Friday, October 11, 2013

Rosyam tidak peduli Amani, Syamsul

ROSYAM memberikan pandangan tersendiri tentang perang Twitter yang meletus antara Syamsul dan Amani.


MALAM Selasa lalu, perang Twitter antara aktres Sharifah Amani dan pengarah filem KL Gangster 2 timbul gara-gara aktres itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sistem pengkategorian filem lakonannya Psiko Pencuri Hati oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) yang mendapat klasifikasi PG18.
Dalam luahannya, Amani dilihat tidak puas hati apabila filem KL Gangster 2 yang mengandungi pelbagai unsur negatif di dalam filem seperti dadah, pukul, rogol dan mencarut layak mendapat klasifikasi PG13.
Luahannya itu mendapat perhatian Syamsul apabila Syamsul membalas adakah dia tidak berpuas hati dan menyifatkan bahasa kasar yang digunakan sebagai kurang ajar.
Amani kemudiannya meminta maaf kepada Syamsul andai dia tersinggung dengan luahannya itu dan menjelaskan, kata-katanya tidak bersifat peribadi, cuma dia terganggu dengan diskriminasi yang berlaku.
Bagaimanapun, salah seorang pelakon utama filem KL Gangster 2, Rosyam Nor yang ditemui pada majlis sidang media Drama Festival KL di Bangsar baru-baru ini enggan mengambil peduli tentang perang Twitter antara Amani dan Syamsul. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Rosyam.
Kosmo!: Adakah Rosyam tahu tentang perang Twitter antara Amani dan Syamsul?
ROSYAM: Tidak. Namun, bagi saya itu hanyalah perdebatan terbuka yang biasa antara Amani dan Syamsul. Saya tidak mahu ambil peduli dan masuk campur kerana itu hak mereka.
Apabila Amani mempersoalkan klasifikasi PG13 yang diberikan kepada filem KL Gangster 2, apakah komen anda?
Apa sahaja klasifikasi yang diberikan kepada filem KL Gangster 2, sebelum filem itu ditayangkan di panggung pun sudah ramai kanak-kanak panggil saya dengan nama Tailong kerana mereka sudah tonton di YouTube terlebih dahulu.
Saya tidak mahu komen lebih kerana apa yang lebih penting sekarang adalah mencari dalang di sebalik penyebaran filem KL Gangster 2 sebelum tarikh tayangan.
Mungkin anda ada nasihat buat Amani?
Bagi saya, dia bebas untuk bersuara, cuma salurannya tidak tepat. Andai dia tidak berpuas hati dengan sistem pengkategorian filem, dia harus mengajukan masalah itu kepada pihak LPF.
Adakah anda pernah berhadapan perkara yang sama dengannya?
Saya juga pernah berhadapan dengan situasi tersebut. Namun sebagai penerbit, saya harus tahu caranya untuk meluaskan filem tersebut. Contohnya, LPF mempunyai panel rayuan. Jika anda tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan LPF, anda boleh merayu disertakan dengan hujah dan kertas kerja yang betul. Jika kena dengan gayanya, LPF akan mempertimbangkan.
Sebagai pelakon yang dikenali, adakah wajar untuk mengeluarkan kata-kata yang kurang manis di laman sosial?
Twitter sudah menjadi satu trend dan apa sahaja yang terbuku di hati ditulis di Twitter. Saya mempunyai lebih daripada 100,000 pengikut di Twitter tetapi saya tidak pernah menggunakan bahasa yang kurang elok di Twitter kerana saya seorang yang matang, sesuai dengan usia saya.
Bagaimana pula anda menggunakan Twitter?
Twitter bagi saya bagus kerana mendekatkan diri dengan peminat dan dapat promosikan filem atau sebarang aktiviti saya sebagai artis. Bagaimanapun, harus berjaga-jaga menggunakan teknologi moden ini kerana apa sahaja yang ditulis dan dimuat naik dalam internet akan kekal sampai bila-bila dan tidak boleh dipadam sampai kita mati.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: