Saturday, October 19, 2013

Anak orang ternama kekasih Nubhan

NUBHAN turut menjawab isu dia 'mengamuk' dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi baru-baru ini.


NAMA penyanyi Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan tiba-tiba memasuki carta panas hiburan. Semuanya berikutan gosip dirinya yang dikatakan bercinta dengan penyanyi Siti Nordiana atau Nana selepas mereka dan beberapa teman dilihat bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu.
Biarpun masing-masing sudah menafikan gosip tersebut namun masih ramai yang tidak berpuas hati mengatakan, penyanyi yang popular menerusi lagu Ada Untukmu itu sedang menyulam cinta bersama Nana.
Bagaimanapun, terkini Nubhan didakwa pula sudah mempunyai seorang kekasih. Bukan dalam kalangan selebriti, tetapi dedah Nubhan buat pertama kalinya kepada media, gadis tersebut merupakan anak kepada seorang yang berpengaruh.
Nubhan bercerita lebih lanjut mengenai gadis tersebut kepada Kosmo! ketika ditemui pada sesi fotografi drama bersiri Aku siaran TV3 di studio Utusan, Kuala Lumpur.
Selain itu, Nubhan turut mengulas mengenai isu dia mengamuk dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi.
Kosmo!: Bolehkah kongsi lebih lanjut mengenai gerangan kekasih hati Nubhan?
NUBHAN: Sebenarnya, saya tidak mahu percintaan saya ini diketahui orang. Pada dasarnya, pada pihak saya, saya tiada masalah. Saya boleh mengaku sudah ada kekasih, tetapi, saya kena hormat keluarga dia. Tidak semua orang boleh terima bila nama mereka keluar di laman sosial atau di dada-dada akhbar. Tambahan pula, keluarganya seorang yang berpengaruh. Jadi, saya minta maaf tidak dapat menyebut namanya.
Sudah berapa lama kalian bercinta?
Kami berkawan lima tahun lalu dan bercinta sejak setahun lalu. Dia seorang pelajar bidang perubatan pergigian di sebuah universiti di Mesir.
Bagaimanakah perasaan bercinta jarak jauh?
Bercinta jarak jauh memang mencabar. Sudah lima tahun kami berkeadaan begini (berjauhan), tetapi kami masing-masing faham dan setia antara satu sama lain.
Sebelum ini anda digosipkan dengan Nana dan ternyata sebenarnya anda bercinta dengan bakal doktor gigi. Adakah hubungan anda kali ini serius?
Saya dan Nana hanya kawan sebab kami serasi. Saya memang serius dengan kekasih saya itu. Bila saya bercinta, saya tidak main-main. Saya sudah fikir mengenai masa depan bersamanya.
Bilakah kalian merancang untuk berkahwin?
Buat masa ini belum ada. Tunggu dia habis belajar lagi setahun, dua ini, kemudian baru merancang ke arah itu (perkahwinan).
MENGAKU kekasihnya seorang bakal doktor gigi yang menuntut di Mesir, kata Nubhan dia tidak main-main dengan percintaan tersebut. Jika panjang jodoh mereka, Nubhan mahu menikahi gadis yang merupakan anak seorang kenamaan tersebut.


Beralih pada soalan lain, baru-baru ini juga anda didakwa bergaduh dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi. Ketika itu anda bersama seorang wanita. Boleh jelaskan?
Wanita itu kawan saya. Dia temankan saya untuk mengesan nombor yang tertera di telefon saya. Ketika bertanya kepada petugas tersebut (seorang wanita) dia menunjukkan reaksi sombong dan melayan kami dengan tidak mesra. Lalu, saya menegurnya dan di situ berlaku sedikit kekecohan.
Apakah perasaan anda bila berlaku insiden seperti itu?
Selama ini saya tidak pernah marah orang atau buat hal dengan orang. Tetapi, saya juga ada hadnya bila dia bersikap kurang ajar. Kalau ikutkan hati saya hendak buat laporan mengenai sikapnya kepada orang atasan syarikat telekomunikasi tersebut, tetapi, saya fikir akan masa depannya dalam kerjayanya.
Boleh ceritakan mengenai drama terbaharu anda iaitu Aku?
Dalam drama tersebut saya bawa watak Acid yang bercinta dengan Nini (lakonan Reen Rahim) seorang gadis pujaan di kampung mereka. Hubungannya dengan Nini dibenci oleh Adam Shah sehingga mengheret mereka ke kancah pergaduhan. Selepas itu, Acid membawa diri ke Kuala Lumpur. Bercerita tentang cabaran memikul watak Acid, drama ini merupakan drama siri pertama saya. Sebelum ini saya hanya berlakon dalam telefilem.
Kenapa kali ini anda menerima tawaran untuk berlakon dalam drama siri yang melibatkan penggambaran yang memakan masa yang lama. Adakah disebabkan anda kini tidak lagi aktif menyanyi?
Saya masih menyanyi malah, sedang dalam proses menyiapkan album kedua. Saya terima berlakon drama ini kerana mahu cabar diri berlakon drama aksi. Tetapi bidang nyanyian masih menjadi keutamaan saya.
Bagaimana pula dengan album kedua anda?
Album kedua saya akan memuatkan lima buah lagu. Masih ada dua lagi lagu yang belum direkodkan. Kemungkinan album ini siap awal tahun depan manakala single pertamanya pula akan keluar pada hujung tahun ini. Dalam album ini juga turut memuatkan lagu duet kedua saya bersama penyanyi Mila selepas lagu popular kami sebelum ini iaitu Cinta Kasih.
Khabarnya, anda juga kini merupakan usahawan kosmetik. Benarkah?
Ya. Pertengahan tahun 2013 saya mula mengeluarkan produk penjagaan kulit yang diberi nama Sole. Pada masa akan datang saya juga akan mengeluarkan produk langsing badan iaitu Aisy Secrets. Kedua-dua produk ini merupakan produk keluaran negara Switzerland.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: