|
MUTAKHIR ini, kita dikejutkan dengan begitu banyak berita berkaitan jenayah termasuk pembunuh upahan dan kumpulan kongsi gelap.
Ia menimbulkan tanda tanya kepada kita mengapa manusia cenderung melakukan jenayah? Adakah jenayah merupakan satu cara baharu untuk manusia mendapatkan keseronokan?
Itulah antara persoalan yang belum dapat dirungkaikan dalam kajian-kajian psikologi. Sekiranya salah laku jenayah atau keganasan mampu memuaskan hati manusia, ia mungkin hanyalah ilusi.
Kita selalu mendapati bahawa penjenayah yang dimomokkan sebagai bengis dan kejam, biasanya terpaksa menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika hukuman dijatuhkan ke atas mereka oleh mahkamah.
Malah, walaupun ada yang sanggup membunuh orang lain, pada akhirnya mereka rela membunuh diri kerana tidak lagi mampu menanggung perasaan bersalah.
Semua ini jelas menunjukkan bahawa penjenayah yang ganas sekali pun hanyalah manusia biasa.
Umumnya, kajian-kajian psikologi mendapati bahawa penjenayah selalunya datang daripada kelompok yang mempunyai 'penghargaan kendiri' yang rendah.
Bagi meningkatkan keyakinan diri, mereka menyertai kumpulan tertentu atau terlibat dengan jenayah yang membolehkan mereka dinilai sebagai manusia hebat dan luar biasa.
Kelemahan
Berdasarkan tanggapan ini, cubaan menutup kelemahan itulah yang menjebakkan diri mereka dengan jenayah. Sekiranya mereka lemah, mengapa mereka mampu melakukan keganasan dan kekerasan?
Seolah-olah mereka yakin terhadap perkara yang dilakukan, sedangkan bagi majoriti lain, mereka sangat takut untuk melanggar undang-undang. Apatah lagi untuk merompak atau membunuh orang tanpa rasa kasihan.
Dalam konteks ini, ahli psikologi menganggapnya sebagai satu bentuk 'ego diri'. Penjenayah ini perlu menunjukkan kekuatan mereka bagi memberitahu orang lain bahawa mereka bukanlah individu lemah, sebaliknya mereka adalah manusia unik.
|
Mereka mahu menunjukkan bahawa mereka mampu melakukan apa yang tidak boleh dilakukan orang lain, walaupun tindakan itu mungkin bertentangan dengan norma dan peraturan hidup manusia.
Penyertaan dalam kumpulan jenayah tertentu juga mungkin ada kaitan dengan pengiktirafan psikologi ini. Semakin besar dan terkenal satu-satu kumpulan itu menyebabkan mereka berasa memiliki kehebatan tersendiri.
Sebab itulah, kita dapati aktiviti jenayah banyak berlaku dalam kelompok masyarakat minoriti, kumpulan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak berpendidikan tinggi.
Kelemahan diri telah ditukar kepada bentuk lain bagi membolehkan mereka mendapat pengiktirafan. Adakah undang-undang sedia ada tidak cukup untuk menakutkan manusia?
Hukuman
Sebenarnya, inilah juga antara isu yang sering dibahaskan dalam kajian-kajian psikologi. Umumnya, kajian mendapati ramai penjenayah tidak menghiraukan bentuk undang-undang atau hukuman bagi tindakan mereka.
Mereka juga tidak melakukan pertimbangan untung rugi dalam setiap tindakan jenayah, khususnya hukuman yang bakal diterima.
Mereka hanya mempertimbangkan apa yang bakal diperoleh sekarang dan bukannya musibah pada masa hadapan.
Bagi sesetengah penjenayah, mereka cuma mempertimbangkan sama ada mereka akan ditangkap ketika melakukan jenayah atau berjaya menghindarkan diri daripada dihidu oleh pihak berkuasa.
Ego diri memperteguhkan perlakuan mereka tadi. Bagi segelintir penjenayah, mereka dikatakan mempunyai personaliti yang sukakan risiko. Semakin besar hukuman, semakin 'seronok' mereka melakukan jenayah terbabit.
Ini bukanlah bermakna undang-undang tidak diperlukan. Undang-undang diperlukan bagi mengawal perilaku mereka yang tidak mempunyai personaliti mudah melakukan jenayah.
Undang-undang diperlukan bagi membolehkan majoriti masyarakat yang tidak terlibat dengan jenayah berasa gerun dan menghindarkan mereka daripada terjebak.
Sebab itulah, penjenayah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dihukum setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Sekalipun mereka tidak takut atau menyesal, sekurang-kurangnya mereka menerima balasan atas perbuatan tersebut.
Kecenderungan segelintir ahli masyarakat menganggap penjenayah sebagai wira dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat.
Ia hanya akan meninggikan ego diri penjenayah untuk terus melakukan jenayah yang mengancam nyawa dan keselamatan negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: