|
MEKAH - Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh menggesa umat Islam yang pernah mengerjakan haji supaya tidak lagi melakukan ibadah tersebut, lapor Arab News semalam.
Beliau berkata demikian supaya jemaah-jemaah haji kali pertama berpeluang melakukan ibadah berkenaan dengan lebih sempurna.
Mufti berkenaan turut menasihati bakal haji tersebut supaya mendermakan wang haji mereka kepada golongan yang memerlukan.
Bercakap pada satu persidangan anjuran Kementerian Haji di kota suci ini, beliau berkata, ibadah haji wajib bagi setiap orang Islam sekali dalam hidup mereka.
"Nabi Muhammad SAW mengerjakan haji sekali seumur hidupnya," kata Sheikh Abdul Aziz.
"Umat Islam perlu mengikuti sunah baginda dengan menjadikan haji lebih mudah untuk setiap jemaah," tambahnya.
Menurutnya, adalah sudah mencukupi jika seseorang Islam itu melakukan haji sekali dalam hidup mereka.
"Mereka tidak perlu mengulanginya terutama pada tahun ini apabila sejumlah besar jemaah tiba dari serata dunia untuk mengerjakan haji," tambah mufti itu.
Sekitar dua juta umat Islam dijangka membanjiri kota suci ini untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini yang bermula pada Ahad ini.
Sementara itu, Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Haji, Kolonel Abdullah Al-Harthy berkata, tujuh orang cedera ringan akibat hujan dan angin kencang yang melanda Mina dan Padang Arafah tengah hari kelmarin.
"Tempat-tempat suci di sini mengalami hujan sederhana yang menyebabkan sejumlah khemah sementara yang dididirikan di Arafah rosak," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa memberitahu semalam bahawa dua warga Arab Saudi meninggal dunia di Riyadh selepas mereka dijangkiti virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).
Kedua-dua lelaki berkenaan yang masing-masing berusia 78 dan 55 tahun turut menghidapi penyakit kronik yang lain.
Pihak berkuasa Arab Saudi bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh kematian itu berlaku.
Pada masa yang sama, dua lagi kes MERS dicatat dengan jangkitan virus berkenaan meningkat kepada 119 orang sejak penyakit itu pertama kali muncul di Arab Saudi pada September 2012.
Virus MERS telah meragut 58 orang di seluruh dunia setakat ini dengan angka kematian terbesar iaitu 51 orang dicatat di Arab Saudi termasuk dua kematian terbaharu itu.
Media tempatan semalam memetik Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah Al-Rabia sebagai berkata, pihak berkuasa masih belum mencatatkan sebarang kes MERS dalam kalangan jemaah haji setakat ini.
Virus MERS dipercayai menjangkiti manusia daripada haiwan.
Penyakit itu mempunyai simptom menyerupai demam selesema tetapi menyebabkan kegagalan ginjal yang boleh membawa kematian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: