WASHINGTON - Dalam tempoh satu dekad akan datang, ibu kota Jamaica, Kingston akan mencatat suhu panas melampau secara berkekalan.
Situasi serupa akan menimpa tempat-tempat lain di dunia termasuk bandar raya Singapura pada tahun 2028.
Bandar raya Mexico juga mengalami situasi yang sama pada tahun 2031 dan Kaherah pada tahun 2036.
Cuaca panas melampau itu seterusnya akan melanda dua bandar di Amerika Syarikat iaitu Phoenix di Arizona dan Honolulu di Hawaii pada tahun 2043 diikuti di seluruh dunia menjelang 2047.
Pendedahan tarikh tersebut dibuat berdasarkan satu kajian tentang pemanasan global.
Penyelidikan itu meramalkan suhu bandar raya di seluruh dunia akan meningkat seperti yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Keadaan itu dijangka menimpa bandar-bandar beriklim tropika dalam tempoh tidak sampai satu generasi.
"Kertas kajian ini adalah inovatif dan membimbangkan," kata bekas ketua Pentadbiran Oseanik dan Atmosfera Kebangsaan, Jane Lubchenco.
Kumpulan saintis berkenaan menggunakan pemerhatian cuaca, model komputer dan data lain untuk mengira tahun yang mencatat suhu panas melebihi suhu paling panas yang pernah direkodkan sejak 150 tahun dahulu.
Sebagai contoh, seluruh dunia mencatat suhu paling panas pada tahun 2005.
Namun, kajian tersebut yang disiarkan kelmarin dalam jurnal Nature menyatakan, selepas tahun 2047, bumi akan menjadi lebih panas berbanding tahun 2005.
"Kami berharap pendedahan ini akan mendorong kerajaan di dunia untuk bertindak mengurangkan pemanasan global sebelum terlambat," kata pengarang bersama kajian tersebut, Ryan Longman.
Menurutnya, jika negara-negara dunia dapat mengurangkan pencemaran karbon dioksida dan gas lain, bencana itu akan dapat dilewatkan sehingga tahun 2069.
Suhu panas amat melampau itu diramal bermula di bandar Manokwa, Indonesia pada tahun 2020 sebelum melanda Kingston di Jamaica.
Dalam tempoh dua dekad akan datang pula, sebanyak 59 bandar raya akan memperoleh cuaca baharu termasuk Singapura, Havana, Kuala Lumpur dan Bandar raya Mexico.
Menjelang tahun 2043, sebanyak 147 bandar raya diramal mengalami suhu lebih panas melebihi yang pernah dicatatkan dalam sejarah.
Beberapa bandar raya pertama di AS yang dilanda fenomena tersebut ialah Honolulu dan Phoenix diikuti oleh San Diego dan Orlando di Florida pada 2046.
Bandar raya New York dan Washington pula akan mengalami iklim baharu itu sekitar tahun 2047 manakala situasi serupa akan menimpa Los Angeles, Detroit, Houston, Chicago, Seattle, Austin serta Dallas tidak lama kemudian.
Bandar raya terakhir yang mengalami iklim panas melampau tersebut adalah Anchorage di Alaska.
Kajian tersebut melibatkan sejumlah 265 bandar raya di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: