Thursday, October 10, 2013

Bekerja sebagai satu ibadah


PESERTA kursus yang terdiri daripada pekerja organisasi swasta dan kerajaan tekun mendengar ceramah dan taklimat mengenai panduan bekerja dengan hati dan akal di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PENGLIBATAN Juraiman Rahim dalam kursus Bekerja Dengan Hati dan Akal di Hotel Istana, Kuala Lumpur selama dua hari baru-baru ini merupakan inisiatifnya sendiri.
Menurut Pengurus Operasi dan Program Pusat Kelompok Masjid dalam Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu, sepanjang menyertai kursus tersebut, banyak perkara baharu dipelajarinya yang boleh dipraktikkan dalam tugasan hariannya di MUIS.
“Matlamat utama MUIS ialah menjadikan masyarakat Islam progresif, maju dan kuat pegangan agama. Di Singapura, masjid merupakan tempat ibadat dan pembangunan sosial masyarakat.
“Melalui kursus ini, saya mampu memberikan idea kepada MUIS mengenai kaedah untuk mengendalikan sistem pentadbiran masjid dengan lebih sistematik mengikut lunas Islam. Sebelum ini, pimpinan masjid dipelopori oleh golongan korporat dan kebanyakannya kurang menekankan aspek agama,” ujarnya yang menguruskan pentadbiran 29 buah masjid di bahagian pusat bandar Singapura.
Kaedah 4I iaitu Islam, Iman, Ilmu dan Islah merupakan antara pengajaran yang memberi panduan kepada Juraiman dalam melaksanakan tugasan hariannya.
Perspektif tauhid
Kursus yang dianjurkan Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) merupakan kali pertama dibuka penyertaannya kepada organisasi dan masyarakat.
Kursus yang dipimpin oleh Jaafar Muhammad selaku fasilitator itu menggunakan pendekatan latihan dan ceramah mengenai konsep ilmu menurut perspektif tauhid, mengenal Allah, manusia, alam, kehidupan, agama, kerasulan dan hari akhirat kepada peserta dalam kursus tersebut.
Menurut Jaafar, pekerjaan setiap manusia boleh dijadikan sebagai bukti yang kukuh untuk beramal kepada Allah.
“Ramai yang kurang memahami konsep pekerjaan merupakan satu ibadah dan amalan kepada Allah. Umat Islam juga perlu tahu membezakan penggunaan hati dan akal dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.
“Peserta dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari pada kursus ini dalam pekerjaan seharian mereka dengan memahami konsep ilmu,” ujarnya yang menggunakan panggilan Abu Faiz yang bermaksud Bapa Kejayaan dalam setiap sesi kursus kendaliannya.
Kursus itu juga memberi informasi mengenai tauhid dan Islam dengan beberapa contoh yang berkaitan dalam konteks masyarakat Melayu Islam di Malaysia.
Platform terbaik
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Syariah dan Pengurusan Islam Universiti Malaya, Dr. Nor ‘Azzah Kamri, 36, yang juga peserta berpendapat, kursus tersebut memberi kefahaman untuk membentuk pekerja yang berprestasi tinggi untuk sesebuah organisasi.
“Abu Faiz juga sering mengingatkan peserta bahawa setiap manusia berada dalam pelukan kasih sayang Allah. Sebagai seorang insan, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Justeru, Abu Faiz sering mengingatkan setiap peserta agar ingat matlamat asal dalam pekerjaan iaitu semuanya kerana Allah.
“Bagi saya, kursus ini merupakan platform terbaik untuk membetulkan niat setiap pekerja. Walaupun kita sibuk mencari rezeki, namun setiap rezeki itu perlu disulami dengan niat yang tulus kerana Allah,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: