Monday, August 6, 2012

Resipi ibu

Mohamad Fitri Mohamad Haris tidak kekok di dapur.

SETIAP orang pasti memiliki juadah kegemaran yang sepanjang bulan Ramadan sekurang-kurangnya sekali mesti ada untuk sajian berbuka puasa.

Bagi pengacara televisyen yang juga penyanyi nasyid, Mohamad Fitri Mohamad Haris, 28, atau lebih dikenali sebagai Fitri Haris, dia menggemari ayam masak merah gembira.

Menariknya bukan setakat hanya pandai makan, tetapi dia boleh menyediakan sendiri hasil tunjuk ajar daripada ibunya.

"Resipi ini asalnya daripada ibu saya. Dia pun tahu saya gemar makan ayam masak merah ini dan tidak pernah gagal menyediakannya jika saya teringin.

"Cara membuatnya juga tidak susah hanya goreng ayam kemudian dicampur dengan bahan-bahan kuah.

"Walaupun saya boleh membuatnya sendiri tetapi rasanya masih tak boleh lawan dengan yang ibu masak," katanya yang nyata tidak kekok berada di dapur.

Fitri mengakui jarang ke bazar Ramadan bagi mendapatkan juadah berbuka puasa sebaliknya lebih gemar menikmati juadah yang dimasak sendiri di rumah.

Ditanya mengenai aktivitinya sepanjang Ramadan ini, kata Fitri, dia baru menjayakan album terbaru sempena Ramadan bersama Imam Muda Ali, Kumpulan Aidil, Izzat Mirwana dan ramai artis lagi.

"Saya cuba mengurangkan aktiviti seni sepanjang Ramadan kerana tidak mahu ketinggalan berbuka puasa di rumah bersama keluarga. Lagi pun masa inilah saat terbaik untuk berkumpul di samping menambah amal ibadat termasuk bersolat Tarawih," katanya yang pernah menghasilkan album solo bertajuk Fitri Selawat dan Fitri Zikir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: