|
SETELAH menempuh pelbagai dugaan dan cabaran untuk bergelar selebriti, mereka yang sebelum ini bergerak secara solo, telah memutuskan untuk bergerak secara berkumpulan.
Keputusan itu dilakukan kerana percaya dengan menggabungkan keunikan dan keharmonian suara mereka, mereka mampu bertahan lama di dalam industri hiburan tanah air ini.
Namun, mereka empat orang anak muda, dengan seorang wanita dan tiga lelaki menggelarkan diri sebagai Tiga. Tiga menjelaskan yang pada awalnya mereka bergerak hanya seramai tiga orang ahli iaitu Arween (Mohd Qhairol Iqhssan, 28), Alfie (Syed Alfrizal, 26) dan Maya (Maya Hariyanto, 21).
Namun mereka telah membuat keputusan untuk menambah ahli baharu iaitu Zack (Zack Merican) berusia 20 tahun. Ini kerana bakat yang ada pada Zack iaitu dengan keupayaan untuk rap, melakukan rap-box dan menyanyi itu membolehkan dia diserap masuk di dalam kumpulan tersebut.
Untuk memastikan percaturan mereka kali ini menjadi, Tiga telah mempersiapkan diri mereka dengan ‘senjata’ yang diyakini mampu menembusi pasaran dengan baik. Selain mempertaruh pelbagai genre seperti World Music, pop R&B dan Pop Rock, Tiga telah berjaya ‘mencuri’ hasil karya penyanyi Alyah untuk dijadikan single pertama mereka.
‘Pencurian’ tersebut berlaku selepas Tiga bertemu penyanyi yang terkenal dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu beberapa bulan lalu. Mereka tertarik untuk mengambil lagu Pengakuan, sentuhan Alyah untuk dipersembahkan dengan cara Tiga.
“Kami bertemu Alyah meminta izin mengambil karyanya untuk dijadikan lagu nyanyian kami. Pengakuan adalah salah satu lagu yang sesuai dengan kami. Pertama, konsep vokal berharmoni itu dapat dikekalkan, kedua kerana muziknya adalah mesra radio dan ketiga kerana lagu Pengakuan itu berentak rancak.
“Sebab itu kami rasa ia amat sesuai dengan kami,” ujar Arween yang juga memberitahu, pertemuan bersama Alyah untuk membuat keputusan lagu tersebut dijadikan single pertama mereka hanya berlangsung di sebuah taman permainan.
Sementara itu, Alyah cukup berbesar hati apabila ada pihak lain yang sedar tentang kredibilitinya mencipta lagu. Dia yang telah menyimpan lagu tersebut selama lapan tahun, akhirnya melepaskan Pengakuan kepada Tiga kerana beranggapan ia memang sesuai dinyanyikan oleh kumpulan tersebut.
Katanya: “Saya telah menyimpan lagu ini selama lapan tahun, sewaktu saya masih lagi bersama Fabulous Cat. Namun, pada waktu itu, saya merasakan lagu tersebut belum cukup enak untuk dipersembahkankan.
“Bagaimanapun, selepas saya memberinya kepada Tiga, saya dapati ia sesuai dan saya sendiri tidak menyangka kerana saya mampu menghasilkan sebuah lagu yang enak didengar.”
Disogok tentang persoalan mereka menumpang populariti Alyah, Tiga menafikan hal tersebut, sebaliknya memberitahu, kehebatan Pengakuan telah membuat mereka mengetepikan isu populariti Alyah.
Alyah juga saat ditanya soalan yang sama memberitahu: “Saya tidak ada masalah jika mereka menumpang populariti saya tetapi biar ia berlaku dengan cara terhormat. Mereka telah datang bertemu dengan saya dan meminta izin untuk menggunakan lagu ciptaan saya itu dan saya izinkan”.
Pada masa yang sama, Tiga juga enggan dibandingkan dengan kumpulan Fabulous Cat yang terlebih dahulu muncul dengan konsep yang sama.
“Sebelum kami masuk secara serius ke dalam bidang ini, kami telah membuat kajian tentang kelebihan dan kelemahan kami dengan kumpulan kami. Dan dengan ini kami berani mengatakan bahawa Tiga sama sekali tidak sama dengan Fabulous Cat,” ujar Arween.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: