• Evolusi makanan berasaskan berasDr Khalid (kiri) bersama Pengurus Besar Masdar Safi Sdn Bhd, Ahmad Firdaus menunjukkan kesemua produk keluaran syarikat berkenaan.

DI zaman moden dan serba pantas ini, kesibukan kerja membuatkan masyarakat memilih sesuatu yang mudah dan cepat, termasuk bagi makanan.

Di Malaysia, nasi adalah makanan ruji pilihan utama, tetapi kekangan masa dan kepenatan selepas seharian bekerja membuatkan ramai orang memilih makanan segera yang kurang sihat.

Apatah lagi jika berada di luar negara, di mana agak sukar untuk mendapatkan makanan itu yang serupa rasanya seperti di Malaysia.

Menyedari khasiat nasi dan keperluannya dalam kehidupan seharian, Masdar Safi Sdn Bhd mengorak langkah menghasilkan produk inovatif nasi segera atau singkatannya, Nasgera yang diharap dapat memudahkan pengguna.

Istimewanya produk ini begitu mudah disediakan dengan hanya menambah air didih dan selepas lima minit, nasi itu sedia dimakan.

Nasgera lalui penyelidikan

Sejarah Nasgera bermula pada Julai 2007, ketika salah seorang pengasasnya yang kini bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Masdar Safi, Dr Khalid Mohd Salim, berada di Eropah.

Ketika itu, beliau mencuba beberapa  produk yang dilabel sebagai nasi segera, namun kecewa kerana makanan itu tidak menepati ciri-ciri dan rasa sebenar nasi.

“Di situ tercetusnya idea untuk menghasilkan produk berasaskan nasi tanpa menghilangkan rasa serta tekstur sebenar makanan itu sendiri. Ia perlu mudah disediakan seperti konsep mi segera.

“Saya mula melakukan kajian termasuk mendapatkan maklumat bagi pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Menariknya, kesungguhan Dr Khalid untuk menghasilkan nasi segera yang berkualiti menyebabkan beliau mencipta sendiri mesin khas untuk menghasilkan produk itu yang dilakukan sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

Kegagalan bawa kejayaan

Seperti usahawan lain, Dr Khalid juga tidak terlepas daripada kegagalan demi kegagalan semasa proses pembuatan nasi itu, namun beliau meneruskan usahanya dan membelanjakan hampir setengah juta ringgit untuk mendapatkan hasil paling optimum.

Menurutnya, kerja keras selama empat tahun akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mencipta produk beras segera yang benar-benar menepati ciri nasi.

Lebih membanggakan, Nasgera adalah produk beras segera halal pertama di dunia.

“Sebagai permulaan, Nasgera menghasilkan tiga kategori produk, iaitu Bubur Opah yang didatangkan dengan tiga pilihan perisa, ikan bilis, ayam dan sayuran. Ia juga merupakan produk terlaris syarikat kami.

“Selain itu, Nasgera juga memperkenalkan Nasgera Nasi Lemak, Nasi Goreng dan Nasi Asam Pedas. Ini didatangkan dalam dua bungkusan iaitu dalam mangkuk dan juga dalam bentuk kotak. Kami juga dalam proses mengeluarkan produk sama dalam bentuk isian semula,” katanya.

Terokai pasaran Eropah

Menurut Khalid, beliau yakin keupayaan produk itu mendapat tempat sama ada di pasaran global atau tempatan amat cerah.

Nasgera telah berada di pasaran sejak 2011 di lebih 600 outlet di seluruh negara dan di pasar raya besar seperti Tesco dan Mydin.

“Malah Nasgera sudah menembusi pasaran antarabangsa dan Singapura adalah pasaran luar pertama sejak 2012.

“Kini, kami cuba menembusi pasaran Eropah dan penyertaan dalam Program Food & Sampling yang akan berlangsung di London pada bulan ini adalah landasan terbaik untuk kami menerokai pasaran di sana.

“Sehingga kini kami berjaya mencatat jualan melebihi RM160,000 setahun dan dijangka angka ini akan terus meningkat sehingga RM300,000 tahun depan dengan kapasiti pengeluaran produk melebihi sembilan tan sebulan,” katanya.

Bagi menambah kapasiti pengeluaran produk, Dr Khalid berkata, syarikat itu kini dalam perancangan membesarkan kilang dan menambah mesin baru.

“Dengan perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan ini, kami jangka mampu menghasilkan setengah tan produk sehari,” katanya.

Menurutnya, matlamat utama syarikat itu kini adalah mempelbagai jenis produk dalam tempoh lima tahun serta mengangkat Malaysia sebagai pengeluar nasi segera bermutu dalam jangka masa panjang.