|
ACARA Men’s Fashion Runway 2013 yang berlangsung di Actor Studio, Lot10, Kuala Lumpur baru-baru ini seperti dilaksanakan tanpa perancangan rapi.
Sebelum pertunjukan fesyen busana lelaki oleh lapan pereka tempatan dimulakan, keadaan di dalam ruangan acara itu hampir sepi gara-gara kekosongan tempat duduk yang sangat ketara.
Ketika itulah tanggapan negatif terhadap kelancaran acara itu terbentuk dan hadirin mula mempersoalkan, adakah ia sebuah acara fesyen yang bagus? Lantas, apabila lampu dimalapkan membiarkan tumpuan difokuskan kepada pentas utama, ketidakselesaan penonton perlahan-lahan terlebur saat model-model jejaka menguasai pentas dalam persalinan rekaan Hazzerwan Hazley.
Graduan Universiti Heriot-Watt, Edinburgh, United Kingdom itu bijak mengimbangi paduan rona asas hitam dan putih. Pinjaman ideologi Jepun dalam koleksinya tampak indah terutamanya apabila dia memilih untuk memaparkan motif-motif flora.
Keterujaan hadirin untuk terus menyaksikan rekaan pereka seterusnya terbunuh apabila penganjur menyelitkan persembahan nyanyian pada setiap selang pertunjukan fesyen. Terus terang, acara yang sepatutnya menjadi medan pereka tempatan berkongsi karya kreatif mereka, terjejas teruk dek kesilapan susun atur cara yang meleret.
Memikat mata
Slot pertunjukan fesyen diteruskan dengan koleksi jenama lokal, Kitschen yang mempersembahkan rekaan bertemakan fesyen jalanan. Secara jujur, ia satu-satunya koleksi pakaian paling logik untuk digayakan masyarakat umum yang dipersembahkan pada malam itu.
Bagaimanapun, kemeja batik tangan rona hitam putih di bawah koleksi Andy Sulaiman juga memikat mata. Bersahaja dan berjiwa fusion, sesuai untuk pencinta gaya etnik urban.
|
Hasil kerja Rizal Latif yang menonjolkan gaya bersut kasual kemudiannya mempesona hadirin. Rizal juga berjaya memancing penonton apabila menjadikan ikon fesyen lelaki tempatan, Wak Doyok sebagai muse utama. Sut butang berganda nada biru elektrik terletak sempurna pada tubuh Wak Doyok sekali gus memberi petanda bahawa Rizal ingin terus serius menghasilkan rekaan berkonsep sedemikian.
Lari daripada nilai fungsional, signatur pencetus gelombang fesyen avant garde di Malaysia terlihat jelas pada koleksi musim luruh dan sejuk terkini daripada Joe Chia. Rentetan pakaian berona gelap pada malam itu mengekalkan nama Joe Chia dalam kelas eksklusif yang tersendiri.
Koleksi musim bunga/panas 2013 William Liew kemudiannya mengambil alih. Sarat dengan motif flora, rekaan William mudah dihadam hadirin sebagai pakaian santai yang tidak keterlaluan.
Elemen flora turut diaplikasikan pereka senior, Roslan Wilkinson. Ujarnya: “Trend musim bunga dan panas 2014 saya memaparkan kemeja cetakan tangan yang mengetengahkan cetakan blok batik warisan Malaysia. Ia merangkumi pakaian daripada warna lembut sehingga rona gelap dan nada tegas.”
Menutup pentas peragaan malam itu ialah koleksi pakaian resort cetusan Melvin Shah. Seleksi rekaan berani daripada material likra menggamatkan suasana acara terutama ketika supermodel lelaki negara, Wilson Tan melangkah penuh karisma dalam persalinan stailo yang sempurna digayakan sang jejaka ketika berlibur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: