Tuesday, October 8, 2013

Ekspresi kecantikan bulu mata


BULU mata yang dijaga dan dirias dengan baik akan menyempurnakan kejelitaan wajah seorang wanita.


SATU aspek yang mungkin kurang diberi perhatian dalam penjagaan kesihatan kecantikan ialah bulu mata.
Berbicara mengenai kecantikan bulu mata, kita mempunyai opsyen sama ada untuk mengaplikasi maskara atau memakai bulu mata palsu.
Penjagaan bulu mata amat penting supaya ia kekal memberi nilai kepada kecantikan mata secara menyeluruh walaupun pada hari tanpa solekan.
Bulu mata yang panjang, tebal, lentik dan hitam pasti menjadi idaman setiap wanita.
Bulu mata yang memenuhi kriteria itu, akan memberi kelainan dan menyerlahkan ekspresi, terutama sekali bersifat menggoda, manja dan penuh emosi.
"Bulu mata memainkan peranan penting dalam melindungi mata daripada elemen luar," kata perunding klinikal College of Optometrists, London, Dr. Susan Blakeney.
Bulu mata mampu bertahan selama tiga bulan sebelum gugur dan ia mengambil masa selama dua bulan atau lebih untuk tumbuh sempurna.
Walaupun berlaku keguguran bulu mata, kita tetap memiliki jumlah bulu mata yang sama sepanjang hayat.
Faktor keguguran
Pertama sekali penggunaan kosmetik yang kerap dan tabiat kita sendiri yang menyebabkan keguguran bulu mata. "Sama seperti rambut, bulu mata gugur selepas tamat kitaran hidup mereka," jelas Blakeney.
Faktor lain termasuk jangkitan dan kemeoterapi. Amalan menggosok mata, penggunaan maskara untuk tempoh lama dan maskara kalis air juga memudaratkan bulu mata. Ia boleh menyebabkan bulu mata kering dan mudah patah.
Penjagaan
Amalan diet sihat dan penjagaan kesihatan mata, asas untuk kesihatan penjagaan bulu mata. Namun, berikut disediakan beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menjaga bulu mata.
n Gunakan pembersih mata yang mesra pada mata. Jangan gosok mata tetapi bersihkan dengan lembut.
n Jangan tarik bulu mata anda, kerana akar bulu mata sangat sensitif.
n Jika anda menggunakan pelentik bulu, pastikan anda tidak menarik bulu mata.
n Jika anda mahu menggunakan sikat bulu mata maskara, pastikan ia dilakukan sementara bulu mata anda masih basah.
n Jangan gunakan maskara atau krim mata yang sudah lama. Ia mungkin terdedah kepada bakteria yang boleh merosakkan bulu mata dan mata secara keseluruhan.

MINYAK badam sesuai dijadikan perapi bagi melembut dan memperkuatkan bulu mata.


Penggunaan perapi
Sapukan jeli petroleum atau Vaseline pada bulu mata. Ia boleh berfungsi sebagai perapi dan melembut serta menampakkan bulu mata yang sempurna serta sihat.
Anda juga boleh membeli perapi bulu mata yang kaya dengan protein seperti keratin atau biotin untuk melembut, memperkuat dan menghidrasi bulu mata.
Perapi bulu mata juga membantu mengelak bulu mata putus.
Kaedah lain untuk menghidrasi bulu mata ialah menggunakan minyak badam, minyak zaiton atau minyak jarak.
Urut lembut bahagian bulu mata dengan minyak tersebut sebelum tidur. Ia akan menyerap masuk dan dalam beberapa hari sahaja, anda akan dapat lihat bezanya.
Bulu mata palsu
Lebih baik mengelak daripada menggunakan bulu mata palsu. Ini kerana penggunaan gam untuk bulu mata boleh mencederakan bulu mata sebenar anda. Apabila anda menarik keluar bulu mata palsu, bulu mata sebenar mungkin tercabut.
Nutrisi diet
Pakar diet bertauliah dari New York dan juga kolumnis kecantikan untuk Guardian, Carlene Thomas mendedahkan beberapa nutrisi diet banyak membantu penjagaan bulu mata. "Vitamin B, khususnya biotin menggalakkan pertumbuhan bulu mata. Kekurangan biotin pula memberi kesan yang sebaliknya."
Cara mengambil nutrisi itu adalah memakan makanan yang kaya dengan biotin atau mengambil suplemen. Antara makanan yang kaya dengan biotin ialah yis, hati, kobis bunga, ikan salmon, pisang, lobak merah, kuning telur dan cendawan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: