![]() |
GINCU merah menyala dan sepasang subang merah berbentuk hati serta sepatu tajam berwarna 'emas' yang dipakai wanita dengan nama pentas Melly Goeslaw menyambut kedatangan saya pada petang itu.
Sambil tangan lincah membalas kiriman WhatsApp di telefon pintarnya, beberapa kali dia dengan sopan meminta saya menunggu sebentar untuk ditemu bual. Sebaik selesai, dia membetulkan posisi duduk, tegak mengadap saya dan bicara kami bermula.
Melly Goeslaw, bagi pengikut setianya akan taksub benar dengan karya wanita ini. Magis idea Melly bagai tidak pernah berhenti dan bersifat malar segar.
Siapa yang tidak pernah kemaruk dengan lagu seperti Ada Apa Dengan Cinta, Cinta, Jika, Tentang Dia atau Menghitung Hari. Itu, hanya beberapa karya hebat miliknya, daripada ribuan karya yang telah dicipta sejak lebih 10 tahun lalu.
Saat diajak berkongsi tentang bakat luar biasanya itu, Melly memberitahu, sejak zaman sekolah, dia telah mula menulis puisi dan kemudian berjinak-jinak dengan penulisan lagu.
Mengaku pada awal kariernya tidak segah sekarang, beberapa lagu demo miliknya kerap ditolak banyak syarikat rakaman pada tahun 1995, sebelum karyanya bersama grup Potret diterima mudah beberapa tahun selepas itu.
"Saya selalu percaya bahawa seseorang mempunyai waktu yang tepat untuk berlaku sesuatu, seperti yang terjadi kepada saya.
"Perkenalan saya dengan Anto Hoed yang kemudian menjadi suami dan bersama membangunkan Potret telah mempertemukan saya dengan waktu yang tepat di dalam bidang ini," ujarnya.
Bersama suaminya, Melly kemudian sukses dengan banyak siri album runut bunyi yang telah meledakkan namanya sebagai pencipta lagu terhebat Indonesia. Menyambung kehebatan, untaian ciptaan lagu solo buat beberapa penyanyi, termasuk nyanyian dirinya sendiri menjadi siulan tak berpenghujung.
Ditanya bagaimana dia selalu mendapat momen yang tepat dalam melahirkan karya magis, Melly memberitahu, sesebuah karya yang dibikin harus bersifat jujur dari hati.
"Lagu yang bagus ialah lagu yang berkata-kata. Kadang-kadang ada lagu yang dibikin terlalu drama, pada saya itu tidak perlu. Ini kerana saya berpendapat, lagu yang mengalir dari hati, akan jatuh ke tulisan dengan jujur dan ia menjadi lebih enak," ulasnya.
![]()
MELLY GOESLAW tidak pernah meletakkan dirinya sebagai seorang selebriti. Dia gemar meladeni kehidupannya sebagai orang biasa yang antaranya, masih menaiki teksi sebagai pengangkutan awam.
|
Mutiara yang tertimbun
Di luar lingkup karier sebagai seorang penulis lirik dan komposer yang tegar, Melly hadir ke Malaysia dengan satu tugasan besar. Dia terbabit dengan program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) sebagai salah seorang Inspirer bersama Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza.
Ditanya mengapa dia menerima tawaran tersebut dan sanggup meninggalkan suaminya serta dua anak mereka, Anakku Lelaki dan Lelaki Bernama Hoed selama tiga minggu sepanjang terbabit dengan program tersebut, Melly memberitahu, dia mahu menyelidik adakah benar bakat seni hiburan Malaysia sudah tandus.
"Saya melibatkan diri dengan AF 2013 selain kerana ia adalah pengalaman pertama sebagai Inspirer, sebenarnya juga, saya mahu melihat adakah benar industri hiburan Malaysia seperti sudah pupus bakat baharu yang bagus.
"Dahulu, Malaysia punya banyak penyanyi hebat seperti Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Amy Search, Nora atau Iklim misalnya, adakah sekarang sudah tiada?
"Justeru, saya di sini selain berkongsi ilmu tentang pengalaman saya sebagai anak seni, saya percaya dan yakin bahawa ada bakat baharu yang bagus, cuma bintangnya tidak digilap," ujar Melly panjang lebar sambil mengaku tempoh tiga minggu menjadi Inspirer tidak cukup buatnya membimbing peserta AF 2013.
Jelasnya lagi, apa yang diperhatikan, bakat baharu Malaysia bukan tiada potensi, tetapi mereka selalu tersekat dengan lenggok nyanyian penyanyi sedia ada. Justeru, katanya lagi, perkara tersebut perlu diperbetulkan terlebih dahulu untuk terus maju.
Memberitahu dia sudah nampak seorang peserta wanita dalam AF 2013 yang berpotensi sebagai bintang baharu, ujar Melly, peserta tersebut bagaimanapun memerlukan bantuan pakar di belakangnya.
"Saya lihat peserta ini memerlukan kelahiran semula dengan pakej yang bersesuaian dengan pasaran industri sekarang. Ia perlu kerana jika tidak, dia hanya akan menjadi mutiara yang tertimbun begitu sahaja.

MENURUT Melly, karakter 'bintang' terbahagi kepada dua. Pertama, ada individu yang punya potensi tetapi tiada sinar bintang, manakala ada yang dilahirkan cukup pakej sebagai bintang.
Eksentrik
Menyentuh tentang penampilannya, Melly tersenyum lebar. Dia tahu soalan yang mahu dipertanyakan buatnya.
Terkenal sebagai seorang penghibur yang cukup eksentrik di atas pentas dengan busana sarat dan solekan pancawarna, Melly punya sebab berbuat demikian.
Mengaku ia sebagai satu hipnosis khalayak kerana dirinya seorang pemalu, selebihnya dia seorang yang gemar bermain dengan eksperimen.
"Saya seorang yang cepat bosan dan selalu berfikir mengapa perempuan selalu melakar warna hitam atau coklat sahaja pada alis mereka, walhal kita ada pilihan untuk memakai warna kuning, hijau atau merah misalnya.
"Dan saya memilih untuk berbuat demikian kerana mahu kelihatan berani dan unik. Malah, saya kira semua orang boleh menjadi berani dan unik," ujarnya yang mempunyai pereka busana sendiri untuk membantu merealisasikan keinginannya dengan gaya eksentrik.
Bagaimanapun, ujar Melly, saat meninggalkan sorotan glamor, dia lebih gemar menjadi dirinya sendiri yang jarang berdandan dan tidak ambil peduli tentang penampilan fizikalnya.
Ujarnya: "Menurut saya, kita juga perlu menjadi diri sendiri. Tiba masanya, kita semua akan tua, jadi mengapa perlu terlalu berusaha untuk menidakkan fakta itu.
"Saya seorang yang realistik. Saya akan pakai apa sahaja dengan fizikal saya yang gemuk dan tidak mahu keluar di hadapan khalayak dengan penampilan, bukan seperti Barbie."
Biarpun begitu, akui Melly, pada satu ketika usai melahirkan anak keduanya beberapa tahun lalu, berat badannya naik mendadak mencecah 90 kilogram.
Gagal menurunkan berat badan selepas mengamalkan diet dan bersenam, dia akhirnya mencuba jalan pintas untuk kurus dengan melakukan kaedah sedut lemak.
Ia dilakukan bukan kerana bimbang tentang penampilannya yang jelik, sebaliknya kata Melly kerana dia mula mengalami kesukaran mencari baju dan sesak nafas ketika membuat persembahan.
Sambil ketawa, Melly bercerita: "Saya melakukan kaedah tersebut secara percuma selepas ditawarkan oleh seorang doktor dari Brazil.
"Ya, selepas melakukan kaedah itu, berat badan saya tidak turun malah, mendadak naik semula. Ya, sudah. Saya tidak mahu melakukan kaedah tersebut lagi kerana ia menyakitkan.
"Oh, mungkin kalau dibayar tidak sakit ya, kerana sewaktu saya buat dahulu, percuma, jadi sakitnya sangat terasa."


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: