|
DUNIA batik kini semakin meluas di seluruh dunia dengan sajian pelbagai motif yang khas dan unik. Melengkapkan keunikan itu apabila batik yang dahulu hanya menghiasi kehidupan masyarakat desa, kini telah diterima pakai sebagai antara corak berkelas dunia.
Hakikatnya, apabila berbicara soal batik ia secara tidak langsung membawa minda ke negeri Pantai Timur. Ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa Terengganu dan Kelantan adalah pelopor utama kepada batik di negara ini.
Berbeza dengan Sabah, perkembangan batik di negeri ini mungkin agak asing. Ia lebih dikenali sebagai pengeluar barang kraf berasaskan laut dan rotan selain seni pembuatan peralatan muzik tradisional.
"Setiap negeri ada keunikannya sendiri. Begitu juga Sabah yang mempunyai pelbagai motif corak dan ukiran lebih 30 suku kaum.
"Bagi saya apa sahaja dari dasar laut sehingga ke langit di bumi Sabah ini sebenarnya merupakan motif dan kelainan yang patut ditonjolkan dalam memastikan identiti batik dari Sabah terus gemilang," demikian pendapat peribadi pemilik perusahaan Rothman Batik, Rothman A. Buntar.
Berpengalaman selama 32 tahun, Rothman menjelaskan setiap corak dihasilkan oleh penggiat seni ini akan sentiasa berulang dalam beberapa tahun.
Ujar beliau, kebiasaannya reka corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.
"Sebab itu, elemen pelancongan seperti Orang Utan di Sepilok, pulau-pulau dan bencana ombak tsunami selain unsur paku-pakis merupakan trademark dalam setiap batik yang saya hasilkan.
"Kemudian ia digarap dan disesuaikan dengan corak-corak unik Sabah sebagai nilai tambah berbanding batik dari negeri-negeri lain," tegasnya yang mempunyai koleksi 5,000 corak eksklusif sepanjang pembabitannya dalam seni batik.
Berkelana ke Pantai Timur
Bapa kepada tujuh anak ini mengakui, penglibatannya dalam dunia batik sejak 1981 sebenarnya penuh berliku memandangkan dia tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik. Justeru dia belajar berdasarkan pengamatan dan kerajinan sendiri.
Malah, beliau tanpa segan silu mengakui terpaksa membuat sijil dan surat perakuan palsu daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membolehkannya memahami selok-belok penghasilan batik secara mendalam.
Tambah Rothman, semuanya bermula apabila permohonan untuk mempelajari seni tersebut ditolak mentah-mentah oleh beberapa perusahaan batik di Kelantan dan Terengganu yang merupakan lubuk kepada industri batik tanah air.
"Minat terhadap batik ini mula timbul apabila saya yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik kereta di Greenwood, Gombak melihat keunikan batik di Pasar Seni.
"Kemudian saya berkelana hingga ke dua negeri di Pantai Timur itu untuk memohon bekerja di sana tetapi ditolak. Tindakan itu menyebabkan saya membuat surat palsu dengan menyatakan bahawa saya merupakan pelajar di sebuah IPTA dan ingin melakukan praktikal," ulasnya yang mengagumi karya Khalid Shamsuddin Arshad.
Selama tiga tahun mendalami teknik dan jenis-jenis batik seperti batik blok, canting dan skrin, akhirnya Rothman memberanikan diri membuka mulakan perniagaan nya sendiri.
Rothman memberitahu, batik yang dihasilkan pada awalnya mendapat ulasan dan pandangan negatif ramai penggiat seni kerana lebih menekankan warna jingga berbanding unsur warna lain seperti biru, merah, kuning dan putih.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa warna pilihannya itu merupakan satu seni dan sesiapa sahaja ada hak untuk menentukan corak pilihan sendiri.
Kombinasi warna
Kepulangannya ke Sabah pada 1989 bagaikan satu rahmat kepada golongan belia apabila beliau memperluaskan ilmu yang diperoleh secara berterusan dengan percuma. Ini termasuklah kepada pekerja di hampir 18 buah resort dari Tuaran ke Weston, Beaufort.
"Mula-mula, memang dapat cacian dan makian apabila ada pihak yang memerli dengan mengatakan batik ciptaan saya lebih sesuai dijadikan pelapik meja.
"Ia mungkin disebabkan corak dan batik ciptaan saya tidak mempunyai sebarang konsep, namun mereka perlu tahu setiap batik yang saya hasilkan perlu ada elemen-elemen Sabah.
"Hasil kajian dan penyelidikan saya sendiri mendapati masyarakat luar negara seperti di Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang datang ke sini bukan mahu melihat batik etnik sahaja, tetapi keseluruhan yang ada di Sabah diasimilasi di dalam corak tersebut," jelasnya.
Rothman yang pernah memenangi Anugerah Emas pertandingan Myskills 2010 anjuran Jabatan
Pembangunan Keusahawanan, Kementerian Sumber Manusia di Selangor memberitahu, aspek tona warna memainkan peranan penting selain bentuk corak itu sendiri seperti dilakukan oleh penggiat di Kelantan dan Terengganu yang lebih kepada flora dan fauna.
"Apabila kita bermain dengan warna, ia dapat memastikan sesuatu baju atau kain batik dihasilkan sesuai dengan pemakainya.
"Cara bagi melihat dan menilai hasil batik dilakukan adalah mudah dengan melipat sehingga kecil kain batik yang diperagakan atau dijual peniaga bagi membolehkan kita melihat bahagian tepi dan kanan kain tersebut dari segi corak dihasilkan.
"Ini kerana, bahagian tepi sesuatu kain batik adalah kawasan 'hot spot' setiap corak dihasilkan berbanding di bahagian tengah yang lebih banyak kosong," terangnya yang juga pengumpul barangan antik.
Disanjung orang luar
Berbeza dengan Rothman, seorang lagi penggiat seni batik di Sabah, Mustapa Laba Ibrahim, 50, cukup mengagumi keunikan batik dari negeri di bawah bayu ini.
Beliau yang berasal dari Setiawan, Perak berkata, setiap corak dalam suku kaum di Sabah sebenarnya membawa maksud tersendiri seperti corak yang amat disukainya iaitu Nantuapan dari bangsa Murut.
Beliau memberitahu Nantuapan membawa maksud pertemuan dan motif itu menggambarkan dua lelaki dan dua wanita yang sedang tidur dengan hanya satu bantal atau sedang minum tapai dari tajau secara serentak.
"Begitu juga kaum lain seperti Bajau dari ukiran parang, Brunei melalui tudung saji serta Rungus dari ukiran pakaian dan kraftangannya yang berwarna-warni.
"Antara warna yang lebih banyak ditonjolkan adalah biru dan kuning selain merah yang kemudiannya diadunkan menjadi lebih berkilat," katanya yang menerima purata tempahan sehingga 15,000 unit sebulan.
Mustapa yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Hiasan Dalaman dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam itu, kini mengusahakan perniagaannya dengan nama Batik Sabah.
Ujarnya lagi, penekanan dalam aspek warna terang juga merupakan identiti kerana kebanyakan masyarakat Sabah lebih menyukai warna terang.
"Dahulu ramai yang bercakap-cakap dan membuat persepsi bahawa adakah seni batik terdapat di Sabah? Persoalan ini diajukan lantaran tidak ramai penggiat seni yang serius mengembangkannya.
"Namun tidak dinafikan, lebih ramai peminat dan pengguna batik dari Semenanjung kini mencari kelainan dengan memiliki dan memakai batik Sabah dalam urusan harian sebagai kelainan daripada batik-batik yang ada di Semenanjung," jelasnya yang pernah menjual sepasang kain batik dengan harga lebih RM1,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: