Wednesday, October 16, 2013

Bisnes restoran Khadijah sukses

KHADIJAH IBRAHIM hanya mengambil masa selama lima bulan dalam membuat perancangan membuka cawangan kedua Khadijah's Kitchen yang bertempat di PV 128, Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur ini.


PEMBABITAN penyanyi terbilang negara, Datuk Khadijah Ibrahim dalam bisnes sudah diketahui umum sejak dia menampilkan cawangan pertama restorannya, Khadijah's Kitchen yang beroperasi di Jalan Bukit, Petaling Jaya, Selangor sejak tahun 2008.
Membuktikan bahawa bisnes restoran yang menawarkan pelbagai menu makanan masakan kampung yang diusahakannya itu meraih sukses, Khadijah kini membuka cawangan kedua Khadijah's Kitchen di di PV 128, Jalan Genting Klang, Setapak baru-baru ini.
Menurut figura yang sudah berkecimpung dalam bidang seni selama 30 tahun itu, perancangan untuk membuka Khadijah's Kitchen cawangan Setapak itu hanya mengambil masa lima bulan.
"Tempat yang strategik, ruangan kedai yang besar serta tempat yang boleh mengadakan majlis seperti resepsi, majlis ulang tahun, marhaban membuatkan saya berminat untuk membuka Khadijah's Kitchen di Setapak.
"Malah, dahulu saya sering berulang-alik di jalan (Genting Klang) ini dan tidak menyangka tempat yang dulunya dipenuhi dengan pokok-pokok getah kini menjadi satu tempat yang komersial dan maju," katanya yang ditemui pada majlis pembukaan Khadijah's Kitchen cawangan Setapak itu baru-baru ini.
Tegasnya, antara sebab beliau membuka Khadijah's Kitchen di Setapak adalah kerana ingin memberikan sumbangan kepada artis-artis veteran. Beliau ternyata sedih apabila melihat sesetengah pihak yang tidak mempedulikan artis-artis veteran yang cukup berbakat.
"Khadijah's Kitchen di Setapak akan menjadi platform kepada artis veteran dan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan. Malah, Khadijah's Kitchen akan mengadakan malam acara khusus bersama penyanyi tersohor suatu ketika dahulu, Zaiton Sameon.

BUKAN sekadar menyajikan pelbagai juadah yang lazat, Khadijah's Kitchen cawangan Setapak, Kuala Lumpur ini turut menyediakan platform persembahan artis lama dan baharu.


"Konsep yang terbuka dan pentas yang disediakan membolehkan mereka membuat persembahan.
"Malah, sumbangan yang kecil ini memberi kesempatan kepada saya untuk membantu golongan ini dalam menyediakan klip video yang terbaik untuk tujuan promosi kepada syarikat rakaman," katanya.
Ralat
Ditanya mengenai Konsert 3 Diva yang sebelum ini ditunda, Khadijah ternyata lega apabila konsert yang bakal menggandingkan dirinya dengan Datuk Sharifah Aini dan Uji Rashid akhirnya bakal berlangsung pada 26 November ini di Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC), Selangor.
"Saya berasa lega apabila mengetahui konsert amal ini dijadualkan berlangsung pada 26 November ini SACC, Shah Alam yang sebenarnya merupakan lokasi asal konsert.
"Saya berasa ralat apabila konsert ini ditunda kerana niat saya tidak kesampaian untuk membantu ibu tunggal dan saya prihatin dengan pihak pengurusan yang menguruskan konsert ini kerana mereka melaburkan wang yang sangat banyak," luahnya.
Tambah Khadijah: "Ini merupakan kali pertama persembahan saya bersama Sharifah Aini dan Uji Rashid.
"Mereka merupakan sahabat baik saya. Malah, saya tidak sabar untuk membuat persembahan bersama mereka.
"Apa yang penting, niat yang murni saya ini untuk membantu golongan ibu-ibu tunggal menerusi konsert itu harus dilakukan dan disegerakan."


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: