|
KIRA-KIRA setahun yang lalu, Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung) melancarkan kamera digital pintar pertamanya yang menggunakan sistem operasi Android, iaitu Kamera Galaxy.
Dibangunkan berdasarkan teknologi kamera sistem kompak (CSC), ia menggabungkan ciri-ciri fotografi berprestasi tinggi dengan akses jalur lebar 3G dan WiFi.
Biarpun ia bukanlah kamera pertama yang menggunakan sistem operasi Android selepas Nikon COOLPIX S800c, namun ciri-ciri pada Kamera Galaxy menyebabkan ia mendapat sambutan hangat daripada peminat-peminat gajet dan fotografi di seluruh dunia.
Selain menyediakan aktiviti merakam imej, kamera itu juga membolehkan pengguna menyunting gambar atau video sebelum dikongsi bersama keluarga tersayang atau rakan-rakan dengan satu langkah mudah iaitu dengan satu sentuhan di skrin kamera.
Selepas setahun, Samsung sekali lagi mengungguli pasaran kamera Android melalui pengenalan model terbaharunya, Galaxy NX.
Menggabungkan evolusi Kamera Galaxy dan Samsung GalaxyS4 Zoom, Galaxy NX dilihat sebagai percubaan serius jenama itu untuk meneroka pasaran kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR).
Sempena pengenalan Galaxy NX, baru-baru ini, Samsung mengajak sekumpulan pengamal media dan penulis blog ke Pulau Pangkor, Perak selama dua hari satu malam untuk menguji gajet tersebut.
Biarpun terpaksa melalui perjalanan hampir lima jam menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Lumut, dari riak wajah masing-masing agak teruja untuk menyertainya.
Kreativiti
Lebih-lebih lagi apabila diberitahu kami merupakan antara pengguna terawal di negara ini yang berpeluang mencubanya sebelum ia dijual di pasaran bermula 30 September lalu.
Seterusnya, rombongan dibawa mendengar taklimat ringkas yang diberikan oleh Ketua Pemasaran-Pengimejan Digital Samsung, Julian Thean.
“Hari ini kita akan membawa anda semua melawat beberapa lokasi menarik di sekitar pulau peranginan ini.
“Di situ anda boleh mencuba mengambil sebanyak mana gambar mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan mod-mod rakaman yang tersedia,” jelasnya.
Sepanjang perjalanan menaiki bot dari lokasi penginapan di Pangkor Laut Resort ke Pulau Pangkor, jari-jemari penulis sempat membelek-belek kamera itu untuk melihat fungsi dan keistimewaannya dengan lebih dekat.
Tidak sukar bereksperimentasi dengan Galaxy NX, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah terbiasa menggunakan telefon pintar keluaran Samsung sebelum ini.
Hanya dengan satu sentuhan, pengguna boleh mengubah mod daripada kamera atau kepada paparan antara muka yang memaparkan aplikasi Android seperti di telefon pintar.
Destinasi pertama kami ialah di Kota Belanda dengan setiap peserta diminta mencuba mod landskap dan panorama bagi mendapatkan imej berbeza di sekitar kawasan bersejarah itu.
Seterusnya, peserta dibawa ke Pantai Teluk Nipah, Taman Fu Li Kung dan sekitar pekan Pangkor atas tujuan yang sama.
Kuasa lensa
Bercerita lanjut mengenai Galaxy NX, Julian berkata, salah satu ciri menarik pada kamera itu ialah lensa optikal berkuasa 20.3 megapiksel dengan sensor APS-CMOS yang berupaya menghasilkan imej jelas dan terperinci biarpun dalam keadaan kurang cahaya.
Katanya, enjin DRIMe IV Image Signal Processor pada kamera ini juga mampu memberi rakaman dan warna berkualiti di samping menyokong format berdefinisi tinggi (HD).
“Ia turut dikuasakan dengan cip pemprosesan 1.6Ghz, ingatan capaian rawak sehingga dua Gigabait (GB) serta bateri 4360mAh.
“Di samping itu, ia juga dilengkapi ciri Advanced Hybrid Auto Focus dengan 1/6000 kelajuan pengatup sesaat serta 8.6 bingkai per saat membolehkan ia merakam sebarang momen atau objek bergerak dengan jelas,” jelasnya.
Didatangkan dengan lensa standard 18-55 milimeter (mm) f/3.5-5.6 OIS, penulis beranggapan Galaxy NX sudah cukup bergaya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia fotografi.
Bagaimanapun, jika ia belum cukup memberi kepuasan ketika berkarya, sistem lensa kamera itu boleh ditukar dan dipadankan dengan lensa-lensa lain keluaran Samsung yang terdapat di pasaran.
Mempunyai berat kira-kira 495 gram, Galaxy NX agak ringan jika dibandingkan dengan kamera jenis DSLR yang lain. Dilengkapi skrin bersaiz 4.8 inci, ia memberi paparan jelas kepada pengguna mengikut keperluan dan tugas yang dikehendaki.
Dengan reka bentuk kasual yang ringkas dengan rona hitam eksklusif pada keseluruhan binaannya, Galaxy NX sememangnya mampu memenuhi semua cita rasa pengguna.
Tambah Julian, seperti juga telefon pintar Samsung, Galaxy NX mengguna pakai sistem operasi Android 4.2 Jelly Beam untuk meningkatkan keupayaan pengimejan di samping sambungan 3G, 4G LTE dan WiFi.
Ujarnya, pengguna boleh memuat turun ratusan aplikasi pada Android untuk diintegrasikan bersama kamera itu di samping menghasilkan imej dan video, bermain permainan video, menghantar e-mel termasuk berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga secara dalam talian.
“Dengan pertumbuhan rangkaian sosial dan kelaziman telefon pintar dan tablet hari ini, pengguna mengharapkan komunikasi yang lebih cepat dan pantas.
“Justeru, Galaxy NX dilihat sebagai peranti terbaik yang menggabungkan telefon dan kamera dalam satu gajet sekali gus memberikan keseronokan kepada pengguna,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: