Friday, October 11, 2013

Giliran Nona tersingkir, AF 2013 terus dipertikai



NONA tersingkir sedangkan dia dikatakan sebagai peserta yang mempunyai kualiti.


MENERUSKAN legasi menjadi Inspirer (pengilham) selepas penyanyi Faizal Tahir, Melly Goeslow juga sama seperti Faizal yang belum berjaya membuktikan kekuatan vokal mahupun persembahan setiap pelajar Akademi Fantasia 2013 (AF 2013).
Persembahan pelajar-pelajar AF 2013 di bawah tanggungjawab Melly pada konsert minggu keempat di Padang A & B, Plaza Angsana, Johor Bahru, Ahad lalu, masih lagi belum mencapai standard AF sebelum-sebelum ini.
Sehinggakan, ada yang tertanya-tanya bagaimana pelajar-pelajar tersebut boleh diterima masuk, sedangkan kualiti vokal biasa-biasa sahaja.
Terutama sekali Nur Nabila Mohd. Razali dan juga Nadia Amira Othman.
Begitupun, ada juga beberapa pelajar yang dilihat mempunyai vokal yang mantap dan juga mempamerkan persembahan bertenaga melalui pujian juri tetap AF 2013 iaitu Roslan Aziz, Edry Abdul Halim dan Sharifah Amani.
Mereka yang dipuji ialah Rasmawatie Mohd. Thamrin atau Nona, Nur Aishah Aziz atau Aishah dan Siti Ruhailah Hussein atau Indah. Juri menganggap Nona mempunyai vokal yang mantap selain memberi persembahan pembuka yang segar menerusi lagu Treasure daripada penyanyi Bruno Mars.
Bagaimanapun, persembahan mantap Nona tidak berjaya mencuri hati pengundi khidmat pesanan ringkas (SMS) apabila peserta berasal dari Sabah itu tersingkir pada malam tersebut.
Penyingkiran Nona mengejutkan banyak pihak apabila ramai yang membuat andaian Abdul Suhadah Unding atau Suhadah bakal terkeluar melalui undian terendah yang diraihnya.
Biarpun, segala pujian mahupun kritikan diberi kepada pelajar-pelajar tersebut, namun keseluruhan konsert minggu keempat itu masih kelihatan hambar.
Bagaimanapun, kesalahan tersebut tidak boleh diletakkan pada bahu Melly seratus peratus kerana komposer dan penyanyi terkenal dari Indonesia itu baru memikul tanggungjawab menjadi Inspirer untuk minggu pertama dan mempunyai dua minggu perjalanan lagi.
Melly juga mengakui, tugas sebagai Inspirer bukan melatih pelajar-pelajar kerana mereka mempunyai tenaga pengajar.

Kebolehan Nabila terus dipertikaikan kerana dia dianggap peserta paling lemah yang masih tidak tersingkir.


Sebaliknya, beliau hanya bertanggungjawab menyalurkan pengalamannya sebagai penyanyi kepada mereka.
“Ramai yang masih tersalah anggap mengenai tugas Inspirer. Kami bukan melatih pelajar-pelajar tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan juga membantu mereka yang mempunyai masalah.
“Saya sudah lama merasai asam garam sebagai penyanyi. Jadi, saya ajar mereka bagaimana menangani perasaan gemuruh dan bagaimana untuk menyalurkan perasaan di dalam lagu,” jelasnya ketika ditemui sejurus konsert minggu keempat itu berlangsung di Padang A & B, Plaza Angsana, Johor Bahru.
Tidak adil
Biarpun baru seminggu menjadi Inspirer, Melly memberitahu, kesemua pelajar AF 2013 mempunyai peningkatan yang positif menerusi video yang ditonton ketika Faizal menjadi Inspirer.
Begitupun, Melly mengakui tidak mengenali pelajar secara mendalam dan disebabkan itu dia meminta Azhael yang terdiri daripada dua peserta iaitu Mohd. Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi menentukan lagu yang perlu dinyanyikan oleh setiap peserta.
Biarpun tindakan Melly itu dilihat tidak adil buat peserta lain kerana ada beberapa suara peserta yang dilihat tidak sesuai dengan lagu yang dipilih tetapi Melly ada jawapannya.
“Mungkin ada satu atau dua lagu yang tidak sesuai dinyanyikan oleh peserta tetapi saya yakin apa yang dipilih Azhael sangat sesuai untuk teman mereka,” jelasnya yang memberitahu Azhael dipilih kerana meraih undian tertinggi pada konsert minggu ketiga.
Nona terkilan
Sementara itu, Nona ketika ditemui mengakui terkilan kerana tersingkir pada malam konsert keempat tersebut.
Biarpun terkilan, Nona akur kerana undian 100 peratus dibuat melalui peminat.
“Memang terkilan tetapi hendak buat macam mana saya tersingkir disebabkan undian,” ungkapnya yang tidak dapat menahan kesedihan dengan penyingkirannya pada malam itu.
Disoal mengenai perancangannya selepas keluar AF 2013, Nona memberitahu akan bercuti bersama keluarga sebelum merancang untuk menyambung pengajiannya dalam bidang kejururawatan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: