Thursday, October 3, 2013

Fizz bersumpah bakal kahwini Almy

KURANG dilihat aktif berlakon sejak akhir-akhir ini, Fizz menegaskan, antaranya disebabkan watak yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan dirinya.


PELAKON Fizz Fairuz sekali lagi mengejutkan industri hiburan apabila membuat kenyataan bakal berkahwin dengan bekas kekasihnya, pelakon Almy Nadia pada tahun hadapan.
Sebelum ini, Fizz pernah bercinta dan membuat kenyataan ingin mengahwini Almy.
Bagaimanapun, tiba-tiba pelakon drama popular Nur Kasih itu kemudiannya bertunang dengan wanita lain.
Malangnya, wanita itu didapati merupakan isteri orang dan pertunangan mereka kemudiannya putus.
Terbaharu, Fizz sekali lagi membuat pengumuman ingin mengahwini Almy. Apakah ‘drama’ yang cuba dicipta lagi pelakon berusia 34 tahun itu? Adakah benar Fizz bakal berkahwin dengan Almy?
Kepada Kosmo! Fizz melanjutkan kenyataannya itu ketika ditemui pada majlis pengumuman empat selebriti iaitu Fizo Omar, Fahrin Ahmad, Iqram Dinzly dan Fizz yang mendapat tajaan daripada butik mutiara terkenal, Rafflesia untuk melancong ke Cardiff City, Britain sambil menonton perlawanan bola sepak kelab Cardiff City menentang Manchester United di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Boleh Fizz ulas mengenai hasrat anda untuk berkahwin dengan Almy tahun depan?
FIZZ: Kalau boleh, saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana saya baru merancang. Saya belum lagi berjumpa dengan keluarganya. Bila keluar mengenai cerita saya ingin berkahwin dengannya ramai yang bertanya sedangkan saya hanya baru merancang.
Adakah Almy mengetahui hasrat anda ini kerana apabila bertanyakan hal ini kepadanya, dia seolah-olah tidak tahu-menahu. Almy juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini. Boleh komen?
Saya sendiri yang beritahu Almy jangan buka mulut selagi saya belum berjumpa keluarganya untuk berbincang mengenai hasrat saya untuk berkahwin dengannya.
Kenapakah Fizz menghalang Almy daripada membuka mulut tentang perkara tersebut?
Saya tidak mahu orang nampak salah dia jika perkahwinan ini tidak jadi. Biar orang nampak salah saya sahaja. Saya boleh kawal lagi tetapi dia tidak boleh. Nanti dia menangis lagi.
Jadi bilakah Fizz ingin berjumpa dengan keluarga Almy?
Kemungkinan saya akan berjumpa keluarga dia dalam masa terdekat ini untuk membincangkan mengenai perkahwinan kami.
FIZZ FAIRUZ mengakui yang dia bakal berjumpa keluarga Almy Nadia berkaitan urusan pernikahan mereka.


Adakah kenyataan Fizz untuk berkahwin dengan Almy kali ini benar? Ini kerana sebelum ini anda pernah berhasrat untuk berkahwin dengan Almy tetapi akhirnya bertunang dengan orang lain.
Demi Allah, saya bersumpah akan berkahwin dengannya.
Kenapakah anda berhasrat untuk berkahwin dengan Almy? Tidak segankah selepas apa yang anda lakukan terhadap dirinya?
Kenapa hendak segan. Dialah calon terbaik untuk saya jadikan isteri. Sudah tujuh tahun saya mengenalinya. Kami juga sudah mengharungi susah dan senang bersama. Saya berhasrat untuk berkahwin dengan Almy juga disebabkan ibu. Dia minta saya berkahwin sebelum dia menutup mata.
Khabarnya Fizz akan terus berkahwin dan enggan terlebih bertunang dahulu? Kenapa?
Saya sudah kenal dia lama, untuk apa lagi kami bertunang. Lebih baik segera berkahwin sahaja.
Fizz dilihat semakin kurang berlakon. Adakah disebabkan kontroversi yang melanda?
Ramai artis lelaki baharu yang muncul. Lagipun tawaran yang datang juga menawarkan watak yang tidak bersesuaian dengan saya.
Apakah projek baharu Fizz selepas ini?
Sekarang saya terlibat dengan Liga Lawak Superstar untuk siaran TV3. Saya juga baru habis penggambaran cerekarama juga untuk TV3.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: