggilan sebenar’ untuk membuktikan siapa dirinya di arena antarabangsa.
Ternyata, pada 28 September lalu, apabila namanya dilaungkan sebagai pemenang sekali gus membawa gelaran wanita paling cantik dunia untuk tahun 2013, Young hanya tersenyum lebar sambil memaparkan diri yang tenang dan terkawal.
Katanya di hadapan penonton pertandingan itu tanda berterima kasih atas pemilihannya sebagai pemenang:, “Saya akan kekal seperti diri saya dalam segala perkara yang dilakukan, berkongsi apa yang saya ketahui dan mendidik orang ramai.”

YOUNG (tengah) mengetepikan dua pencabar terdekatnya iaitu Lorphelin dari Perancis dan Okailey Shooter dari Ghana, masing-masing mengisi tempat naib juara dan ketiga.


Latar belakang
Young dilahirkan pada 27 Februari 1990 di Alexandria, Virginia, Amerika dan menetap di sana sehingga mencapai usia 10 tahun. Selepas itu, wanita yang berdarah kacukan Amerika-Filipina ini kembali ke republik berkenaan dan berkecimpung dalam dunia seni hiburan seawal usia 15 tahun. Dia terlibat dalam pelbagai program hiburan sama ada sebagai pengacara, pelakon dan peserta program realiti, di samping aktif dalam bidang peragaan.
Young pernah melafazkan cita-citanya untuk bertugas di belakang tabir selepas benar-benar mahir dalam bidang pengarahan.
“Saya mahu menjadi pengarah. Hanya selepas saya dapat belajar segala selok-belok dunia pengarahan dan dianggap layak,” katanya yang kini menuntut jurusan Pembikinan Filem Digital di Kolej De La Salle di Saint Benilde.
Penglibatan jelitawan bermata perang yang setinggi 1.7 meter menerusi rancangan pencarian bakat realiti, StarStruck, telah berjaya melonjakkan namanya dalam arena hiburan tempatan. Walaubagaimanapun, dia tidak mendapat peluang yang baik untuk menonjolkan imej dirinya dalam bidang lakonan. Selepas dua tahun bersama Pusat Artis GMA, dia mengambil keputusan berpindah ke ABS-CBN, stesen televisyen pesaing GMA.
Di sana, dia muncul dalam pelbagai rancangan dan menempa nama menerusi watak Shane dalam siri sains fiksyen Kokey. Dia juga dikenali secara meluas selepas tampil dalam rancangan realiti Pinoy Big Brother: Edisi Selebriti 2.
Tidak ketinggalan, beberapa rancangan lain yang menggunakan khidmatnya sebagai pengacara seperti Channel [V] Philippines dan berlakon dalam siri televisyen seperti Hiyas, Never Say Goodbye dan Misibis Bay serta filem The Reunion.
Penampilan pertandingan
Kemunculan wanita serba berbakat di hadapan kamera ini seakan-akan sudah diduga akan mengukir imej dan personaliti tersendiri di pentas peragaan Ratu Cantik Dunia 2013.
Memakai sehelai gaun berwarna merah jambu lembut yang direka khas memberi nilai tambah kepada personaliti Megan. Tenunan penuh ketelitian dan kesempurnaan bertatahkan kristal itu adalah hasil rekaan pereka fesyen antarabangsa dari Filipina, Francis Libiran.
BUSANA perak rekaan Puteri Ayu Mirah ini membawa tuah kepada Young yang turut memenangi pusingan Top Model.


Dres potongan ikan duyung menggunakan material tulle dengan tampalan batu jemeki itu juga merupakan antara gaun petang yang mendapat perhatian sebagai rekaan terbaik. Sepasang anting-anting berlian yang sederhana besar menjadi pelengkap penampilan yang ringkas tetapi penuh elegan itu.
Tarikan Young terhadap barisan juri profesional tidak terhenti pada penampilan fizikal, tetapi juga dari segi pekertinya apabila memberikan jawapan bernas dalam sesi soal jawab acara kemuncak pertandingan itu, yang mana kesemua enam finalis ditanya: “Mengapa anda harus menjadi Ratu Cantik Dunia?”
Mengetengahkan nilai-nilai teras seorang ratu cantik dan bagaimana beliau berharap ia dapat membantu masyarakat, Young menjawab : “Saya sangat menghargai nilai kemanusiaan dan bagaimana ia memimpin manusia untuk bertindak. Saya akan menggunakan nilai ini sebagai contoh bagaimana manusia boleh memahami antara satu sama lain.”
“Apabila bersatu, kita dapat membantu masyarakat,” ujarnya lagi.
Selain pakaian yang diperagakan pada malam kemuncak ratu cantik, Young juga mengenakan rekaan pereka fesyen Indonesia, Puteri Ayu Mirah Suardhana, dalam pusingan Top Model. Gaun songket sutera Bali berbenang perak yang dilengkapi dengan perhiasan Bali ternyata memberikan tuah kepadanya apabila dinobatkan sebagai juara pusingan yang juga merupakan salah satu pengisian penting lain dalam pertandingan ratu cantik itu.
Pengarah Nasional Ratu Cantik Filipina, Cory Quirino memberitahu, juri-juri ratu cantik dunia sememangnya mengagumi kecantikan unik yang dimiliki Young selepas pertama kali mereka melihatnya di Bali.
“Mereka sangat kagum dan mahu mengenali lebih dekat tentang dirinya,” katanya mengenai sifat menawan semula jadi pada Young.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: