• Gofocus sasar produk ke Timur TengahRumawi (tengah) bersama rakan pengedar menunjukkan produk terbaru Gofocus.

GOFOCUS International Sdn Bhd (Gofocus), syarikat pengeluar minuman kesihatan BioDelima menyasarkan untuk menembusi pasaran Timur Tengah menjelang suku pertama tahun depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Gofocus, Rumawi Kasolan berkata, komitmen itu didorong permintaan dari beberapa negara di rantau itu yang amat berminat dengan produk keluaran syarikat tersebut.

"Kami yakin untuk memasarkan BioDelima bermula di Qatar kerana kami telah mula dapat permintaan daripada rakan-rakan di sana.

"Mungkin pada Mac depan kami akan buat pelancaran besar-besaran di Qatar," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran dua produk terbaru Gofocus iaitu BioDelima Stem Cell serta BioDelima Gold di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut Rumawi, syarikat itu menyasarkan jualan 30,000 botol atau RM6 juta bagi dua produk tersebut dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.

Katanya, syarikat itu kini mempunyai 500 pengedar di seluruh negara dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 1,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Menurut Rumawi, produk syarikat itu juga disahkan melalui proses amalan pengilangan Islam bersandarkan keperluan umat Islam terhadap pemakanan yang suci dan halal dari aspek rohani dan jasmani.