Wednesday, October 16, 2013

Album Doa UNIC

SEBAGAI seorang guru al-Quran, Fakhrul turut menyuntik kemahiran dirinya untuk UNIC.


SEJAK tahun 2009, kumpulan nasyid popular UNIC telah bergerak dengan tiga orang ahli. Mohd. Fakhrul Radhi Khamarudin, 27, Bazli Hazwan Che Osman, 29, dan Ahmad Fazli Abd Aziz, 29, menerusi legasi UNIC setelah beberapa kali berlaku pertukaran ahli.
Sungguhpun tidak lagi bersama anggota asal kecuali Bazli, namun pengaruh dan populariti kumpulan itu tidak pernah pudar.
Buktinya, sejak penubuhan UNIC pada tahun 2002, mereka telah melahirkan sebanyak lapan buah album.
Terbaharu, UNIC muncul dengan album Doa yang mengandungi 20 buah doa terpilih. Menariknya, doa yang dimuatkan dalam album ini disertakan dengan melodi serta makna supaya pendengar lebih mudah menghafal dan memahami maksud doa tersebut.
“Kami selalu mengadakan majlis motivasi dan ramai ibu bapa serta peserta sendiri menghadapi kesukaran untuk menghafal doa serta memahami maksud sesuatu doa itu.
“Atas permintaan ramai dan selepas mengkaji beberapa doa, akhirnya kami muncul dengan 20 buah doa. Apabila doa itu disertakan dengan melodi, pelajar terutamanya lebih mudah menghafal,” kata Fazli.
Kata Fakhrul, walaupun album doa seperti ini pernah dikeluarkan oleh Hafiz Hamidun, mereka merasakan album doa mempunyai permintaan yang tinggi.
“Memang ada penyanyi lain yang buat album yang lebih kurang sama, tetapi isi kandungannya berbeza. Selepas membuat kajian selama lima bulan dan merujuk kepada beberapa orang ustaz, inilah hasilnya.
“Kami tidak pilih sebarangan doa tetapi sebaliknya selaras dengan apa yang diminta oleh peminat serta pendapat ustaz. Antara doa yang popular termasuklah Doa Dhuha dan Ya Hanana,” jelas Fakhrul.
Menurut Fazli, album Doa yang turut menampilkan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre itu telah berada di pasaran dan dijual pada harga RM19.90.
Selain dijual di kedai, album Doa yang diterbitkan oleh UNIC Records boleh didapati secara talian di i-Tunes dan sehingga kini, album itu telah terjual sebanyak 15,000 unit.
Tidak hanya menyanyi, UNIC turut aktif dalam bidang perniagaan menerusi syarikat UNIC Nasyeed and Training Consultant.
Bermula awal tahun 2010, mereka telah mula berjinak-jinak dalam program motivasi pelajar sekolah dan pelajar pusat pengajian tinggi.
“Seperti Fazli, dia merupakan kaunselor berdaftar, Fakhrul pula guru mengaji al-Quran dan saya sendiri jurutera bunyi.
“Kami menggunakan kemahiran yang ada pada diri masing-masing untuk kembangkan syarikat kami. Setakat ini, kami cukup aktif dengan program-program motivasi dan sekarang kami dalam perancangan untuk menerbitkan program televisyen sendiri,” kata Bazli.
Jelas Bazli, program terbitan mereka kelak lebih terarah kepada hiburan yang berunsur pendidikan.
“Tagline program-program kami, hiburan berilmu, rohani terpelihara. Setakat ini kami masih dalam proses pembelajaran hasil daripada pengalaman kami sebagai pengacara di beberapa buah program di televisyen.
“Jika tidak ada aral melintang dan ada rezeki, program kami akan bersiaran di televisyen. Cabarannya cukup besar tetapi untuk berjaya bukan mudah.
“Alhamdulillah, kami cukup serasi bertiga sama ada di pentas nyanyian dan juga menguruskan syarikat bersama,” ujar Bazli yang berharap UNIC akan kekal selama yang mungkin.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: