• 1,000 waris Tok Nerus berkumpulSebahagian waris Tok Nerus yang menghadiri majlis silaturahim berkenaan

KUALA TERENGGANU – Usaha lebih empat bulan lalu untuk mencari waris keluarga Tok Nerus berjaya membuahkan hasil apabila berjaya mengesan serta mengumpulkan kira-kira 1, 000 ahli keluarga daripada keturunan Sapiah Daud yang kini telah memasuki generasi ketujuh.

Dalam Majlis Silaturahim Keluarga Tok Nerus yang julung kali diadakan di Kampung Gelung Gajah, di sini sempena Hari Raya Aidiladha, turut menyaksikan pelbagai acara diadakan termasuk seekor lembu dikorbankan untuk acara jamuan, di samping tazkirah.

Menurut penganjur yang juga pengerusi bagi sambutan majlis itu, Mohd Sidek Abdullah, tujuan utama aktiviti itu diadakan adalah untuk mengumpulkan seramai mungkin waris keluarga bagi memastikan hubungan yang terjalin itu terus berkembang.

“Kita mula menjejak ahli keluarga daripada moyang iaitu Sapiah bermula tahun lepas dan sehingga kini, kita telah berjaya mengumpulkan kira-kira 1,000 ahli keluarga, namun dijangkakan ada lebih 3,000 ahli keluarga daripada keturunan ini dan kita akan usahakan untuk
mengumpulkan semua mereka.

“Ini kerana kita ingin memastikan semua ahli daripada keturunan ini kenal sesama ahli keluarga, di samping mengikut Sunnah Nabi Muhammad SAW agar mendekati dan jaga waris kita, dengan saya yang kini memegang generasi keempat daripada keluarga ini,” katanya.

Menurutnya, majlis yang julung kali diadakan ini akan dijadikan aktiviti tahunan bagi memastikan lebih ramai ahli keluarga dapat turut serta pada masa akan datang, sekali gus mencari seramai mungkin keturunan Sapiah yang dikatakan salah seorang penduduk terawal yang
tinggal di Kuala Nerus.

“Selain itu, saya juga melihat dengan adanya aktiviti sebegini ia merupakan cara terbaik untuk mengeratkan hubungan bersama ahli keluarga, di mana saya sendiri telah bekerja sebumbung dengan salah seorang waris sejak bertahun lamanya, tanpa menyedari dia adalah
salah seorang ahli keluarga.

“Justeru, saya melihat usaha sebegini bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli keluarga yang sedia ada, sebaliknya mencari seramai mungkin keturunan kami dan dapat menganjurkan program berkumpul secara besar-besaran sebegini,” katanya.