BAGI anda yang mempunyai anak-anak kecil, jangan ketinggalan membawa mereka menyertai peraduan mewarna peti harta karun di Intermark Mall, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Oktober ini.
Pelbagai hadiah menarik seperti tiket masuk dan penginapan untuk empat orang ke Taman Tema Universal Studios di Singapura, Legoland di Johor dan Sunway Lagoon di Selangor sedia untuk dimenangi.
Pengarah The Intermark, Patrick Liau berkata, peraduan tersebut merupakan sebahagian daripada promosi Mengelilingi Dunia pusat beli-belah tersebut yang berlangsung pada 3 hingga 6 Oktober ini.
"Promosi ini bertujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian barangan dan cita rasa antarabangsa dari kedai, restoran dan rangkaian kesihatan dan gaya hidup yang disediakan The Intermark," katanya.
Dengan perbelanjaan serendah RM10, pengunjung boleh menikmati hidangan restoran-restoran dan kafe terkenal di podium melalui gerai-gerai promosi mereka di tingkat bawah dan tingkat satu. Para pengunjung juga berpeluang merasa pelbagai jenis keju di gerai-gerai tersebut.
Selain itu, pengunjung berpeluang mendapat baucar bernilai RM50 untuk dibelanjakan di Intermark Mall jika "pasport" mereka dicop sebanyak enam kali di gerai-gerai promosi yang disediakan. "Pasport" ini boleh didapati di kaunter penerangan di tingkat bawah.
Mereka yang menjamu selera di sana juga diberi potongan harga antara 20 sehingga 50 peratus bagi hidangan terkenal di restoran dan kafe yang mengambil bahagian.
Selaras dengan tema mengelilingi dunia, para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuklah samurai Jepun, nyanyian tenor; dendangan lagu-lagu klasik Cina dari Shanghai; pukulan kompang; tarian kipas Korea dan Flamenco dari Sepanyol.
Intermark Mall merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu The Intermark yang turut merangkumi Menara Integra, Menara Vista dan Hotel Double-Tree by Hilton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: