Thursday, October 3, 2013

Kejutan khas Fizo Omar

FIZO bakal mengadakan sidang akhbar mengenai perkahwinannya dengan Mawar pada hujung bulan ini.


PELAKON Fizo Omar yang bakal bertunang dengan model tudung Fareeda pada awal November depan memberitahu, dia bakal memberi kejutan khas pada sesi sidang akhbar mengenai perkahwinannya yang dirancang sekitar hujung bulan ini.
Menurutnya yang ditemui pada majlis Usahanita Hot Burger di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Kuala Lumpur baru-baru ini, kejutan itu sudah lama dirancangnya. Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan butiran kejutan itu secara terperinci.
“Apa yang boleh saya katakan, bakal ada kejutan, untuk siapa dan apa kejutannya, nantikan pada majlis sidang akhbar pengumuman pertunangan dan perkahwinan yang akan diadakan tidak lama lagi. Nama pun kejutan, jika saya beritahu sekarang bukanlah kejutan namanya. Harap semua dapat bersabar,” katanya.
Tambahnya yang bakal bergelar suami kepada Mawar Abdul Karim iatu anak kepada pemilik tudung Fareeda, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan hubungannya dengan gadis berusia 24 tahun itu.
Sudah menjadi prinsipnya sejak bergelar pelakon, dia hanya berkongsi kisah kerjayanya sahaja bersama peminat.
“Saya tidak sorok, apa lagi kami akan bertunang kerana itu perkara baik. Cuma saya lebih selesa berkongsi kisah kerjaya dan kisah yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain.
“Namun, apabila ramai yang sudah tahu, saya kongsikan sahaja mana yang termampu,” ujarnya yang teruja dengan hari bahagianya.
MAWAR bakal disunting oleh Fizo untuk menjadi teman hidup pelakon itu.


Disoal tentang persiapan pertunangan, jelas Fizo, kesibukan kerjanya serta Mawar membataskan perjumpaan untuk persiapan pertunangan.
“Cincin sudah dibeli, cuma kami berdua terlalu sibuk. Jumpa pun tidak sempat, semuanya berbincang menerusi telefon sahaja.
“Kadang-kadang sebagai lelaki, saya rasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan masa untuk memilih barang hantaran dan persiapan yang lain bersama. Mawar seorang yang sangat memahami, jadi tidak timbul sebarang masalah di situ,” katanya.
Pakar motivasi
Dalam pada itu, Fizo mengakui yang dia sudah lama mengidamkan untuk bergelar seorang pakar motivasi pada masa hadapan.
Bahkan, Fizo yang hangat dengan perniagaan Hot Burger juga bakal mengeluarkan buku autobiografi yang ditulisnya sendiri pada penghujung tahun ini.
“Selepas saya menjalankan perniagaan Hot Burger dan membantu orang lain, secara automatik saya rasa berminat untuk menjadi pakar motivasi dan penulis.
“Saya bukanlah pakar motivasi yang mempunyai ijazah kedoktoran tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman jatuh bangun dalam hidup saya sendiri.
“Mungkin pada masa hadapan saya akan sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mempertingkatkan ilmu sebagai pakar motivasi kerana saya seronok dapat memberi inspirasi dan semangat kepada orang lain,” ucapnya.
Jelas Fizo, selain buku, dia juga kini ligat menulis di blognya, www.fizoomar.blogspot.com sebagai medan untuknya berkongsi pengalaman bersama peminat dan orang ramai.
“Saya tidak tahu kenapa sekarang saya suka menulis. Walaupun sibuk, saya tetap luangkan masa menulis buku autobiografi kerana saya ingin kongsi apa yang saya lalui sehingga saya berada di tahap hari ini.
“Blog pula tempat saya mengemas kini aktiviti serta apa yang berlaku di sekeliling saya. Kiranya, blog tempat saya mengasah kemahiran menulis,” terangnya yang semakin kurang berlakon.

BANTU WANITA... Fizo menjalinkan kerjasama dengan jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita bagi memilih 10 ibu tunggal di setiap negeri di Malaysia bagi mengusahakan bisnes Hot Burger yang diasaskannya.


Bantu ibu tunggal
Perniagaan Hot Burger yang diasaskan Fizo bersama tiga rakan kongsi yang lain kini mendapat sambutan yang luar biasa. Biarpun hanya setahun lebih beroperasi, Hot Burger telah memiliki 60 cawangan gerai di seluruh negara.
Menariknya, selain membantu belia untuk berniaga, Hot Burger juga membantu ibu-ibu tunggal untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka.
Menerusi program Usahanita Hot Burger dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita dan disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, seramai 10 ibu tunggal di setiap negeri dipilih untuk memiliki gerai Hot Burger mereka sendiri secara percuma.
“Pihak Jabatan Pembangunan Wanita akan mengenal pasti ibu-ibu tunggal yang layak dan kami akan mengadakan sesi temu ramah terlebih dahulu sebelum mereka terpilih.
“Kami akan memberi latihan, kelengkapan gerai dan juga wang saku sebanyak RM500 ketika latihan sebagai bantuan untuk ibu tunggal yang layak,” katanya.
Beritahu Fizo, setakat hari ini, bantuan Hot Burger untuk ibu tunggal baru sahaja bermula di Kuala Lumpur dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Contoh di Kelantan, kami menerima 1,000 permohonan tetapi kami harus saring dan membantu mereka yang benar-benar susah sahaja.
“Saya rasa bangga dan gembira melihat orang yang dibantu telah berjaya dan mendapat pulangan pendapatan yang lumayan,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: