Thursday, October 10, 2013

Kecairan glasier tropika dunia


BONGKAH ais dan glasier tropika di puncak Andes dikatakan mengambil masa hampir 1600 tahun untuk terbentuk.


PERU merupakan negara yang sangat istimewa. Ia kaya dengan nilai sejarah silam dan ribuan tapak arkeologi yang terus terpelihara sehingga kini.
Bagaimanapun di sebalik kemegahan sejarah silamnya, pelancong juga mempunyai sebab lain untuk melawat Peru. Salah satunya ialah kewujudan kawasan glasier tropika yang diiktiraf terbesar di dunia.
Merentangi sepanjang puncak banjaran Andes, kewujudan glasier penting dalam mengurus sumber air untuk kegunaan penduduk, aktiviti pertanian dan tenaga hidroelektrik.
Bagaimanapun, bongkah glasier yang terbentuk lebih 1600 tahun itu kini semakin mengecil. Kajian terbaharu menunjukkan ia menyusut sehingga 22 peratus dalam tempoh 25 tahun lalu.
Para saintis berpendapat, keadaan itu disebabkan oleh kenaikan suhu global sekali gus menyebabkan ekosistem alam semula jadi menjadi tidak seimbang.
Ia jelas dibuktikan melalui margin bongkah ais di Quelccaya yang semakin mengecil berbanding sebelumnya. Pencairan secara drastik ini menyaksikan penemuan pelbagai spesies tumbuhan reput yang sebelum ini membeku dalam glasier yang terbentuk ribuan tahun lalu.
Kajian terperinci yang dilakukan menggunakan kaedah karbon radioaktif terhadap tisu tumbuhan yang mereput pada kadar tertentu membolehkan saintis menentukan usia lapisan ais berkenaan.

SAINTIS sentiasa memantau perkembangan di Banjaran Andes melalui data-data yang dikumpul sejak 30 tahun lalu.


Kenal pasti punca
Seorang ahli glaciologi dari Universiti Ohio, Lonnie G. Thompson yang bertanggungjawab melakukan kajian di Quelccaya sejak beberapa dekad lalu melaporkan penemuan itu dalam sebuah jurnal sains baru-baru ini.
Kajian itu meliputi analisis terhadap kandungan bahan kimia pada silinder ais yang digerudi di dasar Quelccaya. Hasil kajian itu akan membantu saintis di seluruh dunia mengenal pasti punca sebenar perubahan iklim.
Ada antara analisis berkenaan memerlukan masa panjang, namun Thomson berkata, berdasarkan bukti-bukti awal sebelum ini, bumi pernah melalui fasa perubahan iklim luar biasa ketika Revolusi Perancis pada tahun 1789. Perubahan iklim ketika itu menyumbang kepada kekurangan bekalan makanan, di samping diburukkan dengan pergolakan yang berlaku.
"Apabila berlaku kekurangan bekalan makanan, ia merupakan satu berita buruk kepada mana-mana pemerintah," katanya dalam satu wawancara.
Bagi menghasilkan penemuan lebih menarik, Thompson dan pasukannya telah memperluaskan penyelidikan mereka. Ia termasuk mengkaji tumbuhan-tumbuhan mati yang ditemui di pinggir Quelccaya, sebuah bongkah ais besar dan rata terletak di kawasan gunung berapi setinggi 5,486 meter pada paras laut.
Ujian kimia
Beberapa tahun lalu, pasukan itu melaporkan mengenai penemuan pelbagai spesies tumbuhan berhampiran sebuah tasik yang terhasil akibat pencairan ais. Ujian kimia menunjukkan ada di antaranya berusia sekitar 4700 tahun.
Dalam kajian terbaharu, iaitu 304.8 meter lebih dalam berbanding lokasi ujian sebelum ini mendedahkan ada antara spesies tumbuhan berkenaan berusia sehingga 6300 tahun.
Sementara itu, seorang ahli geologi mengenai glasier dari Kolej Dartmouth, Meredith A. Kelly berkata, interpretasinya terhadap tumbuhan berkenaan boleh dipercayai dan berpandukan fakta.
Penyelidikannya di Quelccaya menunjukkan margin glasier telah mencair dengan begitu pantas pada masa lalu. Katanya, pencairan ais yang berlaku pada hari ini agak pantas, biarpun tidak sepantas seperti yang pernah direkodkan sejak era zaman ais berakhir.

GLASIER yang mencair turut mengairi kawasan tasik yang menjadi sumber air kepada penduduk sekitar.


Saintis berkata, pemanasan global yang berpunca daripada pembebasan gas rumah hijau oleh manusia memberikan impak besar bergantung kepada latitud dan ketinggiannya.
Disebabkan itu, kata saintis, bongkah ais di Quelccaya yang berada pada paras tinggi di kawasan tropika sangat sensitif terhadap sebarang perubahan iklim.
"Perubahannya mungkin tidak dilihat melalui mata kasar kerana masih banyak ais di sini, namun kita mungkin terperangkap dalam situasi yang menjadi punca kepada pencairan ais berkenaan," kata Mathias Vuille, saintis kaji cuaca di Universiti Albany, New York.
Sepanjang banjaran Andes, glasier kini mencair begitu pantas yang turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan saintis mengenai sumber air yang dibekalkan kepada penduduk di wilayah berkenaan. Pencairan glasier pada musim panas dan kering, membantu komuniti di sekitar kawasan pergunungan itu mendapat bekalan air secukupnya.
Menurut pakar, dalam jangka masa pendek, pencairan ais akan meningkatkan sumber air sekali gus berupaya menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat di beberapa bandar di sekitar Andes.
Bagaimanapun, kata mereka, penyusutan glasier akan menimbulkan ketidakpastian yang sentiasa menghantui manusia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: