Thursday, October 10, 2013

Antara karier dan kisah peribadi

AYU DAMIT kini bahagia bersama dua anaknya, Syed Nasrul Haikal dan Sharifah Alya Adriana hasil perkongsian hidup dengan Syed Fauzi.


BERITA artis sorok pernikahan bukan sesuatu yang baharu dalam industri seni tempatan. Bukan satu dua artis yang cuba menyembunyikan perkahwinan mereka, tetapi cukup ramai. Masing-masing mempunyai alasan yang tersendiri.
Acap kali perkahwinan yang cuba disembunyikan itu akhirnya akan terbongkar jua. Terbaharu, peminat dikejutkan dengan berita kononnya pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal sah bernikah pada 4 Februari lalu kini.
Baik Aeril, mahupun Wawa masing-masing mengunci mulut.
Bahkan Aeril menerusi pengurusnya memberitahu dia akan menjawab segala teka-teki itu dalam satu sidang akhbar yang diadakan esok.
Sebelum ini aktor Bront Palarae juga menafikan berita pernikahannya pada 31 Ogos lalu walaupun majlis itu turut dihadiri pihak media.
Hanya kerana tiada bukti bergambar, Bront dengan cukup lantang menempelak pihak media yang melaporkan hari bahagianya itu.
Namun, akhirnya Bront mengaku juga telah bernikah. Alasannya merahsiakan pernikahannya itu kerana privasi dan pernikahan bersifat peribadi. Bront yang masih merahsiakan identiti isterinya itu akan mengadakan majlis resepsi di kampung halamannya di Hatyai, Thailand pada hujung tahun ini.
Terdahulu, sejarah industri hiburan sebelum ini menyaksikan pelakon Abby Abadi dan bekas suaminya, Norman Hakim, Rita Rudaini, Siti Shahrizah Saifuddin (Eja) dan penyanyi Ayu Damit turut menyembunyikan pernikahan, tetapi akhirnya terbongkar dan mengaku dengan sendirinya selepas bukti terpampang di depan mata.
Biarpun beribu alasan diberikan, tetapi pernikahan wajar dihebahkan untuk mengelak fitnah, bahkan dalam Islam, sunat untuk pasangan pengantin membuat kenduri mengikut kemampuan masing-masing.
Rasa bersalah - Rita Rudaini
Pelakon jelita, Rita Rudaini yang telah bercerai dengan suaminya, pemain bola sepak Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak pada 5 September lalu pernah menggemparkan industri hiburan apabila mereka bernikah secara sembunyi di Songkla, Thailand pada Februari 2008.
Berita pernikahan itu hanya dihebahkan kepada media apabila Rita disahkan hamil dua bulan. Walaupun sudah sah bercerai dengan suaminya, Rita tidak kisah berkongsi pengalaman yang dilaluinya ketika status pernikahan itu masih lagi rahsia.
Menurutnya, dia dan bekas suaminya mengambil keputusan untuk merahsiakan pernikahan itu kerana keluarga suaminya tidak merestui hubungan mereka. Ketika itu, Rita berusia 32 tahun, manakala Aidil berusia 21 tahun.

WAWA ZAINAL dan Aeril Zafrel kini masih berteka-teki tentang hubungan mereka.


"Ketika itu saya bukan sengaja sorok pernikahan, tetapi untuk menjaga hati banyak pihak dan atas permintaan bekas suami, itulah keputusan yang terpaksa saya lakukan.
"Kalau ikutkan tiada sebab dan tidak patut untuk saya sorok berita pernikahan itu kerana kami bernikah secara sah dan halal bukannya bersekedudukan," ujarnya.
Luahnya, ketika itu memang sukar dan wujud rasa bersalah bersarang di hatinya apabila terpaksa berbohong dengan orang sekeliling termasuk pihak media tentang status hubungan mereka.
"Saya rasa bersalah sangat sebab saya bukannya orang biasa, semua orang kenal saya. Jadi, sayalah orang yang dihentam kiri dan kanan apabila pernikahan ini akhirnya terbongkar," jelasnya.
Sambung Rita, pada mulanya, dia sememangnya ingin menghebahkan berita pernikahan itu, tetapi selepas banyak kali menafikan hubungan mereka kepada pihak media dan orang sekeliling, pengakuan yang ingin dilakukan itu menjadi terlalu sukar.
"Rasa berat dan susah sangat, tetapi dalam hati memang saya tidak mahu sorok kerana boleh mengundang fitnah. Akhirnya tidak tahu macam mana, ketika semakin dekat tarikh untuk saya beritahu hal sebenar, orang ramai sudah dapat tahu terlebih dahulu," katanya.
Waktu itu, dia dan bekas suami masih belum bersedia untuk memberitahu kisah yang sebenar dan terpaksalah mereka berbohong.
"Selepas berdolak-dalih dan menafikan, apabila tiba waktu sidang akhbar untuk memberitahu hal yang sebenar, saya rasa sangat malu," katanya.
Andai pada masa depan dia bertemu jodoh semula, pengalaman lepas mengajarnya untuk tidak menyembunyikan perkara yang sepatutnya dikongsi dengan semua orang.
"Jika ada jodoh selepas ini, saya tidak mahu sorok kerana perkara yang gembira apabila orang dapat tahu, mereka turut mendoakan kebahagiaan kita. Cukuplah sekali, saya tidak mahu ulang perkara yang sama dan mengundang fitnah," kata Rita.
Fokus kerjaya bukan kisah peribadi - Eja
ABBY ABADI dan suaminya, Noor Farhan bernikah secara rahsia di Thailand pada 9 Julai lalu.


Seorang lagi pelakon cantik, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja hanya mendedahkan statusnya sebagai isteri kepada seorang ahli korporat, Mohd. Silahuddin Jamaluddin selepas 10 tahun berkahwin.
Berita itu diumumkan pada Julai 2009, ketika Eja sedang hamil anak sulung dan usia kandungan telah mencecah tujuh bulan.
Eja yang kini berusia 41 tahun, pernah berkata dalam satu temu bual, sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan dia tidak pernah menyorokkan statusnya, bahkan banyak pihak telah tahu status sebenarnya.
"Sebelum ini, saya tidak pernah mengiyakan atau menidakkan apabila ada yang bertanya tentang status saya. Ramai yang sudah tahu, cuma malas bertanya perkara itu kepada saya.
"Saya menghargai privasi yang diberikan kerana ketika itu fokus saya hanyalah kerjaya sahaja," katanya yang kini sudah mengenakan hijab.
Jelasnya, dia juga mengambil keputusan untuk mendedahkan statusnya yang sebenar dan berkongsi wajah suami serta anaknya, Nur Eishal yang kini berusia empat tahun demi masa depan anaknya itu.
"Saya juga tidak mahu menyorok lagi kerana semuanya adalah demi masa depan Nur Eishal dan apa yang saya lakukan selama ini pun, itu adalah pendirian saya.
"Memang dari dulu lagi sudah saya tegaskan bahawa saya mahu kisah kerjaya saya ditonjolkan berbanding dengan kehidupan peribadi," jawabnya.
Elak fitnah, harus dihebahkan - Ustazah Norhafizah Musa
Isu tentang sorok pernikahan ini turut diajukan kepada pendakwah Ustazah Norhafizah Musa yang juga pensyarah di Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Ujarnya, pernikahan merupakan sesuatu yang baik dan apabila ia dirahsiakan secara tidak langsung memberi implikasi negatif terhadap keharmonian rumah tangga yang dibina.
"Pernikahan itu harus dihebahkan, jika dalam Islam hukumnya sunat untuk mengadakan majlis kenduri bagi mengeratkan silaturahim dan memberitahu orang sekeliling yang mereka sudah berkahwin bagi mengelak fitnah pada kemudian hari.
"Biasanya pernikahan yang disorokkan pasti ada sesuatu yang tidak kena dan penghujungnya tidak akan harmoni.
"Harus diingat apabila bernikah, kehidupan bukan sekadar berdua tetapi turut melibatkan masyarakat, perkara yang mudah akan menjadi sukar apabila pernikahan itu disorokkan," katanya.
Disoal tentang pasangan artis yang menafikan pernikahan, katanya, itu hak peribadi, bagaimanapun perkara itu tidak sepatutnya berlaku andai pernikahan itu dijalankan berdasarkan syarak yang betul.
"Penafian itu bersifat peribadi, tetapi bagi saya mereka yang menafikan tidak memikul tanggungjawab dalam rumah tangga.
"Mungkin mereka ada sebab tersendiri seperti menjadi isteri kedua, perkahwinan tidak direstui tetapi sampai bila harus begitu. Pernikahan adalah untuk seumur hidup bukannya untuk tempoh yang singkat," jelasnya.
Tambahnya, status sebagai artis menarik banyak pihak untuk mengetahui kisah yang sebenar tetapi masyarakat bukanlah ingin mencampuri urusan rumah tangga mereka.
"Bagi saya masyarakat sekadar ingin tahu, benarkah mereka telah berkahwin, itu sahaja. Masyarakat kita tidaklah sampai ingin masuk campur dalam rumah tangga mereka.
"Lebih baik berterus-terang kerana pernikahan yang disorok mempunyai banyak implikasi negatif. Lebih tenang dan mudah jika perkara yang baik dihebahkan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: