Monday, August 6, 2012

Tumbang kerana pujukan lelaki

RAUT wajahnya yang lembut dan sopan ketika diwawancara menimbulkan pertanyaan apakah penyebab Atiqah (bukan nama sebenar), 17, sarat mengandung anak luar nikah.

Namun, apa yang terkeluar dari mulutnya ternyata kuasa pujukan dan rayuan lelaki bisa menumbangkan seorang wanita jika tidak berhati-hati.

Atikah yang hanya menunggu masa untuk melahirkan bayinya berkata, apa yang terjadi pada dirinya adalah kesalahan sendiri yang terlalu mengikut perasaan dan gelodak jiwa remaja.

"Benda ni (mengandung) tak akan terjadi kalau sebelah pihak sahaja yang terlibat. Saya sangat menyesal kerana tidak dapat mengawal diri dan nafsu ketika itu.

"Memang betul kata orang, cinta itu buta, sampai boleh buat kita jadi lupa diri. Kerana ingin buktikan sayang dan cinta kepada teman lelaki, saya sanggup serahkan diri untuk dia," katanya.

Bercerita lanjut tentang lelaki tersebut, Atikah berkata, mereka berkenalan ketika belajar di sekolah menengah yang sama.

Selain itu mereka juga tinggal satu kampung membuatkan perhubungan jadi lebih mudah.

"Diberi tanggungjawab sebagai pengawas sekolah menyebabkan saya mengenali ramai rakan yang berlainan jantina. Tambahan sifat periang dan peramah membuatkan diri saya senang didekati.

"Awal berkenalan hubungan saya dengannya hanya mesra sebagai kawan biasa. Setelah perasaan cinta mula berputik dan masing-masing menyukai satu sama lain, akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjadi pasangan kekasih," katanya.

Tambahnya, ketika itu teman lelakinya berumur 18 tahun, manakala dia di tingkatan dua.

"Sifatnya yang peramah dan sering mengambil berat membuatkan hati terpaut dan jatuh cinta padanya.

"Hubungan kami seperti pasangan kekasih lain. Kami sangat rapat dan sering mengulangkaji bersama-sama di waktu lapang," katanya.

Kata Atiqah, walaupun sering bersama-sama, mereka hanya akan berjumpa dan menghabiskan masa selepas habis waktu sekolah sebelah petang.

Jika ada waktu terluang mereka akan keluar menonton wayang dan bersiar-siar di bandar.

"Sepanjang kami berhubung ibu tidak pernah mengesyaki perhubungan saya dengan teman lelaki kerana saya telah menipu dengan memberitahu menghadiri kelas tambahan di sekolah," katanya.

Ujarnya, perhubungan mereka sebagai pasangan kekasih pada peringkat permulaan tidak sampai melakukan perkara-perkara yang terkutuk.

"Sehinggalah pada petang, selepas habis waktu sekolah, teman lelaki telah membawa saya ke rumah ibu saudaranya.

"Kebetulan ibu saudaranya bekerja di pusat Internet sehingga malam menyebabkan rumahnya kosong," katanya.

Menurut Atiqah, pada permulaan dia cuba menolak ajakan teman lelakinya. Namun lama-kelamaan dia lemah dan menyerah apabila tidak dapat mengelak rayuan si jejaka.

Dia juga mengakui, perbuatan terkutuk tersebut tidak berakhir di situ sahaja kerana setiap kali ada kesempatan mereka pasti berjumpa dan mengulanginya.

"Kami sering berjumpa di rumah tersebut kerana ibu saudaranya tidak mengetahui perbuatan kami selain saya juga berjaya menipu ibu ketika itu," katanya.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Atiqah tidak menyangka perbuatan terkutuk yang sering dilakukan itu akhirnya telah membuahkan benih dalam perutnya.

"Apabila dua bulan tidak datang bulan, saya mula gelisah dan mengesyaki sesuatu berlaku sehinggalah melakukan ujian kehamilan sendiri.

"Ujian yang dilakukan menunjukkan saya positif hamil. Ketika itu perasaan takut dan bersalah menguasai diri," katanya.

Tambahnya, seperti wanita lain yang mengandung dia juga mengalami alahan teruk sehingga memaksa dia menangguhkan pelajaran seketika.

"Tidak dinafikan ketika keluarga mengetahui saya mengandung, mereka telah bertindak memulaukan saya. Emak tidak bercakap dengan saya selama seminggu.

"Namun, selepas itu semuanya kembali normal. Emak telah mencari tempat perlindungan untuk saya sepanjang tempoh mengandung dan melahirkan anak," katanya.

Menurut Atiqah, selepas melahirkan anak nanti bayi tersebut akan diserahkan kepada keluarga angkat.

Dia pula akan kembali bersekolah dan meneruskan hidup tanpa perlu mengingati kisah silamnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: